Sabtu, 4 November 2017

Nasionalisme Indonesia & Munculnya Orde Baru!

Kitab Sejarah Malaya


Kesedaran nasionalisme muncul apabila bangsa yang dijajah berusaha membebaskan diri daripada penjajah manakala bangsa yang merdeka pula akan mempertahankan kemerdekaan itu dengan pelbagai cara. Maka lahirlah perkataan “negara bangsa” yang menjadi asas perjuangan kepada mana-mana nasionalis untuk membebaskan negaranya. Selepas kedatangan Belanda ke Indonesia sekitar abad ke 17, masyarakat Indonesia telah cuba disatukan dibawah satu pemusatan kuasa yang dipimpin oleh idealisme Barat dan kelihatan idea penyatuan seluruh kepulauan Indonesia telah berjaya. Jika disoroti sejarah awal Indonesia pada zaman pra kolonisme kita akan dapat melihat bagaimana mereka terpecah-pecah mengikut pulau dan suku malah kerajaan-kerajaan di setiap kepulauan mempunyai bentuk pemerintahan yang tersendiri. Di samping itu sistem feudal yang diamalkan oleh setiap kerajaan pula juga sedikit sebanyak menyebabkan berlaku jurang antara masyarakat. Gerakan Nasionalisme Indonesia lahir daripada kesedaran sosial, budaya, ekonomi dan pendidikan yang digerakkan oleh Kartini, Budi Utomo dan kemudiannya Serikat Dagang Islam.

Kesedaran untuk bersatu ini muncul apabila Jepun sebuah negara Asia telah berjaya mengalahkan Russia dalam perang dunia pertama yang seterusnya melanjutkan peperangan tersebut ke Negara China. Begitu juga dengan gerakan nasionalis India pada tahun 1908 yang berjaya menganggu gugat pentadbiran British India. Hakikatnya nama Indonesia itu sendiri muncul setelah Kemerdekaan Indonesia diisytiharkan oleh Soekarno pada tahun 1945 yang menandakan bahawa kejayaan seluruh kepulauan Hindia Timur Belanda disatukan. Walau bagaimanapun pembentukan “Indonesia” itu mengalamai proses yang panjang dan masih belum benar-benar kukuh sehingga ke hari ini. Kesedaran nasionalisme Indonesia bermula setelah Dasar Bersusila diumumkan oleh kerajaan Belanda. Dasar Bersusila ini dianggap sebagai tugas moral oleh Kerajaan Belanda kepada penduduk Pulau Jawa yang miskin yang bertujuan untuk memperbaiki kehidupan orang-orang Indonesia terutamanya di Pulau Jawa. Namun pada peringkat ini pergerakan nasionalisme masih lagi berpihak kepada Belanda.

Terdapat pelbagai faktor yang menghalang kebangkitan nasionalisme Indonesia pada peringkat awal antaranya ialah golongan bangsawan yang tidak mahu bersama-sama golongan rakyat berjuang kerana kepentingan peribadi mereka yang telah pun di jamin oleh Belanda. Bagi golongan ini sekiranya mereka menyokong usaha para nasionalis kemungkinan besar kedudukan mereka dihapuskan dan kepercayaan mereka itu terbukti apabila sebahagian besar daripada mereka telah dibunuh oleh Parti Komunis Indonesia dalam Revolusi Sosial pada tahun-tahun 40an.

Selain itu kemunculan pelbagai parti politik pelbagai latarbelakang turut menyumbang kepada faktor yang menghalang kemunculan nasionalime pada peringkat awal. Antara parti-parti tersebut ialah Budi Utomo yang dipelopori oleh anak-anak bangsawan Jawa yang tidak begitu mesra dengan rakyat kelas bawahan yang akhirnya menyebabkan pertubuhan itu menjadi lemah walaupun mendapat sokongan daripada priyayi kelas bawahan. Parti Hindia (Indische Partij) yang dipelopori oleh kaum Cina dan Serani (golongan Kristian dari Menado dan Ambon) pula menjadi penentang yang kuat dan tidak suka akan kewujudan nasionalis yang disatukan oleh agama Islam walaupun pada peringkat awal penubuhannya ialah untuk menyokong pentadbiran Belanda dan menjaga kepentingan kedua – dua kaum tersebut namun parti ini akhirnya diharamkan pada tahun 1913.

Sarekat Islam pula ditubuhkan ditubuhkan untuk menghidupkan semula ajaran Islam dikalangan penduduk Jawa dan Sumatera akibat perkembangan pesat agama Kritsian dan matlamat utama mereka ialah menubuhkan sebuah negara Islam namun akhirnya Sarekat Islam bergabung dengan Jam Yat Khair membentuk Sarekat Dagang Islam iaitu gabungan pedagang Melayu Sumatera dengan pedagang Arab Batavia pula ditubuhkan untuk menyayingi Persatuan Perniagaan Siang Hwee yang dimiliki oleh kaum Cina yang telah pun menguasai pelbagai bidang perniagaan di kepulauan Jawa walau bagaimanapun penyatuan ini turut gagal kerana perselisihan faham diantara pedagang Melayu dengan pedagang Arab.

Kumpulan ini pula bertukar menjadi Sarekat Islam yang kemudiannya mempunyai dua kumpulan sayap kanan dan sayap kiri. Kemunculan sayap kiri Sarekat Islam berpunca dari kemasukan ahli Indische Social-Democratische Vereeniging (ISDV). Setelah beberapa pergeseran di antara ahli-ahli SI akhirnya Parti Komunis Hindia (PKH) pula ditubuhkan berteraskan kepada ideologi sosialis namun perjuangan mereka lebih kepada menuntut hak kebebasan dan kebebasan memiliki kekayaan yang adil. Akhirnya PKH telah bertukar nama ke Perserikatan Komunis Indonesia (PKI) namun masih juga gagal membentuk penyatuan diantara masyarakat Indonesia kerana ditentang hebat oleh orang-orang Islam Indonesia secara keseluruhannya akibat daripada ideologi atheis yang dipopularkan oleh mereka. Kemunculan PKI dianggap telah menimbulkan perpecahan yang lebih besar kepada gerakan nasionalis yang sedikit sebanyak membantutkan usaha-usaha kaum pribumi kearah memiliki sebuah kerajaan sendiri.

Rakyat Indonesia mengenali doktrin ideologi dan perjuangan kedua parti ini dengan nama Sarekat Islam dan Sarekat Rakyat yang juga menandakan bahawa terdapat perebutan kuasa diantara kedua – dua parti ini untuk memimpin gerakan nasionalisme Indonesia. Manakala Partai Tionghua Indonesia pula dikatakan menyokong gerakan nasionalis Indonesia namun keanggotaan amat sedikit yang lansung tidak memberikan apa-apa kesan kepada gerakan para nasionalis sehingga Indonesia mendapat kemerdekaannya. Ini kerana mereka tidak yakin bahawa kepimpinan baru Indonesia akan melindungi mereka ataupun negara yang merdeka itu akan menjadi negara “ekonomi keindonesiaan” sebenar-benarnya.

Perbezaan suku, agama dan kepercayaan juga dilihat sebagai faktor penghalang sepertimana yang kita dapat lihat daripada kewujudan parti yang bercorak agama iaitu Parti Hindia di Ambon yang beragama Kristian, Sarekat Islam di Sumatera manakala di Jawa pula pengaruh Kejawen dan Hindu di Bali kekal menjadi amalan yang berpengaruh. Begitu juga halnya bagi masyarakat Dayak, Batak dan Irianjaya yang mengamalkan anamisme. Dikatakan bahawa selain daripada masyarakat Melayu dan Jawa kecuali Bali menerima pemerintahan Belanda ke atas mereka sebagai contohnya masyarakat Bali yang tidak menaruh apa-apa ketidakpuasan hati yang khusus kepada Belanda yang mencampuri urusan pentadbiran kerajaan mereka. Terdapat 182 suku bangsa di Indonesia dengan pelbagai agama dan budaya yang menyukarkan para nasionalis untuk bergerak dan bertemu di setiap provinsi dengan setiap darinya dipisahkan oleh lautan dan adakalanya sesetengah kawasan itu berada jauh di pedalaman.

Kemunculan pertubuhan bercorak politik mendapat tekanan dan penindasan yang kuat daripada Belanda sepertimana yang berlaku kepada Sarekat Islam pada tahun 1912 yang berhasrat untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh anak tempatan. Perkataan Indonesia juga dilarang penggunaannya dan sesiapa sahaja yang menimbulkan konsep kemerdekaan dianggap sebagai anasir penghasut dan jahat. Pihak Belanda turut menangkap dan membuang daerah para nasionalis ke Papua dengan harapan agar pergerakan ini menjadi lumpuh. Antaranya Pak Karsijah pemimpin kumpulan petani yang dibuang negeri pada tahun 1917. Pada tahun 1918 Volksraad atau Dewan Rakyat ditubuhkan yang dianggotai oleh pelbagai pertubuhan dan melalui Volksraad ini segala pergerakan nasionalis dapat dilihat dan dikawal oleh Belanda.Dari tahun 1931 - 1936 Gabenor De Jong telah menggunakan pihak polis dan perisik politik bagi menangkap ribuan nasionalis antaranya ialah Mohd Hatta dan Sutan Shajir yang kemudiannya dihantar ke Tanah Merah, Papua.

