Ini merupakan ulasan buku ketiga sepanjang saya berada di dalam laman blog ini. Kebiasaannya saya akan ulas buku-buku genre fiksyen atau penulisan bebas tanpa mementingkan sesuatu kaedah atau gaya bidang ilmu. Buku – buku yang dipilih pula berdasarkan pemikiran sosial masyarakat yang kadangkala berkaitan dengan peristiwa sejarah. Saya tinggalkan dunia ulasan ini kerana menumpukan kajian saya sendiri berkenaan Perang Kedah Siam. Tahun ini dalam keadaan tenang saya ingin membuat ulasan berkenaan buku bertajuk Ratu-ratu Patani tulisan Isma Ae yang berasal dari Patani namun membesar di Malaysia.
Buku bercorak fiksi ini pada hakikatnya sebuah perjalanan sejarah yang begitu panjang namun telah berjaya dipadatkan menjadi satu cerita sejarah yang menarik. Kisah yang berlatarbelakangkan Negara Patani pada abad ke 15 hingga ke 16 ini membawa kita kepada zaman para Ratu-ratu Patani yang sangat terkenal di serata alam Melayu ini.
Bab-bab awal buku ini lebih menjurus kepada pembentukan Patani serta penerimaan Islam oleh Sultan Bahadur setelah diubati oleh Tok Pasai beberapa kali. Kemudian barulah muncul Syeikh Fakih Ali sebagai penasihat Agama Islam bagi negeri Patani. Namun dalam bait-bait awal ini menggambarkan sebuah harapan dan cita-cita seorang tuan bernama Pak Tani bahawa satu masa nanti kampung yang dibukanya akan menjadi antara pusat kota negara Melayu yang teragung.
Perebutan kuasa didalam istana pula menjadi duri dalam daging didalam istana Patani bermula dengan pembunuhan Sultan Patik Siam hinggalah kepada Raja Kali pada zaman Ratu Kuning. Begitulah juga pengkhianatan oleh pembesar-pembesar Patani yang ingin duduk di singgahsana Patani itu.
Perasaan saya agak bercampur baur apabila membaca buku yang setebal 310 halaman ini. Saya berjaya habiskan dalam masa 2 hari kerana didalam 45 bab ini ada diantaranya membuatkan saya berfikir panjang dan cuba menjiwai zaman Patani itu namun saya merasa ada sesuatu yang tertinggal didalam penceritaan ini. Walaupun begitu usaha penulis menceritakan semula dan saya percaya penulisan ini adalah gabungan cerita lisan yang beliau cari serta dari pelbagai pembacaan buku sejarah haruslah saya puji. Jelas terlihat kesungguhan beliau untuk cuba menyedarkan masyarakat Patani khususnya bahawa di Kuala Bekah dan Tambangan itu terdapat satu kisah agung yang tak mungkin dapat dipadam sejarahnya walau dengan apa cara sekalipun. Saya sangat ingin tahu bagaimana timbulnya nama Negeri Buluh Perindu dan apakah bendera asal Patani berlukiskan buluh?
Selain itu, kisah Ratu Ijau, Ratu Biru dan Ratu Ungu begitu menarik sekali kerana tiada sapa menyangka pada zaman itu akan muncul pemimpin dari kalangan wanita yang akan menggoncang dunia Melayu apatah lagi kerajaan Ayutthaya. Kebijaksanaan dan ketegasan mereka berjaya menyelamatkan negara itu dari segala kancah kesulitan yang tak pernah jemu mencengkam.
Namun setiap Ratu itu boleh dikatakan mati dalam keadaan sedih dan tidak tenang kerana masalah-masalah negara dan keinginan mereka menyelamatkan rakyat Patani tidak pernah selesai, bak kata penulis mati itu pasti dan tiada siapa dapat menghalangnya. Begitulah jua keadaan yang berlaku kepada 3 ratu tadi.
Dulu saya agak skeptikal tentang Melayu Buddha di Ligor,Songkla dan Patthalung namun gambaran awal penulis ini telah membuka sedikit kepercayaan saya untuk mengkaji dan melihat semula serta mencari dimanakah orang-orang Melayu Buddha di Segenting Kra ini kerana dari sudut sejarah, bahan kajian tentang mereka hampir tiada lansung. Saya lebih memandang sudut sejarah yang cuba dibawa penulis walaupun apa yang ditulis itu bercorak sastera. Terdapat sebegitu banyak bahan diluar sana yang telah di “hint” oleh penulis. Jelas abad ke 16 ini memperlihatkan kuasa-kuasa barat yang mempunyai sudut pandang tersendiri tentang Patani dan sudah pastilah untuk melihat keadaan Patani, bahan penulisan mereka haruslah dikaji. Pada saya mungkin inilah harapan penulis kepada sejarawan-sejarawan Melayu dan dunia. Hubungan Patani – Ayutthaya juga telah digarap sebaik mungkin oleh penulis namun percubaan Prasat Thong untuk menguasai Patani sangat mengujakan begitulah jua pengkhiantan Okpya Decu ketika Patani diambang peperangan.
Penulis juga berjaya memahamkan saya tentang konsep Patani Besar dan Patani Kecil dan bagaimana pula pusat pemerintahan Patani berpindah kepada Kelantan semasa zaman Raja Sakti I. Puncanya datang daripada sikap Ratu Kuning yang tidak menyangka bahawa Raja Muda Johor iaitu suami baginda akan membuat onar didalam istananya sendiri. Tidak disangkakan peristiwa ini telah menyebabkan Ratu Kuning memendam kesedihan yang amat dalam sehingga tidak memperdulikan lagi pemerintahan negara yang akhirnya membawa kepada kemangkatan Ratu Kuning dan dimakamkan di Kelantan.
Sebagai penutup, ada satu harapan yang cuba ditimbulkan oleh penulis. Walaupun ia sebuah novel namun pada saya ia seoalah sebuah iktisar sejarah Patani yang masih banyak misterinya. Satu pengkisahan yang menarik dan menimbulkan keinginan saya untuk mengkaji hubungan Kedah-Patani pada satu masa dulu serta apakah yang menyebabkan hampir semua negeri Melayu sanggup menghantar bunga emas kepada kerajaan Thai sehinggalah pada tahun 1842.
Rasa teringin pula hendak menulis sebuah novel tentang Sejarah Perang Musuh Bisik dan menyambung kajian Perang Melayu Siam siri II, hehehe... Apapun dari 5 bintang saya kasi 3 bintang buat penulis dan tak sabar pula saya hendak membaca Republik Sungai Golok tulisan beliau yang telah 3 bulan berada di pasaran.
Kami orang Patani adalah bangsa Merdeka!
MHR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan