Khamis, 30 Mac 2017

Mitos: Sumpahan Sang Kelembai.

Mitos: Sumpahan Sang Kelembai.

Sang Kelembai merupakan makhluk ghaib yang menghuni hutan tertentu di beberapa tempat di negara ini. Sesetengah tempat dipanggil Sang Gedembai.

Sang Kelembai dipercayai mempunyai kuasa sakti yang boleh menyumpah sesiapa sahaja menjadi batu. Sang Kelembai biasanya berada di dalam hutan dan pantang kepada bunyi bising ketika berada di dalam hutan. Jika Sang Kelembai tertarik dengan bunyi tersebut, Sang Kelembai akan menegur. Manusia atau binatang yangditegur akan menjadi batu.Tidak kurang juga yang mengatakan Sang Kelembai ini mampu terbang dan hanya memakan pucuk-pucuk buluh sahaja.

Terdapat beberapa pandangan tentang kewujudan Sang Kelembai. Menurut Harun Mat Piah, dari buku beliau bertajuk Sastera rakyat Malaysia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam: Satu Perbandingan. Kelembai berasal daripada manusia yang tinggal di daerah hulu negeri Pahang, Semenanjung Malaysia. Kononnya; ada dua orang adik-beradik, seorang bernama Tak Ong dan adiknya Tatang. Mereka selalu bertarung kerana Tak Ong sentiasa cemburu terhadap kelebihan Tatang. Pertarungan selalu dimenangi oleh Tatang. Dalam cerita ini sentiasa diperlihatkan kegagahan dan kepintaran Tatang. Antaranya, dia dapat mengubati luka dan penyakit mata abangnya. Dalam perlawanan memanah pula, kedua-dua telinga Tak Ong putus terkena panah Tatang.

Tatang mempunyai sifat gagah seperti Badang. Seluruh pokok perah di sektar Pulau Raya dicabutnya kerana anak lelakinya mati termakan buah perah. Sehingga kini dikatakan Pulau Raya tiada pokok perah. Anak perempuannya juga mati kerana memakan buah perah, dan mayatnya dikebumikan di Gunung Tahan. Isteri Tatang meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam Sungai Dong ketika melalui sebuah titi untuk menyeberang.
Setelah kematian keluarganya, Kelembai menjadi seorang yang selalu berdukacita. Dia tidak gemar melihat orang bersuka-suka. Dia sering sahaja menegur dan menyumpah sesuatu yang dilihatnya.

Di Pahang Sang Kelembai ini dikatakan berasal dari sebuah gunung dan tinggal dalam hutan yang terletak di KualaTahan serta turut mempunyai keluarga di sana, Namun tidak pernah diketahui siapa isterinya dan berasal dari mana kerana hanya kisah Sang Kelembai dan anaknya sahaja yang sering diceritakan. Kononnya anak Sang Kelembai telah meninggal dunia akibat mabuk selepas memakan buah perah.

Kota Gelanggi pula merupakan salah satu tempat yang banyak mengisahkan tentang Sang Kelembai ini suatu ketika dulu dan turut berkait serta menjadi pengukuh cerita sejarah gua tersebut.Kota Gelanggi ini dahulunya merupakan sebuah istana milik seorang raja yang bernama Raja Gelanggi dan baginda dikatakan mempunyai seorang anak perempuan yang cantik serta baik dan telah ditunangkan dengan seorang raja di Rembau yang bernama Raja Usul.Kecantikan Puteri Raja Gelanggi telah diketahui oleh seorang raja dari kayangan yang bernama RajaMambang dan ingin memperisterikan puteri rajatersebut. Oleh kerana takut, Raja Gelanggi terpaksa menerimapinangan itu dan mengahwinkan puterinya dengan Raja Mambang.

Tiba – tiba berlaku peperangan telah berlaku antara angkatan RajaUsul dan Raja Mambang dan maka pada ketika inilah Sang Kelembai muncul sertamenegur tentang perangai dua jenis makhluk ini berperang kerana seorang perempuan. Akibat sumpahan itu semua yang ada di situ menjadi batu, lancangnyamenjadi tanah, laut menjadi padang, sungai menjadi lembah dan segalanya musnah begitu sahaja. Maka dengan ini, wujudnya Gua Kota gelanggi yang mempunyai batu-batu yang mempunyai bentuk manusia, binatang dan berbagai-bagai akibat dari teguran Sang Kelembai.

Di Perak pula sebagai contohnya di kawasan Perak Tengah dikatakan bahawa Sang Kelembai juga berada disana. Menurut cerita orang tua – tua diatas sebuah bukit berdekatan Jambatan Nordin yang menghubungkan Tanjung Belanja dan Parit terdapat batu –batu orang ramai yang menyambut majlis perkahwinan dan penceritaannya juga agak sama dengan apa yang berlaku di Jerantut. Walaubagaimanapun Pekan Batu Gajah Perak pula mengambil nama dari sekumpulan gajah yang disumpah ketika berada di kawasan tepi sungai Perak. Kononnya pada waktu itu Sang Kelembai sedang tidur dan terus menyumpah kawanan gajah itu kerana membuat bising. Menurut orang ramai kawanan gajah itu masih lagi boleh dilihat tidak jauh dari kawasan pinggir Sungai Perak. Wujudnya Gunung Bubu di Perak kononnya akibat sumpahan anak Sang Kelembai ke atas bubu yang digunakannya untuk menangkap ikan tapi dia tidak menyangka bahawa bubunya telah rosak dan tidak diperbaiki. Akibat terlalu marah anak Sang Kelembai mencampakkan bubunya diatas sebuah gunung yang kita kenal hari ini. Tidak dapat dipastikan dimanakah kedudukan Gunung Bubu itu kerana terdapat 2 Gunung Bubu iaitu di Kuala Kangsar dan Grik, Perak.

Manakala Pekan Kampung Gajah di Teluk Intan, Perak mendapat nama daripada batu di kaki Bukit Tunggal yang menyerupai bentuk gajah. Kewujudan batu ini dikatakan kerana gajah yang banyak di situ telah membuat bising dan Sang Kelembai yang tidak suka dengan suasana bising, telah menegur gajah-gajah tersebut. Akibatnya gajah tersebut dikatakan menjadi batu.Namun demikian sehingga kini , tidak dapat dipastikan kedudukan sebenar batu yang menyerupai gajah di Bukit Tunggal itu.

Sesungguhnya cerita Sang Kelembai ini membawa banyak teladan dan dianggap kisah waktu tidur untuk anak – anak. Tapi yang mitos itu tidak semestinya tidak wujud hanya kerana tiada bukti. Tiada angin masakan pokok boleh bergoyang. Inikan pula bangsa Melayu yang terkenal dengan sejarah lisannya .

Jika anda ada kisah yang sama di tempat anda kongsilah. Siapa tahu akan ada sesuatu yang menarik tentang Sang Kelembai ini!

p/s Jangan lupa beli buku-buku pilihan kami! :D

Sejarah Perisikan : Jack v Nippon

Sejarah Perisikan : Jack v Nippon


Dalam sejarah perisikan dan peperangan dunia terutamanya melibatkan Perang Dunia (PD) I&II sering kali kita disajikan dengan cerita perisikan dari Eropah terutamanya melibatkan pihak Berikat dan Nazi. Kemudiannya ke zaman Perang Dingin apabila melibatkan CIA, KGB dan MI5. Jarang sekali kita dalam melihat filem perang berdasarkan perisikan di kawasan Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik. Di Tanah Melayu terutamanya sejarah yang dipaparkan kebiasaanya melibatkan kekejamaan tentera Jepun dan kebaikan tentera British yang telah menyelamatkan Tanah Melayu dari “kekejaman” Jepun. Kejam Jepun disebabkan dia membunuh dan menyeksa orang tapi kejam British dia ambil maruah bangsa, isi perut bumi dan sejarah bangsa Melayu huhu...

Sejak tahun 1930 lagi Imperial Jepun telah menghantar perisiknya ke seluruh Tanah Melayu (TM) untuk meninjau keadaan geo politik Malaya. Perisik ini bukan sahaja di hantar ke sini malahan seluruh Asia Tenggara.

Di dalam buku terbitan kami iaitu “Tanah Baru Naga Selatan” ada kami ceritakan tujuan utama perisik Jepun ke sini dan siapa pula perisik yang di hantar ke sini serta Perang Sino-Jepun pada tahun 1937.

Selepas PD 1 dan Perang Jepun China di Manchuria, Imperial Jepun mula mengalihkan perhatian kepada TM dan Singapura. Perkembangan ini menyebabkan British Malaya mula melihat tindak tanduk British dengan berhati-hati. Walaupun begitu hubungan British – Jepun dalam Syarikat Konsesi 5 kuasa di China menyebabkan British melakukan misi risikan secara paling rahsia dan tidak di ketahui oleh sesiapun kecuali pihak yang terlibat. Sebelum tercetusnya PD II British menganggap mereka adalah lebih superior berbanding Jepun yang jauh ketinggalan dari sudut teknologi yang tidak dapat membantu para perisikan Jepun dalam melakukan tugas-tugas mereka. Kelemahan Jepun juga dikaitkan dengan kelemahan unit propaganda Jepun malahan di anggap lebih lemah daripada China. Hal inilah yang di jaja oleh British kepada seluruh dunia sebelum PD II. Perisik Jepun juga dianggap lemah kerana tidak tahu berbahasa Inggeris dan terlalu taat dengan sistem feudal yang ada. Ketaatan ini menyebabkan pihak British menganggap perisikan Jepun tidak mandiri. Kelemahan ini terbawa – bawa hingga ke TM dan membiarkan perisik- perisik Jepun masuk ke TM dan apabila mereka sedar semuanya sudah terlewat.

Pembabitan risikan Jepun di Singapura telah disyaki sejak sekian lama oleh British melalui kedutaan Jepun di Singapura malah British Singapura menganggarkan Kedutaan Jepun memperuntukkan $12 000 untuk aktiviti perisikan ini. Teori ini dikuatkan lagi dengan ketibaan kapal SS Hakone Maru pada tahun 1938 apabila pemeriksaan kapal menjumpai sebuah surat bertajuj yang dikatakan sebagai kod rahsia Pejabat Luar Jepun. Sebelum itu pada tahun 1934 Cawangan Khas British telag mengenalpasti kemasukan Katsujiro Kizaki dan Tetsuhiko Kaseda ke Singapura yang merupakan anggota perisikan tentera laut. Kedua mereka ini masuk ke Singapura sebagai wartawan walaubagaimanapun mereka telah di tangkap oleh cawangan khas dan polis telah menemui $8000 dan kamera milik Kizaki. Kizaki kemudiannya di minta hadir ke balai polis namun telah membunuh diri dengan memakan Cynide dan Kaseda juga membunuh diri di ibu pejabat CID Singapura. Menyedari bahawa kekuatan Singapura bergantung kepada Tentera Laut maka segala usaha telah dilakukan oleh pihak Jepun sejak pangkalan laut British Singapura ini dibina pada tahun 1932. Antara yang diperolehi ialah sebuah pelan Pengkalan Laut dari Robert dengan bayaran sebanyak $1300.

Pihak British yang telah menyedari kegiatan ini telah bertindak mengumpulkan seberapa banyak maklumat yang mungkin antara langkah yang di ambil ialah membincangkan semula perjanjian Anglo-British 1911 yang turut membabitkan Tanah Melayu serta mengambil kira perkara –perkara lain agar tidak bertentangan dengan isi perjanjian. Peraturan visa telah dikenakan terhadap Jepun bagi mengelak perisik-perisik ini masuk ke TM namun untuk mengelak dari memperlihatkan syak wasangka dan dikriminasi terhadap Jepun maka undang-undang ini ditetapkan kepada semua negara. Kesan dari tindakan ini pada tahun 1937 seramai 5 orang warga Jepun telah di halau keluar dari Singapura. Antara yang menarik ialah kisah Shohei Goma yang menyamar sebagai wakil akhbar Osaka Asasi Shinbum dan mempunyai hubungan dengan Rash Behari Rose yang sangat dikedendaki oleh British pada tahun 1915 kerana cuba membunuh Lord Hardinge. Shohei Goma menerima latihan di Sekolah Perisikan Jepun dan merupakan seorang pakar dalam perdagangan candu. Goma berlepas ke Jepun pada tahun 1938 dengan menaiki kapal SS Katori Maru.

Aktiviti propaganda juga dilakukan dan propaganda anti British dan pro Jepun telah berjaya tersebar ke seluruh Singapura. Eifuku Tora merupakan ketua Taichong Kongsi iaitu organisasi nelayan jepun di Singapura sejak sekian lama disyaki terbabit dengan aktiviti perisikan oleh British dan mereka juga dilihat terlibat dengan gerakan anti Chiang Kai Shek.

Sebagai penutup Cawangan Khas British juga terpaksa menghadapi aktiviti sayap kelima dari kalangan orang melayu,Cina dan India yang menyokong Jepun terutamnya melibatkan KMM dan ratusan ahli KMM telah ditangkap pada tahun 1941 sebelum PD II tercetus. Sesungguhnya kegagalan perisikan British adalah antara penyumbang kepada kegagalan British mempertahankan TM dan Singapura yang akhirnya jatuh ke tangan Jepun pada tahun 1942.