Tekanan dan penindasan daripada kerajaan Hindia Belanda tidaklah melemahkan semangat parti dan para nasionalis untuk terus berjuang namun jalan yang diambil mereka adalah bersifat sederhana dan cuba memihak kepada Belanda dengan harapan agar kerajaan Belanda dapat memberi kemerdekaan kepada mereka. Pada tahun 1936 Volksraad telah meluluskan Persidangan Di Raja bagi membincangkan cara bagaimana hendak berkerajaan sendiri dilaksanakan.Para Nasionalis ini akhirnya membentuk Gabungan Politik Indonesia (Gapi) pada tahun 1939 namun disebabkan beberapa alasan yang dianggap tidak munasabah akhirnya telah menyebabkan pembentukan Majlis Rakyat Indonesia pada tahun 1941 yang berasaskan perjuangan kemerdekaan Indonesia samada secara aman atau berperang.

Ketiadaan tokoh yang nasionalis yang dapat menyatupadukan kesemua gerakan parti politik ini juga turut menyumbang kepada kegagalan kebangkitan rakyat walaupun pada akhirnya gabungan Sukarno-Hatta berjaya memerdekakan Indonesia melalui Jepun pada tahun 1945. Pihak Belanda juga menjalankan dasar pecah perintah mengikut wilayah dan daerah yang menyebabkan ketidakseimbangan sosio-budaya dan ekonomi diantara satu kawasan dengan satu kawasan yang lain yang akhirnya menyebabkan penyatuan diantara penduduk peribumi menjadi terbantut. Politik secara kenegerian atau kedaerahan juga menyebabkan usaha awal para nasionalis ini gagal.

Terdapat sekurang-kurangnya 249 pulau dengan pelbagai suku kaum yang mempunyai latar budaya berbeza menjadi punca penghalang kepada penyatuan negara bangsa Indonesia. Wilayah pentadbiran Hindia Belanda dibahagikan kepada dua sistem yang berbeza iaitu yang ditadbir secara lansung dan ditadbir oleh kerajaan tempatan pribumi yang mengiktiraf pertuanan Belanda ke atas mereka dan wilayah ini pua dibahagikan kepada regensi, bandaran dan luar bandar. Para pemerintah ini tidak bebas dan hanya menerima nasihat-nasihat daripada residen Belanda. Manakala kaum Cina serta kaum lain bukan pribumi pula ditadbir oleh ketua mereka masing-masing. Ini menyebabkan semua kaum yang berada di Indonesia tertakluk kepada corak pentadbiran tersendiri walaupun pada akhirnya mereka mesti melaporkan apa jua tindakan mereka kepada kerajaan pusat di Jawa.

Selain dari itu kaum petani merupakan populasi paling ramai di Indonesia yang kebiasaannya tinggal jauh di pedalaman dan dikuasai oleh para bangsawan, golongan ini tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan jauh dari sebarang bentuk kefahaman. Menurut Kahin tanpa panduan daripada golongan bijak pandai anak tempatan kaum petani tidak mengetahui apa-apa lansung tentang keadaan mereka, tentang maju mundur dan penindasan yang telah mereka hadapi. Perbezaan ini juga pada pendapat Ledge turut menyebabkan gerakan nasionalis menjadi perlahan memandangkan jumlah golongan bestari yang sedikit  dan yang paling utama ialah penglibatan kaum petani amat kurang walaupun mereka merupakan kumpulan terbesar dalam susunan penduduk di Indonesia selain daripada beberapa faktor yang telah disebutkan.

Menurut Kahin lagi penguasaan ekonomi oleh orang-orang Cina dan Eropah juga menyebabkan kepada faktor yang menghalang kebangkitan nasionalisme kerana rata-rata ahli nasionalis dari golongan petani mulai sedar apabila pekerjaan mereka di ladang-ladang tebu mula digantikan oleh kuli-kuli Cina dan jentera setelah tiga abad kekayaan dan ekonomi mereka dikuasai oleh Belanda dan orang-orang Cina. Ketidakseimbangan pembangunan kota juga turut menyebabkan pemikiran dan corak kehidupan antara masyarakat terpisah. Pihak Belanda hanya memajukan beberapa tempat seperti Batavia dan Madura walaupun Dasar Bersusila yang dirancangkan itu adalah menyeluruh namun para sejarawan menganggap usaha itu adalah usaha yang gagal.

