Ahad, 30 April 2017

DBP : Benteng Ilmu Terakhir Melayu



Hari ini hari ketiga PBAKL berlansung dan hari kedua kami berada di booth wakil penjual buku kami iaitu Khafilah Buku dan Buku Warisan. Selepas habis sesi bersama Dato Aripin Said. Aku mula bergerak ke booth-booth lain melihat sejauh manakah buku-buku sejarah tempatan dibuku dan dipromosikan. Buku sejarah yang aku maksudkan bukanlah buku santai tapi kajian ilmiah. Kalau buku santai itu bukan buku sejarah tu buku penglipur lara. Buku syok sendiri yang kononnya atas nama sejarah. Bagi aku baik saja declare buku Novel Sejarah.. aku senang nak terima dan aku akan beli.

Jadi selepas semua selesai urusan aku pun bertemu dengan beberapa staff DBP dengan tujuan hendak menggunakan perkhidmatan DBP sebagai pengedar buku-buku yang aku terbitkan dan salah satunya kalau korang perasan buku Seri Pahang Naga Tasik Chini. Di buku tu ada logo DBP. Rata-rata semua orang akan cakap "saya pernah baca buku ini masa sekolah rendah", kau bayangkan bukan senang aku nak naik turun tangga mohon kepada pihak DBP untuk ulang cetak buku tu selepas 29 tahun ia tidak diterbitkan!. Kau tahu betapa buku-buku inilah yang menjadikan aku seorang manusia buku!

Buku Geroda Merah

Aku tulis ini semua bukanlah sebab aku hendak membodek DBP, tapi dimasa awal perjumpaan aku dengan wakil DBP dan kemudiannya beberapa staff lain, Aku nyatakan bahawa aku Sayang akan DBP ini dan bagi aku betapa buku-buku mereka pada satu masa dahulu telah berjaya mendidik anak bangsa terutama sekali Melayu. Kau pernah lihat anak bangsa lain belek dan tatap buku-buku DBP atau buku-buku penerbit Melayu?? Saudaraku!, sepanjang 3 hari ini aku hanya lihat sekelompok mereka di Booth Oxford, mereka bukan pembeli tapi penjual!. Nah lihatlah siapa mereka dan bagaimana mereka menjaga barisan ekonomi mereka sedang kita yang kononnya tuan anggap ia perkara biasa!, kau fikirkanlah apa yang aku tulis ini.. tolonglah!

Aku membesar dengan buku-buku DBP malah aku tak lupa buku terbitan mereka malah majalah-majalah mereka pada satu masa dulu tersangatlah besar jasanya kepada aku. Tapi entah mengapa akibat karenah birokrasi dan ketamakan manusia telah menyebabkan DBP hilang bisanya dan seolah-olah terus terlupakan. Sedih la bang, kenapa DBP tak macam dulu..kata aku kepada staff DBP yang aku jumpa tadi. Aku juga pesan kepada mereka. Apa jadi pun.. janganlah berhenti jadi pekerja DBP biarlah pengurusan tindas kau semua tapi kau sematkanlah dalam hati ini perjuangan aku untuk anak bangsa ku. Berulang kali aku pesan jangan berhenti kerja dan teruskan perjuangan.

Aku nyatakan juga kepada mereka, aku akan terus berjuang dengan DBP biarpun genre sejarah yang aku buat ini kelompoknya kecil. Aku yakin kalau aku berusaha tanpa jemu satu masa rakyat buku sejarah akan bertambah, aku yakin!. Berkaca jugak mata aku bila aku kenangkan ini semua. tergagap juga mulut ku hendak aku kata bahawanya tolonglah mereka semua ini bertahan kerana kalau kau semua nak tahu, DBP lah benteng terkahir yang selama ini memandaikan bangsa Melayu, bangsa yang kau menjerit pecah anak tekak setiap masa!

Cuba kau bayangkan jika DBP ini sudah bubar, apa kau harap buku2 indie nak memandaikan bangsa? adakah penulis-penulis picisan hendak memasyarakatkan bangsa?, aku tak yakin. Dulu-dulu tahun 60an mungkin ada penerbit-penerbit kecil yang cuba mendidik bangsa tapi kemampuan mereka bukanlah besar kerana mereka organisasi kecil dan mereka tak punya bangunan setinggi 30 tingkat!, jadi bagaimana hendak mendidik bangsa yang besar ini?.

Jadinya aku akan berjuang dengan cara aku demi survival DBP walaupun apa yang aku buat ini 1/10 dari apa yang mereka buat. Mungkin kau kata aku ini pencari keuntungan.. tapi kau nyatakanlah pada aku, siapa lagi hendak berbukuan sejarah MELAYU?, siapa lagi yang hendak meneruskan perjuangan bangsa tua ini? Nyatakan pada aku?!, harapan aku sekarang.. kau semua teruslah menyokong usaha mereka ini, manusia DBP dari sekecil pangkat hinggalah sebesar pangkat.

Bagi aku yang paling aku hormati ialah askar-askar pangkat rendah DBP kerana tanpa mereka kita semua takkan kenal dengan DBP, dan jika tidak kerana mereka bangsa ini akan terus bodoh dan diperbodohkan oleh politikus berperut ular sawa. Teruskan berjuang!

"Rakyat Buku"
MHR


Sabtu, 29 April 2017

Syair dan Gurindam Pahang.

Alhamdulillah, hari ini selesailah satu program ringkas bersama Dato Aripin Said, seorang Tokoh Budaya Yang Masih Hidup hingga hari ini. Banyak perkara yang boleh kita belajar dari beliau bahawa sesungguhnya budaya Melayu sudah dipinggirkan jauh-jauh oleh sekalian anak Melayu.

Dalam media massa atau dalam fb kita terjerit2 dengan berkata "aku anak Melayu", "maruah melayu kena dipertahankan".. dan macam-macam lagi.. tapi selain daripada penulisan apa lagi usaha kita untuk memartabatkan sejarah dan budaya Melayu?

Satu per satu seni sudah hilang dari pandangan mata kasar, dan saya sendiri merasa bahawa dunia perbukuan sejarah semakin mengecil.. bukan tak ada tapi semasa melawat gerai-gerai buku di tingkat 3 tu, nampaknya buku-buku sejarah dan falsafah lebih menguasai perbukuan genre sejarah.

Kehadiran Dato Aripin Said walaupun dengan jumlah pengunjung yang sesuai dengan keluasan reruai itu telah mengubah suasana yang pada asalnya semuanya bermuka tak peduli sesama insan menjadi saling senyum dan hormat menghormati. Semuanya itu datang setelah Dato mendendangkan beberapa rangkap syair. Melodi syairnya pula bukanlah seperti yang kita selalu dengar, tapi melodi syair yang hanya dapat kita dengar dari orang-orang tuan yang berada di kampung. Alunan syair itu mendamaikan dan mengkagetkan. Mendiamkan semua orang hingga merasa terlalu asyik. Best sangat.. rugi korang tak datang..

Perkara yang sebegini bukan senang kau nak peroleh, malah hari ini budaya bersyair biasanya kau akan jumpa dalam program VVIP dan VIP. Kalau tak sampai kau kena kapan pun kau takkan dapat dengar..

Sambil memberi penerangan tentang bukunya itu sambil bersyair sempat juga Dato berceloteh dan bercerita tentang peri pentingnya meneruskan warisan bangsa Melayu ini biarpun kita berlainan negeri. Beliau kini berusia 96 tahun dan masih lagi bergiat aktif dalam bidang budaya bangsa samada menulis novel, cerita rakyat, bersyair, bergurindam dan macam-macam lagi.

Kepada korang yang kononnya nak jadi pahlawan Melayu, esok kau datanglah ke reruai G 05, Buku Warisan. Dewan Tun Dr Ismail jam 2.30-3.30 ptg. Dekat dengan pentas utama. Kalau tak tahu tanyalah orang disitu.

Esok akan ada satu lagi sesi penulis dan Insya Allah kau akan dapat dengar dendangan syair dari beliau!.

Terima kasih buat semua yang sudi hadir.

