Memaparkan catatan dengan label patani. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label patani. Papar semua catatan

Isnin, 28 Ogos 2017

Patani : Impian Kemerdekaan Yang Derita

Kitab Sejarah Malaya
Patani Raya

Pada asasnya hampir setiap orang Melayu tahu akan peristiwa sejarah Patani yang penuh sukar dan derita sejak bemula wujudnya kerajaan tersebut hingga ke kerajaan Patani Besar yang di perintah oleh beberapa Ratu dan kemudiannya kepada Patani Dinasti Kelantan hinggalah kepada zaman Tengku Abdul Kadir ibn Tengku Sulaiman sebagai Raja Patani terakhir. Hingga hari ini Patani tidak pernah sunyi dengan pergolakannya yang ingin bebas daripada cengkaman Siam kerana bagi mereka Patani tidak pernah di jajah oleh Thailand dan mereka ingin bersama-sama negeri Melayu yang lain di Semenanjung. Namun semua ini masih jauh dari hakikat realiti yang menyedih dan menderitakan sekalian anak bangsa Patani.

Sejarah silam membuktikan bahawa Patani sebuah negeri yang makmur dan pesat membangun. Selain daripada serangan Siam kerajaan ini juga pernah di serang oleh Portugis sekitar 1520an. Namun selepas itu dan selama itulah sehingga tahun 1800 Siam yang di kuasai oleh dinasti Chakri mula beralih arah kepada Patani yang dahulunya pernah menghantar Bunga Emas kepada Bangkok di zaman Ayutthaya. Serangan demi serangan dilakukan demi menakluk dan menjatuhkan kerajaan Melayu ini. Serangan ini juga berlarutan hingga ke Kedah dan akhirnya kedua buah kerajaan Melayu ini berjaya di takluki. Sejarah pahit ini telah member banyak pengajaran kepada sekalian orang Melayu bahawa pengkhianatan akan menyebabkan sesebuah negara musnah sama sekali dan sejarah juga membuktikan pengkhianat juga tidak mendapat apa-apa pun seperti kata-kata
“ Kalau kau bisa mengkhianati bangsamu apakah kamu tidak akan mengkhianatiku orang yang bukan bangsamu?”

Selepas peristiwa itu hinggalah pada tahun 10/3/1909 akhirnya Patani berpisah daripada seluruh negeri Melayu secara rasmi beserta seluruh kawasan Melayu yang kita kenal sebagai selatan Thai hari ini dan tempoh itulah bangsa Patani menghadapi pelbagai onak derita dalam meneruskan kehidupan mereka demi mempertahankan agama Islam dari segala cabang yang cuba di himpit dengan pelbagai bentuk dan cara. Pengisytiharan San Francisco pada tahun 1945 menetapkan bahawa mana-mana negara atau kaum yang di jajah berhak menentukan masa depan mereka dan mencantumkan Patani ke dalam Tanah Melayu. Maka bermulalah gerakan secara rasmi, berekod dan bertulis oleh orang Patani yang di pimpin oleh Tengku Mahmud Mahyideen yang sangat di kenali dalam pasukan Force 136. Walaubagaimana pun kita harus sedar bahawa kerajaan landskap politik Siam juga berubah bermula pada tahun 1939 setelah Phibul Songram seorang Jeneral tentera Siam telah mengambil alih kuasa pemerintahan dinasti Chakri ke bentuk demokrasi berparlimen dan menukar nama Siam ke Thailand. Sepanjang tempoh tersebut hinggalah tahun 1941 sewaktu pendudukan Jepun ke seluruh Asia. Sepanjang tempoh itu jugalah menyaksikan seluruh negara Thai mengalami banyak perubahan drastik.

Kedatangan Jepun telah memberikan peluang kepada Tengku Mahmud untuk membebaskan Patani memandangkan Phibul telah menyokong Jepun pada tahun 1942 bagi menentang pihak Berikat kerana baginda percaya jika Jepun kalah sudah pastilah British akan menghukum Thai dan ia akan memberi peluang kepada baginda untuk menghasut British bagi memerdekan Patani. Maka pada 27/2/1943 Tengku Mahmud telah mengemukakan cadangannya agar Patani digabungkan dengan Tanah Melayu sebelum dari cadangan ini Roland Braddell turut mengemukan cadangan yang sama kepada British India. Pada Mac 1943 Sir George Maxwell telah mengemukan satu memorandum bertajuk “ Masa Depan Segenting Kra”. Antara cadangannya ialah

1. British perlu mengambil Segenting Kra bagi keselamatan Tanah Melayu dan Burma. Di wilayah inilah Jepun menempatkan tentera mereka dan seterusnya menyerang kedua –dua tanah British ini.
2. Penguasaan ini akan memastikan Terusan Segenting Kra tidak akan dibangunkan bagi memastikan kelansungan Singapura sebagai sebuah pelabuhan entreport.
3. Majoriti penduduknya adalah Melayu dan beragama Islam.

Pada 23/11/1943 Pejabat Tanah Jajahan British telah
mengemukan usul ini kepada Post Hostilities Planning Sub Committee dan 2 perkara yang ditonjolkan ialah
1. Majoriti orang Melayu yang tinggal dikawasan itu
2. Rekod buruk dan kekejaman Siam sepanjang berada dikawasan tersebut.

Walaubagaimanapun usul ini ditolak setelah mengambil kira bantahan Jabatan Negara Amerika dan padangan jawatankuasa kepada status “Kawan Baik Siam” kerana pada waktu itu adalah penting untuk mempertahankan kepentingan British di Asia Tenggara maka adalah tidak perlu untuk mengambil tahu akan urusan yang berlaku dikawasan “selatan Thai”. Keputusan ini sangat mengejutkan Tengku Mahmud dan para pegawai British yang menyokong usaha Siam. Namun perjuangan masih lagi diteruskan pada tahun 1944…

Bersambung…

Dipetik dan diolah dari
Sumber : Nik Anuar Nik Mahmud, Tengku Mahmud Muhyidin dan Perjuangan Mencantumkan Patani dan Tanah Melayu.

Admin : Nantilah admin tulis lagi takde mood nie.. sedih baca… lagi satu sebab artikel ini akan jadi panjang. Pesan admin yang telah berlalu jadikan teladan berganding bahulah bangsa Melayu. Sokonglah apa jua perkara yang dibuat oleh anak Melayu selagi tidak bersalah dengan undang-undang dan hokum Islam.




Rabu, 17 Ogos 2016

Ulasan Buku Ratu-ratu Patani.


 
Ini merupakan ulasan buku ketiga sepanjang saya berada di dalam laman blog ini. Kebiasaannya saya akan ulas buku-buku genre fiksyen atau penulisan bebas tanpa mementingkan sesuatu kaedah atau gaya bidang ilmu. Buku – buku yang dipilih pula berdasarkan pemikiran sosial masyarakat yang kadangkala berkaitan dengan peristiwa sejarah. Saya tinggalkan dunia ulasan ini kerana menumpukan kajian saya sendiri berkenaan Perang Kedah Siam. Tahun ini dalam keadaan tenang saya ingin membuat ulasan berkenaan buku bertajuk Ratu-ratu Patani tulisan Isma Ae yang berasal dari Patani namun membesar di Malaysia.

Buku bercorak fiksi ini pada hakikatnya sebuah perjalanan sejarah yang begitu panjang namun telah berjaya dipadatkan menjadi satu cerita sejarah yang menarik. Kisah yang berlatarbelakangkan Negara Patani pada abad ke 15 hingga ke 16 ini membawa kita kepada zaman para Ratu-ratu Patani yang sangat terkenal di serata alam Melayu ini.

Bab-bab awal buku ini lebih menjurus kepada pembentukan Patani serta penerimaan Islam oleh Sultan Bahadur setelah diubati oleh Tok Pasai beberapa kali. Kemudian barulah muncul Syeikh Fakih Ali sebagai penasihat Agama Islam bagi negeri Patani. Namun dalam bait-bait awal ini menggambarkan sebuah harapan dan cita-cita seorang tuan bernama Pak Tani bahawa satu masa nanti kampung yang dibukanya akan menjadi antara pusat kota negara Melayu yang teragung.

Perebutan kuasa didalam istana pula menjadi duri dalam daging didalam istana Patani bermula dengan pembunuhan Sultan Patik Siam hinggalah kepada Raja Kali pada zaman Ratu Kuning. Begitulah juga pengkhianatan oleh pembesar-pembesar Patani yang ingin duduk di singgahsana Patani itu.

Perasaan saya agak bercampur baur apabila membaca buku yang setebal 310 halaman ini. Saya berjaya habiskan dalam masa 2 hari kerana didalam 45 bab ini ada diantaranya membuatkan saya berfikir panjang dan cuba menjiwai zaman Patani itu namun saya merasa ada sesuatu yang tertinggal didalam penceritaan ini. Walaupun begitu usaha penulis menceritakan semula dan saya percaya penulisan ini adalah gabungan cerita lisan yang beliau cari serta dari pelbagai pembacaan buku sejarah haruslah saya puji. Jelas terlihat kesungguhan beliau untuk cuba menyedarkan masyarakat Patani khususnya bahawa di Kuala Bekah dan Tambangan itu terdapat satu kisah agung yang tak mungkin dapat dipadam sejarahnya walau dengan apa cara sekalipun. Saya sangat ingin tahu bagaimana timbulnya nama Negeri Buluh Perindu dan apakah bendera asal Patani berlukiskan buluh?

Selain itu, kisah Ratu Ijau, Ratu Biru dan Ratu Ungu begitu menarik sekali kerana tiada sapa menyangka pada zaman itu akan muncul pemimpin dari kalangan wanita yang akan menggoncang dunia Melayu apatah lagi kerajaan Ayutthaya. Kebijaksanaan dan ketegasan mereka berjaya menyelamatkan negara itu dari segala kancah kesulitan yang tak pernah jemu mencengkam.

Namun setiap Ratu itu boleh dikatakan mati dalam keadaan sedih dan tidak tenang kerana masalah-masalah negara dan keinginan mereka menyelamatkan rakyat Patani tidak pernah selesai, bak kata penulis mati itu pasti dan tiada siapa dapat menghalangnya. Begitulah jua keadaan yang berlaku kepada 3 ratu tadi.

Dulu saya agak skeptikal tentang Melayu Buddha di Ligor,Songkla dan Patthalung namun gambaran awal penulis ini telah membuka sedikit kepercayaan saya untuk mengkaji dan melihat semula serta mencari dimanakah orang-orang Melayu Buddha di Segenting Kra ini kerana dari sudut sejarah, bahan kajian tentang mereka hampir tiada lansung. Saya lebih memandang sudut sejarah yang cuba dibawa penulis walaupun apa yang ditulis itu bercorak sastera. Terdapat sebegitu banyak bahan diluar sana yang telah di “hint” oleh penulis. Jelas abad ke 16 ini memperlihatkan kuasa-kuasa barat yang mempunyai sudut pandang tersendiri tentang Patani dan sudah pastilah untuk melihat keadaan Patani, bahan penulisan mereka haruslah dikaji. Pada saya mungkin inilah harapan penulis kepada sejarawan-sejarawan Melayu dan dunia. Hubungan Patani – Ayutthaya juga telah digarap sebaik mungkin oleh penulis namun percubaan Prasat Thong untuk menguasai Patani sangat mengujakan begitulah jua pengkhiantan Okpya Decu ketika Patani diambang peperangan.

Penulis juga berjaya memahamkan saya tentang konsep Patani Besar dan Patani Kecil dan bagaimana pula pusat pemerintahan Patani berpindah kepada Kelantan semasa zaman Raja Sakti I. Puncanya datang daripada sikap Ratu Kuning yang tidak menyangka bahawa Raja Muda Johor iaitu suami baginda akan membuat onar didalam istananya sendiri. Tidak disangkakan peristiwa ini telah menyebabkan Ratu Kuning memendam kesedihan yang amat dalam sehingga tidak memperdulikan lagi pemerintahan negara yang akhirnya membawa kepada kemangkatan Ratu Kuning dan dimakamkan di Kelantan.

Sebagai penutup, ada satu harapan yang cuba ditimbulkan oleh penulis. Walaupun ia sebuah novel namun pada saya ia seoalah sebuah iktisar sejarah Patani yang masih banyak misterinya. Satu pengkisahan yang menarik dan menimbulkan keinginan saya untuk mengkaji hubungan Kedah-Patani pada satu masa dulu serta apakah yang menyebabkan hampir semua negeri Melayu sanggup menghantar bunga emas kepada kerajaan Thai sehinggalah pada tahun 1842.