 Perubahan ini dipercayai turut membawa kepada kemasukan imigran Cina dengan lebih ramai ke seluruh Indonesia dan begitu juga halnya apabila hampir kesemua perusahaan samada penanaman tebu, gambir, bijih timah dan lain-lain komoditi dikuasai oleh mereka samada mereka menjadi peniaga ataupun orang tengah dan menyebabkan masyarakat peribumi mula merasa marah kepada mereka apabila merasakan sebahagian ekonomi tempatan telah pun di kuasai oleh orang-orang Cina walaupun terdapat pedagang Arab dan Eropah yang turut sama menguasai beberapa jenis perniagaan di Indonesia.

Sistem pelajaran yang tidak teratur dan rendah juga menyebabkan perkembangan nasionalisme Indonesia terbantut memandangkan sekolah-sekolah yang disediakan kebanyakkannya tidak mempunyai kepentingan asas yang menyebabkan sekolah-sekolah persendirian yang bertumpu kepada pengajaran Islam tumbuh bak cendawan. Namun akhirnya sekolah-sekolah ini telah dikawal rapi oleh kerajaan bagi mengelak ia menjadi pusat penyebaran idea nasionalisme rakyat tapi secara tidak lansung sekolah-sekolah ini mendapat bantuan dan buku-buku yang sepatutnya bagi para pelajar dan untuk keseluruhan sistem pendidikan pada tahun 1930an sedangkan kaum Cina telah berjaya menubuhkan sekolah Cina-Belanda yang sedikit sebanyak menjamin pelajaran anak-anak mereka walaupun sebahagian besar darinya buta bahasa asing dan hanya hidup dalam kelompok mereka sahaja.

Kesimpulannya ialah kebangkitan nasionalisme Indonesia adalah kesan daripada kebangkitan rakyat yang berlaku di seluruh dunia namun rata-rata bagi mereka kemengangan Jepun di Russia pada tahun 1908 menandakan bahawa orang Asia juga mampu menewaskan Barat. Maka muncullah parti-parti politik dan pelbagai pertubuhan yang mempunyai pelbagai visi untuk memperjuangkan nasib kaum dan masyarakat mereka. Setelah Volksraad ditubuhkan desakan untuk mewujudkan pentadbiran sendiri oleh kaum pribumi menjadi lebih kuat walaupun Volksraad ini berakhir dengan kekecewaan. Pada tahun 1940 dianggarkan kira-kira 80,700 buah parti politik diseluruh Indonesia yang memperjuangkan masalah kesedaran politik dan sosial masyarakat Indonesia. Perpecahan paling jelas ialah diantara fahaman Islam dengan Komunisme yang menyebabkan jalan untuk mewujudkan sebuah negara merdeka berdaulat sehingga munculnya Parti Nasional Indonesia yang menggabungkan kedua-dua fahaman ini dibawah satu nama bangsa Indonesia.

Tanpa penyusunan organisasi dan tindakan yang betul dan teratur juga telah menyebabkan gerakan nasionalisme Indonesia pada peringkat awal gagal. Selain itu walaupun sistem pendidikan barat diwujudkan namun bilangan buta huruf adalah lebih besar berbanding dengan buta huruf sebelum penjajahan Belanda turut melambatkan proses nasionalisme Indonesia. Dasar keras Belanda yang menangkap para nasionalis dan membuang mereka ke Papua turut memberi kesan kepada gerakan rakyat ini. Manaka geopolitik dan budaya, jarak antara negeri dan penerimaan masyarakat tempatan terhadap Belanda juga turut menyebabkan gerakan kemerdekaan menjadi sukar sehinggakan walaupun proklamasi kemerdekaan dibuat pada tahun 1945. Indonesia masih lagi berjuang dan berperang untuk mengukuhkan pemerintahan dan menyatupadukan orang tempatan pada tahun-tahun berikutnya malah sehingga kini.







Isnin, 9 Oktober 2017

Sejarah Tok Temong & Geliga Embun



Kitab Sejarah Malaya
Geliga Embun
Keberangkatan tiba Raja Mudzaffar itu telah disambut oleh orang-orang Perak di Beting Beras Basah iaitu di Kuala Sungai Perak. Menurut cerita lisan,[1] waktu bakal Sultan ini mudik Sungai Perak, kapal baginda tersangkut di Beting Beras Basah. Kemudian Raja Mudzaffar telah berseru.”[2]

“Selilit Tanah Minangkabau
Selengkung Pulau Perca
Dilingkungi ular sakti muna
Sebenarnya aku menjadi Raja
Jauhkan aku segera mala petaka
Perpisahan aku di Selat Melaka”

            Selepas seruan itu barulah kapal kenaikan Raja Mudzaffar dapat bergerak terus mudik ke hulu sehingga sebuah tempat bernama Tanah Abang yang bermakna ‘Tanah Merah’[3] iaitu Teluk Bakong hari ini. Di sinilah lebih kurang dalam tahun 1528, Raja Mudzaffar Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama dan bergelar Sultan Mudzaffar Shah. Pada masa pertabalan Sultan Mudzaffar Shah itu Tun Saban dan Tuk Temong datang mengadap membawa persembahan 77 ekor gajah sebagai hadiah dari rakyat di Hulu Perak dan Temong. Tuk Temong juga telah menghadiahkan tangkal azimat bernama Geliga Embun yang sehingga kini menjadi alat kebesaran kerajaan Perak.
Menurut Sejarah Melayu, Sultan Mudzaffar Shah dijemput Seri Agar Raja Tun Mahmud anak Paduka Tuan Tun Isap Berakah dating ke Perak dan dilantik sebagai Bendahara Kerajaan Perak yang pertama.[4]

            Jawatan Bendahara menjadi kosong bila Tun Mahmud dititahkan balik ke Johor. Sultan Mudzaffar Shah dikatakan telah melantik Megat Terawis[5] sebagai Bendahara Perak yang baru. Perlantikan ini menimbulkan rasa tidak puas hati Tun Saban[6].

            Tun Saban kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah yang bebas di Hulu Perak manakala adiknya Tun Perobu yang dikenali sebagai Tuk Temong dilantik menjaga Temong dekat Kuala Kangsar. Setelah Tun Saban dapat dialahkan oleh Megat Terawis, Sultan Mudzaffar Shah melantik Megat Terawis menjadi Bendahara Paduka Raja. Sejak itu jawatan Bendahara diwarisi oleh keturunan Megat Terawis sehingga tahun 1740-an. Bagaimanapun sebagai mengenang jasa Tun Saban, keturunan beliau dilantik menjadi orang Besar Perak dengan gelaran Orang Kaya-kaya Seri Adika Raja sehingga hari ini[7].

            Sultan Mudzaffar Shah I memerintah Perak selama lebih kurang dua puluh satu tahun dan mangkat dalam tahun 1549. Jenazah baginda dimakamkan di Tanah Abang dan disebut Marhum Tanah Abang.

            Sultan Perak yang kedua (1549 – 1577) ialah Raja Mansor, iaitu putera Sultan Mudzaffar Shah dengan isterinya Tun Terang (anak Tun Fatimah, bonda turut Marhum Tanah Abang). Marhum Tanah Abang mempunyai enam orang putera dan puteri, iaitu Raja Mansor, Raja Dewi, Raja Ahmad, Raja Abdul Jalil, Raja Fatimah dan Raja Tengah. Raja Mansor apabila menaiki takhta Kerajaan Perak, memakai gelaran Sultan Mansor Shah[8]. Baginda bersemayam di Kota Lama Kanan dekat Kuala Kangsar. Di masa pemerintahannya, Sultan Mansor Shah dan Bendahara Megat Terawis telah berangkat ke Hulu Perak dan menetapkan sempadan negeri dengan negeri Reman di satu tempat bernama Tapong. Sultan telah meletakkan seorang wakil baginda bagi memungut cukai lombong, khususnya di kawasan Kelian Intan.

            Semasa pemerintahan baginda, Siam telah menyerang negeri Perak. Tentera Siam telah mendapat di Pangkalan Lumut. Dalam pertempuran di Setiawan, Raja Ali menantu Sultan telah terbunuh. Akhirnya dalam persetujuan perdamaian dan sebagai tanda persahabatan Kerajaan Perak juga bersetuju menghantar Bunga Mas setiap tahun kepada Kerajaan Siam. Kerajaan Perak juga bersetuju membenarkan orang Siam membeli timah  di Perak.