Isnin, 10 April 2017

Sejarah Singapura: Melayu Yang Dilupakan

Didalam sejarah Melayu hinggalah ke zaman moden sebelum “terpajak” dan “terjualnya” Singapura kepada Barat dan PAP. Nama Temasik telah disebut didalam sejarah Melayu begitu jugalah didalam catatan Cina menurut Wang Ta Yuan pedagang Cina telah sampai ke Temasik didalam didalam bukunya bertajuk “Brief Records of the Island Barbarians” pada tahun 1349 telah menulis tentang sebuah penempatan kecil bernama Dan Ma Xi (Temasik) sebelum pergi ke Asia Selatan. Temasik juga dikenali sebagai Pulau Ujung. Pulau Ujung/ Temasik ini kemudian dinamakan sebagai Singapura oleh Sang Nila Utama setalah mendapat bantuan untuk membuka kawasan pulau itu dari ayah mertuanya Raja Bentan.

Kemudian disebutkan pula tentang Parameswara yang singgah ke Temasik sebelum membuka Melaka. Dikatakan juga bahawa Orang asal Temasik iaitu Orang Laut telah memberikan taat setia kepada Parameswara dan mereka telah menjadi tentera laut di Melaka pada waktu itu. Selain Orang Laut terdapat juga beberapa puak asli di Temasik iaitu Orang Selat, Orang Gelam, Orang Kalang dan Orang Kelumang. Namun didalam sejarah Melayu Melaka nama Temasik agak tenggelam sehinggalah munculnya kerajaan Johor-Riau-Lingga- Pahang kemudiannya. Namun nama Temasik juga seolah tidak disatukan didalam sejarah negeri Johor mungkin kerana Temasik pada waktu itu termasuk didalam kawasan pemerintahan Johor. Nama Singapura muncul kemudiannya semasa penyerahan pulau itu kepada Raffles pada tahun 1821. Sejak daripada itu nama Singapura terus disebut didalam pelbagai peristiwa sejarah namun lama kelamaan sejarah orang Melayu seolah-olah hilang ditelan arus pemodenan negara itu. Selepas tertubuhnya negeri-negeri selat,bersekutu dan tidak bersekutu Singapura dijadikan pusat pemerintahan bagi seluruh Malaya dan Singapura diletakkan sebagai negeri yang asing walaupun dibawah satu Gabenor Jeneral. Kebiasaanya ia akan disebut Malaya-Singapore dan rata-rata tahu tentang ini. Pada abad ke 19 pula menyaksikan kemunculan beberapa tokoh Melayu antaranya ialah Syed Syeikh Al Hadi. Antara penulisan terpentingnya berkenaan orang Melayu Singapura ialah

“Patutlah kita mengambil iktibar dengan barang yang telah terjadi keatas kaum kita pada masa yang lalu dan pada masa sekarang didalam negeri kita dan tanahair kita dan watan yang kita kasihi. Awal dahulu kediaman bangsa Melayu dan Arab di Singapura dimasa satu kurun lalu di High Street dan Cross Street dan sekelilingnya. Maka apakah naik sahaja sewa rumah kerana menurut "kenaikan harga rumah dan tanah" undurlah sekaliannya ke sebelah Tg Pagar dan Kg Gelam. Maka turut oleh amarah negeri kepada kedua-dua tempat itu larilah pula kebanyakan mereka itu ke Kallang dan seumpanya. Maka jika diturut pula amarah negeri lagi akhirnya kelak entahkan terpaksa kita sekalian lari hingga ke Papua dan ke tempat orang bertelanjang?”

Menuntut Ketinggian Anak-anak Negeri - Syed Syeikh Al Hadi – 1908

Terdapat beberapa lagi penulisan di dalam akhar-akhbar Singapura sekitar 30an berkenaan luahan orang Melayu Singapura yang dihimpit kemiskinan dan tidak mampu membeli rumah kerana pada waktu itu 70% Singapura didiami oleh orang-orang Cina.

Seterusnya nama Melayu Singapura disebut semasa Perang Dunia ke 2 iaitu ketika peristiwa Leftenan Adnan di bunuh di Bukit Chandu. Walaubagaimana pun Singapura pernah melahirkan pelbagai tokoh didalam bidang lakonan dan layar perak ketika Studio Jalan Ampas beroperasi sehinggalah ia ditutup oleh Shaw Brothers dan sebahagian besar pelakon-pelakon era 30an-60an datangnya dari Singapura. Sekitar era 50an muncul pula kisah Natrah seorang anak Belanda yang dibela oleh seorang Melayu. Peristiwa tersebut berlarutan dalam tempoh yang agak panjang sehingga Natrah menetap dan menghabiskan hayatnya di England.

Kisah yang dipaparkan ini adalah secara umum sekadar untuk mengenang saudara kita di Singapura yang walaupun dirantau orang tetapi tetap juga sedarah dengan kita...

Hari ini apabila kita bercakap mengenai soal Melayu kita sering terlupa tentang saudara kita di Singapura. Kadangkala kita lupa saudara kita disana. Hari ini orang Melayu Singapura seaakan hilang terus sejarahnya. Kalau korang yang selalu dok pandang sejarah Indonesia tu disebabkan semangat dan kekerasan mereka. Pernah tak korang fikir bahawa orang Singapura dan selatan Thai menjadikan sejarah kita sebagai idola mereka. Begitu jugalah pulau- pulau disekitarnya. Kita selalu tak pandang diri sendiri sebab dalam fikiran kita negatif sangat dengan sejarah bangsa sendiri. huhuhhuhuh

Admin rasa hairan kenapa di Singapura bahasa kebangsaannya Melayu...

Sumber

Sejarah Singapura Buyong Adil 1979
Khoo Kay Kim, Nasionalisma Melayu 1919-1941
Syed Syeikh al Hadi, Sasterawan Progresif Melayu 1997
Tanah Baru Naga Selatan (TBNS) 2015

Persenjataan dan Taktikal Melayu Perak Pada Abad Ke 19.

Persenjataan dan Taktikal Melayu Perak Pada Abad Ke 19.
Peperangan diantara orang Melayu pada suatu masa dulu dikategorikan sebagai peperangan diantara kumpulan berada dan tidak berada sebagai contohnya kumpulan yang berada menguasai kawasan bijih dan kumpulan yang tidak berada cuba menguasai kawasan tersebut. Walaubagaimanapun peperangan ini berlaku secara tiba – tiba dan tidak teratur. Satu – satunya peperangan yang bersifat panjang ialah pengepungan kubu – kubu. Walau bagaimanapun Barat menganggap ia suatu tindakan kurang bijak kerana pengepungan itu hanya sekadar untuk menunggu mereka yang didalam kubu itu mati kelaparan.[1] Gaya serangan orang Melayu terhadap kubu pula ialah dengan cara muslihat iaitu cuba menawan kubu tersebut tanpa disedari pihak lawan dan sekiranya gagal maka mereka akan mula mengepung kubu tersebut. Taktik lain seperti berpura - pura kalah juga digunakan bagi menarik pihak lawan keluar dari kubu.

Kubu merupakan pusat taktikal bagi segala gerakan. Ia biasanya terletak di tebing sungai yang biasanya terletak di anak sungai dan sungai yang besar dan ia juga berfungsi sebagai pusat pengawalan bagi lalu lintas sungai.[2] Di kubu – kubu ini juga diletakkan meriam dan jarang sekali terdapat orang yang terselamat apabila melintasi kubu ini. Sekiranya kubu ini ditawan maka penakluk akan memperolehi sebuah kawasan yang luas samada di bahagian ulu sungai atau di lembah sungai tersebut.

Antara contoh yang diberikan ialah corak perkubuan yang digunakan oleh Dato Maharajalela yang telah memperbaiki parit dan mengarahkan setiap orang kampung menyediakan 100 batang kayu bagi membina sebuah kubu. Parit yang telah diperbaiki ialah seluas 12 kaki lebar dan 6 kaki dalam yang dipenuhi air sungai, sebuah tambak tanah dan pagar didirikan atas tanah itu. Pagar ini pula selalunya akan diletakkan pancang sebanyak 2 baris dan diantaranya diletakkan tanah dan pagar seperti ini tidak ditembusi peluru.[3] Kubu ini juga diatasnya ditutupi dengan pagar dan diluarnya tedapat buluh – buluh runcing yang tajam dan menjadi sebentuk ranjau bagi melukakan kaki penyerang. Diantara buluh ini juga diletakkan lubang bagi memerangkap orang yang tidak berhati – hati.[4] Jauh di hadapan kubu juga dibina halangan dari pokok yang ditebang bagi menyukarkan pergerakan penyerang dan dalam kawasan kubu juga dibina rumah bagi para pengawal dan dibuat sebuah lubang tempat menembak. Secara umumnya disetiap penjuru akan diletakkan meriam yang akan membedil penyerang dari semua arah. Pintu gerbang juga diperbuat dari kayu yang berat agar sukar untuk ditembus masuk oleh penyerang serta didalam kubu akan dibina tempat simpanan makanan sekiranya di kepung oleh musuh. Pada tahun 1870an senapang matchlock dan flintflok adalah senapang yang biasa digunakan pada zaman itu disetiap ceruk dunia namun pistol snider mula digunakan bagi menggantikan kedua jenis senapang tersebut.[5] Peluru bedil daripada timah juga boleh dibuat sendiri namun sebahagian besarnya diimport daripada luar.[6]

Menurut catatan Frank Sweetenham didalam bukunya British Malaya (1948) mengatakan

“Sekitar tahun 1874 orang – orang Melayu Perak sangat suka membawa senjata sebanyak mungkin bersamanya sebagai contohnya 2 bilah keris, 2 batang lembing, selaras senapang dan sebilah pedang”.

Meriam dan senapang sudah lama digunakan oleh pasukan Perak yang dibeli dari Belanda & British melalui pertukaran bijih timah ataupun membayar secar tunai dan kebiasaanya ia dibeli oleh Sultan yang kemudianya diserahkan kepada pembesar bagi tujuan keselamatan negeri. Memandangkan sungai Perak terutamanya di kawasan Perak Tengah merupakan kawasan pemerintahan Sultan Perak terdahulu serta merupakan laluan utama perdagangan maka adalah menjadi suatu kemestian untuk mendapatkan persenjataan seperti ini. Walaubagaimanapun tidak pula dinyatakan jumlah senjata yang dibeli. Sebagai contohnya pada tahun 1827, Panglima Che Alang Aidin telah menggunakan 12 pucuk senapang bagi menghalang pasukan Kedah yang telah dipaksa oleh Ligor bagi menyerang Perak.[7] Contoh lain pula ialah ketika Lieutenant Abbot dan orangnya dihujani dengan tembakan dari arah seberang sungai ketika beliau berburu yang menyebabkan beliau lari ke Bandar.[8]

Hari ini segala senjata itu diletakkan di MuziumPasirSalak sebagai peringatan kepada sejarah bangsa yang telah berlalu. Semoga ia menjadi kenangan dan kesedaran buat bangsa Melayu. Walaupun sudah tertewas di medan tempur namun semangat perjuangan tidak boleh padam sampai bila – bila...

Nota Kaki

[1] Agak menghairankan kerana British juga pernah melakukan pengepungan terhadap pahlawan –pahlawan Kedah samada di darat atau di laut semasa Perang Kedah – Siam 1821.
[2] Kubu – kubu juga dibina oleh orang Cina semasa peperangan diantara kongsi gelap Hai San dan Gee Hin di kawasan sungai Kelian Pauh dan Kota. Lihat R.N Jackson, Pickering : Protector of Chinese,1965.
[3] J.M Gullick, Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu,1978.
[4] Jerangkap samar yang biasanya digunakan dalam semua jenis taktikal peperangan dalam semua bangsa didunia.
[5] Semasa lawatan admin ke Muzium Pasir Salak, admin sudah diberikan penerangan tentang perkara ini oleh pegawai Muzium namun pada waktu itu penulis hanya berniat untuk melihat saja dan bukan bertujuan untuk menyelidik tentang perkara ini.
[6] J.M Gullick, Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu,1978.
[7] Abdullah Haji Musa (Lubis), Sejarah Perak Dahulu dan Sekarang, Penebit Qalam Singapura,1965, hlm 46.
[8] Bandar terletak didalam kawasan Pasir Salak dan peristiwa yang berlaku adalah rentetan dari pembunuhan JWW Birch. Lihat - Abdullah Haji Musa (Lubis), Sejarah Perak Dahulu dan Sekarang,1965.

Gambar : Sabrizain "The Perak War".

Sambung ke sini pulak https://gerodamerah.wordpress.com/

NEGERI CAHAYA (CHAIYA) : DIMANA SEJARAHNYA ?

Negeri Chaiya, Thailand

Sepanjang membuat penyelidikan tentang hubungan Melayu - Siam ini terdapat banyak perkara yang masih dianggap misteri oleh sejarawan -sejarawan dunia dan tempatan (Thai-Malaysia_ berkenaan negeri di Segenting Kra. Sebenarnya sudah banyak hipotesis dibuat hingga ke hari ini di semua lapisan masyarakat. Namun sejauh mana usaha telah dibuat untuk melihat semula kearah tamadun ini?. Adakah sekadar habis di fb? atau adakah telah wujud sebarang penemuan baru dalam dunia sejarah? atau adakah sudah ia dibiarkan begitu sahaja?

Dalam konteks wilayah hari ini. Kawasan Cahaya atau nama Thainya disebut Chaiya berada di dalam kawasan yang sudah terpisah dengan Alam Melayu. Mungkin kerana anggapan itu orang Melayu di lain-lain negara yang masih mengekalkan identitinya sudah terlupa tentang negeri ini, sepertimana yang dapat kita lihat kepada Patani.Berbeza dalam hal Patani rakyat Patani dari dulu lagi hingga ke saat ini masih mempertahankan jati diri mereka sebagai orang Melayu dan terpenting sekali ialah Islam.

Bagi negeri - negeri lain pula, mereka walaupun dianggap sebagai Melayu atau tergolong dalam Polinesia namun anutan agama yang mereka percaya adalah berbeza dari orang Patani dan Malaysia. Oleh itu adakah kerana faktor ini yang menyebabkan tiada usaha dari mana - mana pihak untuk mengakskavasi tamadun mereka?. Maksudnya ialah Thai dengan kebangsaan Thai manakala Malaysia dengan Islamnya.. jadi apakah pertembungan ini menguntungkan mana-mana pihak?. Anda jawab...

Berbalik kepada Negeri Cahaya ini, amat jarang sekali disebut tentang negeri ini terutamanya pada abad ke 19, dan hampir tiada lansung perihal negeri ini kemudiannya jika dipandang pada sudut hubungan Melayu-Siam pada abad 16M-20M seolah-olah ia adalah sebuah negeri yang dilupakan terus dan telah menjadi Siam sepenuhnya. Walaupun begitu jika dibaca pada abad pertama hingga ke abad ke 8M.. ada disebut tentang nama negeri ini beberapa kali terutamanya apabila kita membaca hal-hal berkaitan arkeologi. Antaranya G.Coedes dan HG Quadritch.

Merekalah antara penggerak yang membuka kepada penemuan-penemuan artifak yang telah membuktikan bahawa wujudnya sebuah tamadun di kota itu. Apakah nama Cahaya itu sebuah penjemaan semula? Namun hakikatnya Cahaya itu datang dari perkataan Cahya dalam bahasa Sanskrit dan dengan penemuan Lingam membuktikan bahawa sudah wujud kerajaan tua di kawasan itu sepertimana wujudnya Tambralingga di Patani. Sesuatu yang perlu dilihat ialah apakah negeri Cahaya dan Terang itu sebuah negara besar di tengah genting melayu? Apabila di gabungkan ia berbunyi Cahaya Terang! atau apakah ia juga termasuk di dalam penguasaan kerajaan Kedah Tua pada suatu masa dahulu ?.

Namun sejauh manakah proses sejarah ini berlaku dan bagaimanakah pula kita cuba mempertemukan titik sejarah ini? Misteri yang hanya dapat dirungkai sekiranya anda sendiri membuat kajian dan menilainya!..

Rundung Cahaya Terang di Ujung Salang Negeri Kedah
Kota Seribu Raja Berdelung Singora (Bukit) di Langkasuka.

Dato Luak Negeri Sembilan

Dato Luak Negeri Sembilan


Pembentukan Negeri Sembilan sebenarnya mengalami proses yang agak lama, iaitu sekitar 1643M iaitu tarikh pembentukan Naning sehinggalah 1760M tarikh pembentukan Jelebu sehinggalah 1773M tarikh Persekutuan Negeri Sembilan. Makanya, amatlah bermakna kalau kita boleh mengetahui siapakah yang bertanggungjawab dalam pembentukan sembilan negara ini.

