Wacana Pengkajian Material Penerbitan Artikel Buku Sejarah Dunia & Malaya, Melayu dan Nusantara. Terjemahan dari buku-buku sejarah berbahasa Inggeris ke bahasa Melayu supaya dapat dibaca sebagai pengetahuan umum dan juga kajian secara sederhana dari pelbagai sumber dari pelbagai sudut sejarah. Like juga kami di https://www.facebook.com/KitabSejarahMalaya
Selasa, 14 Februari 2017
PascaKolonialisme Tanah Melayu
Dalam ruang masa yang terhad ini, saya ingin mengulas sebuah artikel yang ditulis oleh saudara Kamarudin Mohd Said bertajuk “ Pemikiran Pascakolonial Peribumi dan Kepengarangan Sastera Melayu”. Artikel ini dibukukan bersama sepuluh artikel lain. Buku terbitan 2006. Sebahagian penulisan ini juga adalah tambahan dari saya sendiri.
Ramai dari kita pernah mendengar tentang Orientalisme dan Oksidentalisme, namun seramai mana yang memahami kedua-dua istilah ini. Pemecahan blok kefahaman ini bagi saya dipelopori oleh Edward Said dalam bukunya Orientalism yang menghuraikan apakah pandangan Barat kepada dunia yang mereka takluki. Bagaimana kaedah-kaedah dan perancangan kolonis berjaya menjadikan sebahagian besar masyarakat dunia tunduk patuh kepada mereka ataupun menjadi seperti mereka tidak kiralah apa bangsa pun mereka datang. Menariknya sekolah pemikiran Barat ini disalurkan kepada dunia. Kita akan fokuskan kepada Alam Melayu. Di dalam artikel ini jelas mengatakan bahawa para sarjana di bekas jajahan harus memahami dan membaca semula teks yang ditulis oleh orientalis kolonial yang kemudiannya pemikiran ini menjalar kepada masyarakat mereka di negara masing-masing. Maka tidak hairanlah berlaku pertembungan kefahaman diantara lapisan masyarakat yang menerima sistem pendidikan yang berbeza.
Menurut Edward Said penulisan orientalis ini muncul pada abad ke 18 yang melahirkan tanggapan bahawa tamadun Alam Melayu bersifat kuno, walaupun begitu segala ilmu-ilmu kuno ini pula digedungkan dalam satu kepustakaan Barat yang memberikan ilmu dan idea baru kepada meraka. Oleh itu menurut Edward Said Orient (ketimuran) ini adalah satu bentuk kesedaran palsu skala besar yang telah menggilakan orang-orang Barat. Pada tahun 1974 di UKM sebuah persidangan bertajuk “Perkembangan Postkolonial dan Antropologi” membuat kesimpulan bahawa perkembangan antropologi moden pada zaman Pasca kolonial akan terus berhadapan dengan krisis identiti yang menyebabkan ahli antropologi barat sukar untuk mengembangkan idea mereka tanpa bantuan bentuk penjajahan.
Sejak 1950an perkataan masyarakat primitif bertukar menjadi masyarakat mudah, masyarakat mundur pula bertukar menjadi masyarakat membangun. Pada pandangan saya di sini jelaslah bahawa blok-blok dunia ditentukan oleh penjajah yang kita secara sedarnya menulis bahawa Malaysia adalah sebuah negara ketiga atau negara membangun dan secara keseluruhannya dunia ketiga ini masih memerlukan segala bentuk bantuan dari negara bekas penjajah untuk membangunkan mereka. Namun pada satu ketika kita telah menentang mereka dengan kejayaan mendapatkan Sime Darby. Pada waktu itu kita melawan!
Orientalism itu ialah sikap dan strategi yang tidak menyentuh tentang kesusahan kaum pribumi dan seolah-olah menunjukkan kepada masyarakat Barat bahawa dunia Timur ini menjanjikan seribu satu kesenangan dan keindahan. Maka tidak hairanlah jika pegawai-pegawai British seperti Windsted, Wilkinson, Gullick, Clifford dan lain-lain telah dilatih untuk menyusun strategi bagi membentuk minda baru kepada kaum peribumi. Pemikiran ini pula disalurkan dan ditentukan melalui taraf-taraf mereka dengan cara menyampaikan ia ke dalam sistem pendidikan dan yang paling mustahak ialah menanamkan imej mulia para pegawai kolonial, kehebatan tamadun barat dan ketulusan penaung Inggeris memajukan Tanah Melayu. Menurut Saudara Kamarudin penentangan awal ini telah ditunjukkan oleh Sharom Ahmat (rujuk buku Memoir Shaharom Hussin, DBP, 1996) namun perkataan penaung yang menggantikan penjajah itu bertujuan untuk mengelirukan pemikiran orang Melayu.
Artikel ini masih panjang tapi setakat inilah ulasan yang dapat saya buat. Sesungguhnya secara kesimpulan dari keseluruhan artikel ini ialah kesedaran nasionalisme pada tahun-tahun kemudiannya berlaku adalah disebabkan dari rasa kasihan para pegawai British seperti Wilkinson dan Dussek. Manakala Windsted pula walaupun telah melakukan banyak penulisan namun beliau tidak menyukai kaum Melayu kelas petani dan nelayan menerima pendidikan Barat kerana pada satu masa mereka akan menentang British. Bagi yang ikut posting-posting pendek saya tentang nasionalisme tentu akan dapat membezakan bentuk-bentuk pentadbiran Malaysia semenjak kemerdekaan iaitu kelas bangsawan menurut Andaya adalah anak Eropah dan kelas petani pula adalah anak tiri Eropah. Oleh kerana itu jika dikaitkan dengan nasionalisme Indonesia yang dipelopori oleh kelas bawahan telah melahirkan Kesatuan Melayu Muda di Tanah Melayu.
Selagi kita tidak menentang arus pemikiran mereka dan berdiri dengan kaki kita sendiri dengan cara kita sendiri maka bangsa Melayu akan terus menghadapi kecelaruan identiti dan terlalu mengagungkan dunia Barat. Barat telah berjaya menjadikan momok itu sebagai kepercayaan Melayu dan Hinduism adalah pegangan utama orang Melayu pada satu masa dulu dan mereka juga berjaya membodohkan Melayu hingga hari ini...
Sekian.
-MHR-
Poster dipetik dan di edit dari https://www.pinterest.com/pin/525373112760233295/
Langgan:
Catatan (Atom)