Di antara pembesar itu ialah Tun Saban[1] yang memerintah kawasan Hulu Perak. Tun Saban menghantar adiknya yang bernama Tun Perabu memerintah kawasan Temong dekat Kuala Kangsar. Terdapat juga riwayat yang menyebutkan Tok Temong mempersembahkan satu geliga embun kepada Sultan Mudzaffar Shah I dalam istiadat pertabalan di Tanah Abang. Geliga embun kemudiannya menjadi salah satu daripada alat kebesaran Kerajaan Perak.[2]

Geliga atau Mestika Embun,  menurut ceritanya geliga atau tangkal azimat ini adalah hadiah Tun Perak atau Tuk Tuan Puteh kepada Sultan Muzffar Shah semasa ditabal sebagai Sultan Perak di Tanah Abang dalam tahun 1528. Tuk Perak yang lebih dikenali dengan nama Tuk Temong telah datang dari Hulu Perak bersama tujuh puluh ekor gajah untuk menyampaikan persembahannya itu. Di istiadat pertabalanitulah Tuk Temong memohon Sultan Muzaffar dan keturunannya memerintah kawasan Temong hingga ke Hulu Sungai Perak. Malah Sultan Muzaffar Shah juga memperkenankan permohonan Tuk Temong supaya Sultan Muzaffar Shah dan keturunan yang mewarisi takhta kerajaan Perak menghadkan ‘kawasannya di tebing sebelah kiri (hanyut) sungai-sungai Perak sahaja.[1]

~ Dipetik dan diolah dari Cempakasari : Sejarah Kesultanan Perak, Geroda Merah, 2016.

[1]    Tun Saban dikatakan berasal daripada Melaka dan bersama Sultan Mahmud Melaka berhijrah ke Kampar (Sumatera). Kemudian Tun Saban berpindah ke Petani dan terus ke Hulu Perak menetap di Relab Reli. Lihat Raja Razmanet. Al., Hulu Perak Dalam Sejarah, (Ipoh, 1973) dan A. Halim Nasir, Sejarah Perak. (Kuala Lumpur: Muzium Negara, 1977), hlm. 90.
[2]    Halim Nasir, Ibid, hlm. 92.




[1]    Ulangtahun ke-40 Perkahwinan Diraja dan Jubli Emas Istana Iskandariah (1984), hlm. 34. Bagaimanapun Sultan Idris I (1889 – 1916) telah memulakan tradisi baru dengan membina di tebing kanan Sungai Perak. Dalam tahun 1895 telah dibina istana di Bukit Chandan yang dinamakan Istana Negara. Dalam tahun 1930 Istana Negara dirobohkan untuk pembinaan Istana Iskandariah yang ada pada hari ini.
 




[1]    Diperolehi oleh almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris al-Mutawakkil Allallahi Shah, sila lihat N.A. Halim, Tempat-tempat Bersejarah Perak, (Kuala Lumpur: Jabatan Muzium, 1981) hlm. 67.
[2]    Ibid., Menurut tulisan dalam Hulu Perak dalam Sejarah (hlm. 4) titah seruan itu berbunyi:
“Sa-lengkong Tanah Minangkabau
Sa-lilit Pulau Perca
Di-lengkong ular Si-kotimuna
Terpisah Selat Melaka
Jika sah Beta Raja Berdaulat
Lepaslah sekalian Malapetaka.”           
[3]    Sila lihat buku Hulu Perak Dalam Sejarah (hlm. 4 – 5) mencatatkan kisah asal usul nama Tanah Abang itu berasaskan cerita sengketa dua beradik.
[4]    Shellebear, Sejarah Melayu (Singapura: Malaya Publishing House) Tun Mahmud kemudiannya dipanggil balik ke Johor oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II. Lihat pengkisahannya dalam Winstedt, A History of Perak, hlm. 7 – 9.
[5]    Megat Terawis adalah di antara pengiring Sultan Mudzaffar sejak dari Kampar lagi.
[6]    Pengkisahan Tun Saban.
[7]    Lihat salsilahnya dalam A. Halim Nasir, Sejarah Perak, hlm. 111 – 113 dan pengkisahannya dalam Hulu Perak Dalam Sejarah.
[8]    Winstedt, History of Perak, hlm. 125.

Selasa, 3 Oktober 2017

PERANG KELANG : PERTEMPURAN KETURUNAN OPU BERSAUDARA. Bahagian I.