3.1. Dato’ Sri Lela Merah : Pemimpin pertama Naning yang diiktiraf oleh Belanda. Pengiktirafan sekali lagi diberikan oleh Sultan Abdul Jalil III Johor kpd pemimpin Naning pada 1705M.

3.2. Pemerintah Rembau (tidak disebut namanya) mendapat pengiktirafan dari Sultan Johor pada 1707M.

3.3. Dato’ Bandar Sungai Ujong mendapat pengiktirafan dari Sultan Johor beberapa tahun selepas Rembau. Dato’ Klana adalah pemerintah tatkala 1773M, ada 7 pemerintah sebelum beliau.

3.4. Dato’ Jelebu mendapat pengiktirafan dari Sultan Johor pada 1760M.

3.5. Dato’ Klang (tiada maklumat)

3.6. Dato’ Pasir Besar (tiada maklumat)

3.7. Dato’ Inas (tiada maklumat)

3.8. Dato’ Segamat (tiada maklumat)

3.9. Dato’ Jelai (tiada maklumat)

Wilkinson menjelaskan bahawa sembilan negeri yang membentuk persekutuan pada 1773M itu kemudiannya berpecah lagi kepada tambahan enam negeri iaitu Johol, Gemencheh, Terachi, Gunung Pasir, Jempol dan Ulu Muar. Sepatutnyalah kemudian digelar Negeri Enam Belas, tapi tidaklah sedemikian halnya.

Oleh : Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir.

Sejarah Pulau Kundur

Pulau Kundur, Riau

Inskripsi Tamil bersama-sama dengan bukti daripada ahli geografi Arab juga membuktikan bahawa Maharaja Zabaj adalah Maharaja Sribuza dan Kalah. Maharaja itu memegang kedua-dua pantai selat. Pada abad-abad berikutnya dipercayai sudah ada perhubungan dagang diantara China dan Arab. Pada zaman Saidina Umar r.a dibawah pimpinan Utba ibn Ghazwan sebuah pelabuhan di Teluk Parsi telah berjaya ditawan pada 636M. Dalam tempoh 2 tahun (638M) pelabuhan itu menjadi sangat maju dan makmur sehingga digambarkan bahawa pasar Basra ketika itu telah dibanjiri dengan kehadiran pedagang dari negara-negara Arab,Timur Afrika, Parsi,India dan Melayu daripada “Zabaj”. Kapal – kapal yang mempunyai hubungan dagang dengan China belayar dari Siraf (Yaman) di pantai Fars dimana hasil dagangan itu dibawa ke Basra (Iraq) dan lain – lain tempat. Kemudian mereka ke Mascat (Oman) dan berhenti singgah di Kulam – Male dimana ia mengambil masa selama sebulan untuk sampai. Merentasi kepulauan Nicobar mereka terus menuju ke Kalah di Semenanjung Tanah Melayu yang mengambil masa selama sebulan untuk sampai dari Kulam. Dari Kalah pula akan mengambil masa selama 4 hari untuk sampai ke Pulau Condor (Kundur?) yang jaraknya pula mengambil masa selama sebulan untuk sampai ke Canton (China). Pada zaman ini juga Kedah merupakan sebuah ibu kota bagi Sriwijaya di kawasan utara dan merupakan antara kerajaan awal yang menerima Islam.

Pulau Kundur menurut peta hari ini terletak di Kepulauan Riau, Indonesia.

Ahad, 2 April 2017

Terima Kasih Si Babi Hutan




Selama 3 jam semalam saya habiskan masa untuk menamatkan pembacaan saya tentang buku ini. Bab 1 buku ini pada saya sangat menarik kerana penulis berjaya mengolah satu plot cerita tentang manusia melalui perlakuan haiwan. Bagi saya ia membawa maksud yang mendalam bagi "orang-orang yang berfikir". Tapi entah kenapa cerita itu tidak dihabiskan dan saya sangat berharap agar bab 1 itu dapat dibukukan menjadi sebuah buku baru.

