Setelah beberapa lama mencari idea untuk projek seterusnya. Maka saya berjaya juga membuat video pertama di bawah page ini. Diharapkan "Trailer" ini akan menimbulkan minat anda untuk terus meminanti sejarah Melayu dan misterinya. Semoga anda menikmati!
https://www.youtube.com/watch?v=8tmif8ujl8k&feature=youtu.be
Wacana Pengkajian Material Penerbitan Artikel Buku Sejarah Dunia & Malaya, Melayu dan Nusantara. Terjemahan dari buku-buku sejarah berbahasa Inggeris ke bahasa Melayu supaya dapat dibaca sebagai pengetahuan umum dan juga kajian secara sederhana dari pelbagai sumber dari pelbagai sudut sejarah. Like juga kami di https://www.facebook.com/KitabSejarahMalaya
Khamis, 25 Disember 2014
Isnin, 22 Disember 2014
Anak Harimau Patah Taring
Sebetulnya ramai orang sudah memperkatakan tentang Orang Melayu. Dari bahasanya hinggalah falsafah hidupnya seorang Melayu itu. Namun yang sentiasa tidak lepas dari hati dan jiwa orang Melayu itu ialah mundurnya Melayu dari dulu hingga kini. Benarkah Melayu itu bangsanya mundur? Teruk sangatkah bangsa Melayu hari ini? Dalam konsep feudal dan konservatif Orang Melayu sejauh mana kefahaman mereka tentang konsep penyembahan dan kuasa Sultan serta sejauh mana konsep-konsep ini dipelihara. Hari ini dimana-mana lapangan orang berkata bila seorang Melayu itu berusaha mempertahankan dan menegur bangsa dan Sultannya dia akan di “tanda” sebagai orang kiri, orang yang menderhaka, orang yang tidak kenang budi dan bermacam-macam gelaran lagi. Tapi apakah mereka ini tahu akan maksudnya menjadi seorang penentang? Kenapa harus dikaitkan dengan politik? Apakah selama ini orang Melayu makan tidurnya dengan politik? Apakah tuju fikir orang melayu itu semata-mata politik? Apakah dengan politik itu orang Melayu menjadi kaya,aman dan makmur?.
Tentangan yang bagaimana harus ditunjuki agar Orang melayu menerima teguran itu? Sebagai contohnya kisah Hang Jebat, sehingga hari ini beliau dianggap sebagai penderhaka oleh sesetengah pihak namun pernahkan dalam ucapannya mengatakan “Aku mahu jadi Sultan”, “Aku mahu Melaka ini jadi milikku”, aku mahu itu aku mahu ini.. pernahkah?
Mari kita soroti semula 2 skrip lakonan yang pernah diucapkan oleh watak Hang Jebat:
Didalam skrip lakonan Nordin Ahmad katanya; “Aku tak mahu disembah... aku cuma mahukan keadilan... ya keadilan demi Tuah” dan jika didalam skrip lakonan Ahmad Mahmud katanya “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah dan aku sanggup mati demi menuntut pembelaan”. Maka apakah konsep sebenar Melayu yang membangkang? Apakah untuk kepentingannya sendiri? Apakah demi kepentingan masyarakatnya? Atau apakah egoisme manusia yang punya kuasa tidak suka ditegur oleh orang kelas bawahan? Kita harus jelas dalam membezakan “teguran sayang dan teguran benci” Disatu sudut tidak ramai kita dapat menerima sesuatu teguran itu samada halus atau kasar. Maka kekallah Hang Jebat sebagai penderhaka begitu jugalah Laksamana Bentan dan Hang Nadim.
Pada abad-abad berikutnya sewaktu kemasukan British ke negeri-negeri Melayu, terdapat beberapa penentangan yang dilakukan oleh para pembesar Melayu. Tidak dinafikan salah satu faktor penentangan mereka disebabkan kehilangan kuasa dan pangkat dan paling utama sekali ialah hilangnya hak untuk mengutip cukai. Banyak pihak mempersoalkan tentang faktor ini. Namun apakah mereka salah? Jika kita sendiri di tempat mereka apakah kita juga akan berdiam diri? Bolehkah kita terima pekerjaan kita yang selama ini yang telah menampung pendapatan keluarga dan diri sendiri dirampas orang lain? Sudah pasti tiada siapapun dapat menerima keadaan ini. Persoalannya dimanakah para Sultan pada waktu itu?, didalam sejarah bangsa Melayu hanya disebut 3 orang Sultan sahaja yang mati menentang dan terbuang iaitu Sultan Abdullah (Perak) ,Sultan Ahmad Tajuddin (Kedah),Yamtuan Antah (Negeri Sembilan) dan Raja Haji Fisabillillah (Riau).
Dimana pula Sultan-sultan yang lain pada waktu itu?. Mengapa mereka sendiri yang tidak mengetuai serangan dan pertahanan sewaktu diserang? Bukankah peribahasa kepimpinan adalah melalui tauladan? Dimana-mana penulisan oleh sesiapapun dari apa jua bangsa bersetuju bahawa Orang Melayu lah bangsa yang paling taat kepada Sultannya dan sanggup mati jika dititahkan. Tapi dimana peranan Sultan pada waktu itu? Derhakalah walau apa cara sekalipun namun rakyat Melayu tetap “berdatang sembah ke Bawah Duli Tuanku”. Akhirnya kita dimomokan supaya berserah kepada takdir dengan mengatakan “Apa boleh kita buat, ALLAH sudah tentukan perkara itu berlaku maka terimalah seadanya” namun bukankah Allah juga berfirman “Nasib bangsa itu diubah oleh dirinya sendiri".