Kitab Sejarah Malaya
Perang Klang
Selepas tiga tahun Sultan Muhammad (Sultan Selangor ke 3) melantik Raja Jumaat sebagai Orang Besar Lukut, baginda melantik pula putera sulungnya Raja Sulaiman sebagai Orang Besar Klang pada tahun 1839. Raja Sulaiman mempunyai beberapa orang putera dan putera sulungnya bernama Raja Mahadi. Raja Sulaiman mentadbir Klang selama 14 tahun dan mangkat pada tahun 1853.

Sepatutnya jika mengikut adapt kebiasaan orang Melayu, pewarislah yang akan naik menggantikan untuk menjadi pemerintah yang baharu yakni Raja Mahadi yang akan dilantik namun perkara itu tidak berlaku seperti kebiasaannya. Ini kerana Raja Jumaat telah berjaya mempengaruhi Sultan Muhammad untuk melantik adindanya yang bernama Raja Abdullah untuk dijadikan pemerintah yang baru di Klang. 


Tambahan pula Sultan Muhammad memang banyak terhutang budi kepada Raja Jumaat yang membantunya melangsaikan hutang-hutangnya dahulu. Di fikiran Sultan Muhammad inilah masanya untuk membalas jasa budi Raja Jumaat itu maka Raja Abdullah pun dilantik sebagai Orang Besar Klang yang baru dan hak Raja Mahadi ke atas Klang sekaligus dinafikan.

Lantikan tersebut telah membuatkan Raja Mahadi tidak berpuas hati dan dirinya amat kecewa dan tersinggung serta menyimpan perasaan api amarah dalam dirinya. Walau bagaimana pun, Raja Mahadi taat dengan perintah keputusan nendanya, Sultan Muhammad itu dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana beliau tidak punyai pengaruh yang besar yakni belum ada kekuatan, wang dan pengikut. Lantaran dari itu, Raja Mahadi menjadi rakyat biasa dari seorang anak orang besar yang hidup lumayan dan terpaksa mencari sesuap nasi dengan menjalankan perniagaan.


Ketika Raja Abdullah mentadbir Klang ramai orang-orang cina dan orang Melayu Sumatera (Batu Bara) dating ke Klang untuk membuka kawasan perlombongan bijih timah. Banyak kawasan perlombongan bijih timah dibuka oleh Raja Abdullah di sekitar Lembah Klang sekaligus telah membuka Kuala Lumpur dan melantik Yasih yang dibawa dari Riau sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur. Ditakdirkan Allah, Sultan Muhammad telah mangkat pada tahun 1857 dan dua tahun kemudian barulah ada perlantikan Sultan Selangor yang baru iaitu Sultan Abdul Samad.

Pada tahun 1866, telah nampak cirri-ciri penyebab tercetusnya peperangan antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah. Pada satu ketika, Raja Abdullah telah memperkenalkan undang-undang yang baru di Klang dimana semua orang termasuk kerabat Raja Selangor wajib membayar cukai barang perniagaan di Klang. Undang-undang terdahulu menyatakan kerabat raja terkecuali dari membayar cukai tersebut. Ketika undang-undang ini diperkenalkan, kebetulan Raja Mahadi baru pulang dari rantauan untuk mengambil barang untuk diniagakan di Klang.


 Tiba saja di pejabat kastam Raja Abdullah, barangnya telah dirampas kerana beliau enggan membayar cukai kerana beliau masih berpegang dengan undang-undang warisan terdahulu. Perubahan undang-undang ini dianggap oleh Raja Mahadi sebagai tindakan yang melampaui batas.

Dikatakan juga orang-orang Raja Abdullah sering membuat kacau kepada orang-orang Batu Bara yang bermastautin di Klang itu. Antaranya mereka sering menganiaya orang-orang Batu Bara tersebut dengan merampas padi ternakan sesuka hati mereka, ada juga anak-anak gadis orang Batu Bara diculik serta sering mengasari orang-orang Batu Bara di sekitar Klang hanya kerana perkara yang kecil sahaja. Ini telah membuatkan orang-orang Batu Bara yang diketuai oleh penghulu mereka yang bernama Muhammad Akib telah melancarkan serangan ke atas orang-orang Raja Abdullah yang diam di dalam kubu Datuk Bandar Yasih. Dalam pergaduhan itu, seorang dari kalangan orang Batu Bara telah mati ditikam. Sejurus insiden pembunuhan itu, Muhammad Akib telah pergi menemui Raja Abdullah untuk mengadukan hal tersebut dan menuntut keadilan ke atas kematian orangnya namun sikap Raja Abdullah yang tidak ambil peduli akan hal itu telah membuatkan Muhammad Akib serta orang-orang Batu Bara menyimpan dendam kepada Raja Abdullah.