Pada bab kedua buku ini berkenaan kisah beliau menjalani kehidupan yang penuh kusut apabila kehilangan anak yang pada masa itu berada dalam jagaan pihak polis dan diselia oleh Mahkamah Syariah Pulau Pinang namun bapanya begitu tenang dan bersabar menasihati beliau dengan pelbagai kisah-kisah nasihat yang sangat membuka pemikiran saya sebagai seorang pembaca yang juga bersifat radikal. Kisah bagaiman sabarnya si fakir Abdullah dengan mulut-mulut orang kampung dan bagaimana tabahnya pak tua pengembala kambing yang menghadapi situasi dimana memungkinkan kepalanya dipenggal oleh pemerintah.

Pada saya buku ini membaca kepada satu enlightenment atau satu cara pembaharuan dalam kefahaman Islam. Penulis juga sering menekankan kepentingan kusyuk dalam solat dan mengapa begitu perlu kita mengenal Allah itu. Ya.. "Awalludin Makrifatullah", awal agama itu ialah mengenal Allah tanpa kenal dan tahu maka kita hanya menurut perintah agama kerana mengikut-ngikut apa yang diperbuat oleh nenek moyang kita dahulu. Penulis juga mengkritik agamawan dunia kini kerana hanya menumpukan bidang fikh saja tanpa memberi penekanan tentang soal hakikat dan makrifat. Bukanlah kesemua namun kebanyakkannya begitulah.

Saya juga pernah terfikir tentang ini kenapa hanya soal-soal hukum saja yang ditekankan sedangkan pembuat hukum itu tidak pula diperkenalkan dengan lebih mendalam. Bukankah sang pencipta itu lah yang harus di kenal dan diagungkan. Tapi itulah realiti dunia dimana manusia hanya menggunakan apa yang mereka rasa suka dan dekat dan tidak ingin lansung mengenal siapakah pencipta tersebut sebagai contoh tidak semua dari kita mengenal siapakah ahli falak dan kaji bintang Melayu.

Namun hampir 50 halaman buku ini dihabiskan dengan kisah penulis yang bertekak dengan Mat Dauf seorang lelaki yang sepertinya selalu ke masjid menunaikan solat yang kemudiannya menganggap penulis ini sesat kerana tidak pernah ke masjid. Persoalan hukum niat,wuduk dan lain-lain dihujahkan dengan panjang lebar yang sedikit sebanyak menyebabkan pembacaan saya agak terganggu kerana soal hukum itu diulang-ulang. Namun pada muka surat terakhir jelas menunjukkan bahawa penulis lebih banyak mempertahankan bapanya yang dituduh sesat oleh Mahkamah Syariah Pulau Pinang yang di sokong pula oleh media massa yang secara tak lansung menenggelamkan cerita anaknya yang hilang dalam kawalan mereka. Buku ini membawa kepada satu realiti kehidupan kita hari ini apabila orang-orang berkuasa merasa megah dengan kuasa yang sedikit dan orang ramai yang mula mengambil sikap tidak peduli kepada masalah manusia lain yang sepertinya sifat Ihsan kita sudah dicabut dari hati... Allahu..

Disamping itu Zaki iaitu sahabat penulis sering saja memberi nasihat kepada penulis untuk terus tabah dalam menghadapi saat sukar ini. Berat dugaan seorang manusia itu sangat besar namun "Allah menguji setimpal dengan iman kita" jadi atas sebab itulah Zaki dan bapa penulis terus menerus menasihat dan memberi semangat kepada penulis.

Apapun pada saya buku ini menarik dari sudut penghujahan ilmu Allah dan benarlah tidak semua manusia itu dapat mencapai tingkat iman tertinggi sedangkan sifat malu itu ada 99 macam dan begitulah tahap iman seseorang. Kesimpulan yang dapat saya buat dari sini ialah belajarlah makrifat dahulu kemudian hakikat dan seterusnya tarikat yang akhirnya membawa kita kepada syariat kerana pada saya inilah yang Nabi SAW buat dahulu sebelum Islam tersebar dengan luas.

Sehingga saat saya menulis ringkasan ini saya masih terkesan dan terbuka rasa hati hendak belajar ilmu sifat 20 dan saya yang selama ini banyak melihat pentingnya memperjuangkan "keduniaan" Melayu merasa lebih tenang dan segar dan yang penting sekali buku ini telah menjadikan saya seorang yang ingin tahu tentang garis yang memisahkan dunia dan akhirat.

Iqra!

MHR.