Maka falsafah sedemikian amat bersesuaianlah dengan kata-kata Zaaba didalam bukunya Falsafah Takdir yang mengatakan;
“Orang Melayu dengan sedikit usaha amat mudah berputus asa, tidak sabar dan lemah jiwanya apabila memikirkan keadaaan sekelilingnya. Maka dengan mudah orang Melayu berserah kepada takdir dengan mengatakan “apa boleh buat ini sudah suratan takdir”. Namun tidak sedarkah mereka dengan usaha mereka yang sedikit itu mereka telah menyalahkan Allah Taala?. Falsafah yang sebegini harus diubah untuk kemajuan bangsa di masa-masa hadapan bukan mengharapkan semuanya datang bergolek”.
Sejujurnya bukan saya bermaksud untuk mempertikaikan atau mencabar kedudukan Sultan hari ini. Semua dari kita ada pilihan dan kedudukan masing-masing. Apakah bila seorang pengutip sampah tidak mengutip sampah kita menyalahkan semua pihak yang berkait dengan sampah itu? Bukankah kita seharusnya bersama-sama berganding bahu membersihkan sampah-sampah itu? Kebersihan dan keindahan sesuatu tempat itu bergantung kepada kekuatan dan keutuhan semua pihak. Inilah yang dikatakan “Bersatu Teguh Bercerai Roboh”. Maka apakah dengan saling menyalahkan antara satu sama lain akan menyelesaikan masalah?. Jika Sultan lupa,biarlah rakyat yang mengingatkan jika rakyat yang keliru,Sultan lah penunjuk jalan keluarnya. Anak-anak Melayu tetap setia dan taat Kebawah Duli Tuanku biarpun nyawa jadi taruhan anak Melayu tetap bersama Tuanku.
Namun anak Melayu juga berhak memberikan pendapatnya dalam menegur tindak tanduk Sultannya seperti mana yang pernah dikatakan oleh Abdullah Munshi didalam bukunya “Kisah Pelayaran ke Negeri Kelantan” mengatakan:
“Beringatlah Tengku, pada hari kemudian akan ditanya Allah Taa’la akan segala hal rakyat, Tengku akan mula-mula masuk neraka sekiranya ia berlaku zalim kerana Raja itu dihadapan rakyatnya dan yang masuk syurga dahulu adalah raja-rajanya yang adil dan saksama. Janganlah Tengku kira bahawa Raja itu terlebih mulia dan terlebih besar dari rakyatnya kerana semuanya adalah hamba Allah Taa’la. Tujuan yang sebenarnya dijadikan Allah itu seorang Raja bukanlah bertujuan untuk berbini banyak,membunuh orang sesuka hati atau mencari harta tetapi tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk memelihara manusia agar tidak dianiaya oleh orang lain. Maka oleh sebab itulah setiap Raja dan Orang Besar perlu menyimpan Tajus Salatin agar dapatlah ia belajar daripada yang berilmu, menilik dirinya setiap hari dan menerima segala nasihat orang alim supaya Tengku dapat mengetahui segala hal Raja samada ia adil atau zalim”
Manusia itu tidak sempurna fitrahnya, maka para Sultan dan rakyat perlu berganding bahu dalam membina kekuatan tamadun bangsa walaupun kadangkala sesuatu tindakan itu bersifat sementara. Baik dan buruknya sesebuah sejarah itu haruslah ditelan dengan sekuat hati dan diterima dengan berlapang dada. Sesungguhnya dalam kehidupan tiada yang kekal manis dan gembira selamanya. Lidi sebilah bisa patah kalau segenggam ia kuat. Begitulah kita bangsa Melayu walaupun kecil jika semuanya berganding bahu tanpa bersikap prejudis antara satu sama lain dengan izin Allah kita boleh menjadi satu bangsa yang disegani oleh kaum lain. Sultan itu payung bangsa tapi yang memegang payung itu adalah rakyatnya. Tanpa Sultan tiadalah orang yang memimpin rakyat, tiada rakyat maka tiadalah Sultan. Jika Sultan adalah dedaun,ranting dan dahan yang memayungi maka rakyat adalah batang dan akarnya.
Perkara yang lepas biarkanlah ia berlalu, hari yang mendatang belum tentu badai dan ombaknya bagaimana. Bangkitlah Sultanku tunjukkanlah kuasamu kerna kami sekalian hamba Melayu sangat mengharapkan titah Tuanku. Sudah sampai waktunya Tuanku sekalian bangun memimpin kami, tinggalkanlah kerusi empuk dan keindahan mahligai kalian demi kami sekalian rakyat Melayu. Jika moyang kami sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan kedudukan para Sultan terdahulu sudah tentu kami para waris mereka akan berbuat perkara yang sama . Buat sekalian rakyat Melayu jangan salahkan kapal yang karam kerana bocor salahkan diri sendiri kerana kita saling bertuduhan dan menyalahkan satu sama lain. Moga sejarah lalu menjadi pedoman untuk generasi mendatang Jangan mudah berputus asa kerana sesungguhnya anak Melayu sejati tidak mudah mengalah. Biar mati melawan jangan mati berputus asa!.
Maralah bangsaku moga namamu harum selamanya…
Langgan:
Catatan (Atom)