Muhammad Akib pergi pula menemui Raja Mahadi untuk mengadukan sikap Raja Abdullah itu dan beliau menyatakan ingin membalas dendam kepada Raja Abdullah. Kedatangan Muhammad Akib ini memang kena benar dengan masanya kerana sperti yang tersedia maklum Raja Mahadi juga memang menyimpan dendam yang teramat sangat pada Raja Abdullah itu. Hasrat Raja Mahadi untuk mengambil Klang sebagai haknya semakin tercapai tambah-tambah lagi apabila Muhammad Akib serta orang-orang Batu Bara sanggup bertuankan Raja Mahadi dalam peperangan kelak selain menawarkan diri mereka sebagai askar-askarnya.

Sebagai persiapan untuk berperang, Raja Mahadi telah meminjam wang dari saudagar cina di Melaka untuk membeli beberapa senjata dan kelengkapan untuk berperang. Selain itu, Raja Mahadi telah membawa masuk meriam-meriam Belanda yang berada di Kolta Melawati ke Klang sebagai alat senjata utama untuk diletakkan di benteng hadapan kotanya.


Selain mendapat bantuan dari orang-orang Batu Bara, Raja Mahadi juga menggunakan khidmat orang-orang Mandailing sebagai askar-askarnya juga. Menariknya disini, walaupun Raja Mahadi itu berbangsa Bugis tetapi tiada seorang Bugis pun yang digunakan sebagai juak-juaknya malah Bugis banyak menyebelahi Raja Abdullah. Langkah yang pertama dibuat oleh Raja Mahadi ialah melancarkan serangan ke atas Raja Abdullah serta orang-orangnya yang pada ketika itu berkubu di sebuah gudang milik Raja Abdullah. Asakan serangan yang hebat ini telah membuatkan Raja Abdullah serta pihaknya terpaksa membuat gencatan senjata dan beliau sendiri telah diusir keluar dari Klang oleh Raja Mahadi. Susulan itu Raja Abdullah serta keluarganya terpaksa meninggalkan Klang dan menetap di Melaka.

Namun begitu, Raja Mahadi belum dapat berkuasa penuh di Klang kerana Raja Abdullah masih belum tewas sepenuhnya walaupun beliau telah diusir kerana beliau telah mengarahkan anak-anaknya yang bernama Raja Ismail dan Raja Hassan untuk mengambil alih tempatnya bagi meneruskan perjuangan untuk mempertahankan Klang. Dengan itu serangan dari orang-orang Bugis yang diketuai Raja Ismail telah bergerak menuju ke kota Raja Mahadi untuk melancarkan serangan. Dalam serangan ini Raja Hassan cedera di betis kerana ditembak oleh pihak Raja Mahadi dan beliau telah berundur ke Melaka dan menetap bersama ayahandanya manakala Muhammad Akib pula telah mati ditembak oleh orang Bugis dan tempatnya sebagai ketua kepada orang-orang Batu bara telah digantikan oleh adiknya yang kemudian digelar Datuk Dagang.

Raja Mahadi telah mengambil tindakan untuk menyekat barang-barang keperluan seperti makanan dari luar yang dibawa masuk ke Klang bagi tujuan untuk melemahkan pihak Raja Ismail. Sekatan ini berlaku selama lima bulan dan ini menyebabkan pihak Bugis yang diketuai Raja Ismail itu semakin lemah. Akhirnya Raja Ismail mengaku kalah kepada Raja Mahadi setelah berbulan-bulan berperang. Dengan ini secara tak langsung Raja Mahadi berjaya mencapai hasratnya untuk mengambil Klang dan mula pada saat itu beliau telah menjadi Orang Besar Klang yang baru.

Bersambung...

Gambar : Pintu gerbang Kota Raja Mahadi (kini tapak kota telah dijadikan tapak bagi bangunan pejabat Majlis Perbandaran Klang)

Sumber :-

- Sejarah Selangor (Buyong Adil)
- Perang Saudara Di Selangor 1868-1873
(A. Talib Bin Hj Ahmad)
- A History Of Selangor (J.M. Gullick)
- Selangor, Sejarah dan Proses Pembangunannya (Adnan Hj Nawang dan Mohd Fadzil Othman)
- Malayan Forts (Jabatan Musium Negara)
- Sejarah Kedah Sepintas Lalu
(Haji Ibrahim Ismail)
- Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah (Muhammad Hassan Bin To' Kerani Mohd Arshad)