Rasa teringin pula hendak menulis sebuah novel tentang Sejarah Perang Musuh Bisik dan menyambung kajian Perang Melayu Siam siri II, hehehe... Apapun dari 5 bintang saya kasi 3 bintang buat penulis dan tak sabar pula saya hendak membaca Republik Sungai Golok tulisan beliau yang telah 3 bulan berada di pasaran.

Kami orang Patani adalah bangsa Merdeka!

MHR.


















Khamis, 31 Disember 2015

Setol : Saudara Kedah Yang Hilang



Ramai dari kita sering melupakan tentang sejarah selatan Thai yang pernah menjadi sebahagian dari Tanah Melayu yang sering kita ingat adalah Patani memandangkan negeri itu hingga kini masih berjuang untuk membebaskan diri mereka daripada negara Thai. Walaubagaimana pun apabila merujuk kepada sejarah Kedah sudah pastilah anda tidak akan dapat melupakan Setol iaitu sebuah negeri yang bersempadan dengan Perlis dan Kedah hari ini. Salah satu destinasi pelancongan yang menarik di kawasan Setol ialah Hatyai dan Pulau Pipi. Artikel ini ditulis sepenuhnya mengikut bahasaasal di kawasan Setol iaitu bahasa Melayu.



Setol pada suatu masa dahulu dikenali sebagai Negeri Mambang Segara yang bermaksud Negeri Dewa Laut memandangkan negeri ini mempunyai banyak 14 buah pulau. Sungai utama bagi Setol ialah Sungai Lakngu dan Pulau Burung, Pulau Bara dan Thongwa pula merupakan pelabuhan utama bagi kawasan ini. Dipercayai bahawa di kuala Sungai Lakngu pernah wujud sebuah kerajaan tua namun tidak dapat dipastikan bilakah tarikh kewujudannya namun ia masih lagi tertakluk dibawah kerajaan Kedah. Kawasan Setol ini mempunyai bilangan penutur bahasa Melayu yang sangat ramai berbanding penduduk Thai. Namun akibat asimilasi dan kewajipan untuk mempelajari bahasa Thai di sekolah-sekolah menjadikan penduduk di kawasan ini boleh bertutur dalam 2 bahasa. Antara pelat bahasa yang dapat di dengar ialah pelat Kedah, Perak dan Setol yang menjadikan kawasan ini sebuah tempat yang sangat bagus untuk di jadikan kajian di peringkat akademik. 

Semasa berlakunya perebutan kuasa di antara kerabat Sultan Kedah, kawasan Setol ini telah diberikan kepada Tunku Bisnu setelah masalah perebutan itu mendapat campurtangan daripada pihak Siam yang di wakili oleh Ligor di bawah pentadbiran Nai Pai (adik kepada seorang saudagar Cina dari Chenak) manakala Tunku Abdullah atau Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah pula di angkat menjadi Sultan Kedah. Sejarah negeri Setol pada abad ke 19 lenyap seketika apabila Tunku Bisnu mangkat dan Setol dimasukkan semula sebagai sebuah kawasan hak milik negeri Kedah. 

Nama Setol muncul semula apabila Tunku Muhammad Saad menyerang angkatan Siam pada tahun 1832 di Hatyai namun pasukan itu telah mendapat tentangan sengit dan terpaksa berundur semula hingga ke Alor Ganu. Manakala Tunku Muhammad Saad pula telah lari ke Pulau Pinang dan akhirnya di berkas oleh pasukan British disana. Beliau kemudiannya dituduh kerana menghasut orang – orang Melayu untuk memberontak namun beliau di lepaskan kerana tidak cukup bukti bagi mendakwa beliau. Manakala Kedah diperintah oleh Phya Sinanuncit iaitu anak kepada Gabenor Ligor selama 18 tahun dari dari tahun 1824-1842. Pada tahun 1843 Setol diserahkan semula kepada Kedah sehinggalah Perjanjian Inggeris Siam pada tahun 1909 memisahkan kawasan ini dan seluruh kawasan selatan Thai kepada Siam hingga hari ini. 

Sumber 

Sejarah Negeri Setol, PSMCK 1970
Pengantar Patani, 1991
Al Tarikh Salasialah Negeri Kedah 1963

Gambar : Wat Rachativas

https://www.facebook.com/KitabSejarahMalaya/photos/pb.540897839352337.-2207520000.1451625023./820398301402288/?type=3&theater