Selasa, 28 Mac 2017

Trivia 5 Hospital British Malaya

Selain daripada membawa kemajuan dalam pelbagai bidang pekerjaan, perubatan dan kesihatan adalah diantara perkara asas terpenting yang dibawa oleh kolonial British ke Malaya. Pada zaman dahulu perubatan masyarakat Asia Tenggara banyak menggunakan kaedah tradisional yang berasaskan kepada alam semulajadi. Walaupun begitu bidang perubatan Barat dianggap paling maju hasil daripada perkembangan ilmu Islam yang kemudiannya dikembangkan oleh Barat. Seiring dengan zaman tersebut dengan perluasan imperialisme untuk menguasai sumber alam Tanah Melayu, pihak British telah mencadangkan agar hospital dibangunkan dengan tujuan merawat pelbagai jenis penyakit yang ada di Tanah Melayu seperti taun,malaria, radang paru-paru dan lain-lain lagi.

Sebenarnya hospital-hospital ini ditubuhkan bagi merawat imigran-imigran Malaya yang berkerja di lombong-lombong dan pelbagai sektor yang diwujudkan oleh British. Disini admin kongsikan senarai 5 Hospital Tertua di Malaysia :

1) Hospital Taiping

Nama asal hospital ini ialah Hospital Wah Yong atau Hospital Papa yang ditubuhkan pada tahun 1880. Hospital ini mendapat bantuan para pedagang Cina namun diambil alih oleh kerajaan British dan bertukar nama menjadi Hospital Awam Taiping pada tahun yang sama. Hospital Taiping berkembang seiring dengan peredaran zaman namun bangunan asal tersebut masih kekal sehingga kini sebagai salah satu warisan kolonial yang terdapat di Negeri Perak.

2) Hospital Alor Setar

Hospital ini dibina pada tahun 1907 tidak jauh dari lokasi istana Kota Setar yang kini menempatkan bangunan SUK Negeri Kedah.  Hospital ini menjadi nadi kesihatan bagi semua penduduk Kedah dan seiring dengan itu pelbagai wad telah diwujudkan bagi menampung pesakit yang kian bertambah. Pada tahun 2007 hospital ini diturun taraf menjadi Klinik Kesihatan Kota Setar kerana pembinaan Hospital Sultanah Bahiyah disiapkan sepenuhnya.

3) Hospital Kajang

Ha, mungkin ramai ingat bahawa hospital paling awal di Selangor mungkin terletak di Klang memandangkan ia pernah menjadi pusat pentadbiran British-Selangor, Tapi sebenarnya Hospital Kajang dibina pada tahun 1889 merupakan hospital paling tua di Selangor dan terus berkembang hingga ke hari ini dengan pelbagai infrastuktur seiring dengan pertambahan dan kemajuan Kajang hari ini.

4) Hospital Port Dickson

Nama asal Port Dickson ialah Tanjung atau disebut Arang oleh masyarakat tempatan. Sesuai dengan kedudukannya sebagai bekas pelabuhan, kemudahan untuk mendapatkan rawatan bagi pelbagai penyakit zaman kolonial telah dibina disini pada tahun 1895. Tak banyak data tentang HPD ini..

5) Hospital Pulau Pinang

Hmm, sebagai salah sebuah Negeri Selat dan dianggap paling berpengaruh di Utara Malaysia, Hospital ini dibangunkan secara sementara pada tahun 1812 dan memberi perkembangan dalam bidang perubatan di negeri-negeri sekitarnya.  Pada tahun 1854 sebuah hospital sebenar dibangunkan oleh saudagar Cina bagi mengubati ketagihan candu yang melanda dikalangan pekerja-pekerja Cina. Hari ini kita masih lagi boleh melihat kesan senibina kolonial yang menjadi saksi bahawa penjajahan secara tidak lansung berlaku di tanah air kita.


Hospital British Pulau Pinang
Hospital Pulau Pinang

Hospital British Alor Setar
Hospital Alor Star 
Hospital British Kajang
Hospital Kajang

Hospital British Taiping
Hospital Taiping

Hospital British Port Dickson
Hospital Port Dickson


Walaupun kadangkala ada keburukan yang dibawa oleh British namun mereka turut juga menyumbang kepada pelbagai kemajuan kepada negara ini secara tidak lansung.. Namun perubatan moden ini sedikit sebanyak menidakkan keupayaan perubatan Melayu yang telah lama mekar sebelum kehadiran imperialis Barat.

Terima kasih buat semua jururawat dan para doktor yang bekerja siang malam demi menyelamatkan nyawa bangsa Malaysia dan seluruh dunia!!

Jururawat muda sekarang ni.. lawa-lawa pulak.. aiseh..bergetar tulang rusuk abang.. aummm!!

~Gambar dipetik dari

Perpustakaan Awam Negeri Kedah
Kementerian Kesihatan Malaysia
Hospital Kajang
Hospital Port Dickson
Teochiewkia.blogspot