Isnin, 10 April 2017

Persenjataan dan Taktikal Melayu Perak Pada Abad Ke 19.

Persenjataan dan Taktikal Melayu Perak Pada Abad Ke 19.
Peperangan diantara orang Melayu pada suatu masa dulu dikategorikan sebagai peperangan diantara kumpulan berada dan tidak berada sebagai contohnya kumpulan yang berada menguasai kawasan bijih dan kumpulan yang tidak berada cuba menguasai kawasan tersebut. Walaubagaimanapun peperangan ini berlaku secara tiba – tiba dan tidak teratur. Satu – satunya peperangan yang bersifat panjang ialah pengepungan kubu – kubu. Walau bagaimanapun Barat menganggap ia suatu tindakan kurang bijak kerana pengepungan itu hanya sekadar untuk menunggu mereka yang didalam kubu itu mati kelaparan.[1] Gaya serangan orang Melayu terhadap kubu pula ialah dengan cara muslihat iaitu cuba menawan kubu tersebut tanpa disedari pihak lawan dan sekiranya gagal maka mereka akan mula mengepung kubu tersebut. Taktik lain seperti berpura - pura kalah juga digunakan bagi menarik pihak lawan keluar dari kubu.

Kubu merupakan pusat taktikal bagi segala gerakan. Ia biasanya terletak di tebing sungai yang biasanya terletak di anak sungai dan sungai yang besar dan ia juga berfungsi sebagai pusat pengawalan bagi lalu lintas sungai.[2] Di kubu – kubu ini juga diletakkan meriam dan jarang sekali terdapat orang yang terselamat apabila melintasi kubu ini. Sekiranya kubu ini ditawan maka penakluk akan memperolehi sebuah kawasan yang luas samada di bahagian ulu sungai atau di lembah sungai tersebut.

Antara contoh yang diberikan ialah corak perkubuan yang digunakan oleh Dato Maharajalela yang telah memperbaiki parit dan mengarahkan setiap orang kampung menyediakan 100 batang kayu bagi membina sebuah kubu. Parit yang telah diperbaiki ialah seluas 12 kaki lebar dan 6 kaki dalam yang dipenuhi air sungai, sebuah tambak tanah dan pagar didirikan atas tanah itu. Pagar ini pula selalunya akan diletakkan pancang sebanyak 2 baris dan diantaranya diletakkan tanah dan pagar seperti ini tidak ditembusi peluru.[3] Kubu ini juga diatasnya ditutupi dengan pagar dan diluarnya tedapat buluh – buluh runcing yang tajam dan menjadi sebentuk ranjau bagi melukakan kaki penyerang. Diantara buluh ini juga diletakkan lubang bagi memerangkap orang yang tidak berhati – hati.[4] Jauh di hadapan kubu juga dibina halangan dari pokok yang ditebang bagi menyukarkan pergerakan penyerang dan dalam kawasan kubu juga dibina rumah bagi para pengawal dan dibuat sebuah lubang tempat menembak. Secara umumnya disetiap penjuru akan diletakkan meriam yang akan membedil penyerang dari semua arah. Pintu gerbang juga diperbuat dari kayu yang berat agar sukar untuk ditembus masuk oleh penyerang serta didalam kubu akan dibina tempat simpanan makanan sekiranya di kepung oleh musuh. Pada tahun 1870an senapang matchlock dan flintflok adalah senapang yang biasa digunakan pada zaman itu disetiap ceruk dunia namun pistol snider mula digunakan bagi menggantikan kedua jenis senapang tersebut.[5] Peluru bedil daripada timah juga boleh dibuat sendiri namun sebahagian besarnya diimport daripada luar.[6]

Menurut catatan Frank Sweetenham didalam bukunya British Malaya (1948) mengatakan

“Sekitar tahun 1874 orang – orang Melayu Perak sangat suka membawa senjata sebanyak mungkin bersamanya sebagai contohnya 2 bilah keris, 2 batang lembing, selaras senapang dan sebilah pedang”.

Meriam dan senapang sudah lama digunakan oleh pasukan Perak yang dibeli dari Belanda & British melalui pertukaran bijih timah ataupun membayar secar tunai dan kebiasaanya ia dibeli oleh Sultan yang kemudianya diserahkan kepada pembesar bagi tujuan keselamatan negeri. Memandangkan sungai Perak terutamanya di kawasan Perak Tengah merupakan kawasan pemerintahan Sultan Perak terdahulu serta merupakan laluan utama perdagangan maka adalah menjadi suatu kemestian untuk mendapatkan persenjataan seperti ini. Walaubagaimanapun tidak pula dinyatakan jumlah senjata yang dibeli. Sebagai contohnya pada tahun 1827, Panglima Che Alang Aidin telah menggunakan 12 pucuk senapang bagi menghalang pasukan Kedah yang telah dipaksa oleh Ligor bagi menyerang Perak.[7] Contoh lain pula ialah ketika Lieutenant Abbot dan orangnya dihujani dengan tembakan dari arah seberang sungai ketika beliau berburu yang menyebabkan beliau lari ke Bandar.[8]

Hari ini segala senjata itu diletakkan di MuziumPasirSalak sebagai peringatan kepada sejarah bangsa yang telah berlalu. Semoga ia menjadi kenangan dan kesedaran buat bangsa Melayu. Walaupun sudah tertewas di medan tempur namun semangat perjuangan tidak boleh padam sampai bila – bila...

Nota Kaki

[1] Agak menghairankan kerana British juga pernah melakukan pengepungan terhadap pahlawan –pahlawan Kedah samada di darat atau di laut semasa Perang Kedah – Siam 1821.
[2] Kubu – kubu juga dibina oleh orang Cina semasa peperangan diantara kongsi gelap Hai San dan Gee Hin di kawasan sungai Kelian Pauh dan Kota. Lihat R.N Jackson, Pickering : Protector of Chinese,1965.
[3] J.M Gullick, Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu,1978.
[4] Jerangkap samar yang biasanya digunakan dalam semua jenis taktikal peperangan dalam semua bangsa didunia.
[5] Semasa lawatan admin ke Muzium Pasir Salak, admin sudah diberikan penerangan tentang perkara ini oleh pegawai Muzium namun pada waktu itu penulis hanya berniat untuk melihat saja dan bukan bertujuan untuk menyelidik tentang perkara ini.
[6] J.M Gullick, Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu,1978.
[7] Abdullah Haji Musa (Lubis), Sejarah Perak Dahulu dan Sekarang, Penebit Qalam Singapura,1965, hlm 46.
[8] Bandar terletak didalam kawasan Pasir Salak dan peristiwa yang berlaku adalah rentetan dari pembunuhan JWW Birch. Lihat - Abdullah Haji Musa (Lubis), Sejarah Perak Dahulu dan Sekarang,1965.

Gambar : Sabrizain "The Perak War".

Sambung ke sini pulak https://gerodamerah.wordpress.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan