Sabtu, 4 April 2020

INTERPRETASI BUNGA EMAS: SIMBOL PERSAHABATAN ATAU NAUNGAN.



Apabila mengupas isu Bunga Emas, pasti soal hubungan Negeri-Negeri Melayu Utara-Siam tidak dapat dipisahkan. Menurut perspektif Negeri-Negeri Melayu, amalan penghantaran Bunga Emas kepada Siam hanyalah sekadar tanda persahabatan yang terjalin erat antara dua kerajaan. Sebagai contoh, di pihak Kedah amalan penghantaran Bunga Emas ini telah dicatatkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa sebagai tanda kegembiraan dan hadiah kepada Raja Siam kerana berjaya memperoleh seorang putera. Di pihak Terengganu pula, amalan penghantaran Bunga Emas adalah amalan yang dimulakan oleh Sultan Mansur I iaitu Sultan Terengganu kedua sebagai balasan atas pemberian hadiah-hadiah berharga oleh Raja Siam kepada baginda sebelum itu.

Namun begitu, pada perspektif Siam amalan penghantaran Bunga Emas oleh Negeri-Negeri Melayu Utara kepadanya adalah sebagai satu bentuk ufti yang menandakan naungannya ke atas Negeri-Negeri Melayu Utara.

Selepas Kejatuhan Ayyuthaya pada 1767, Bunga Emas ini seolah-olah menjadi satu amalan wajib yang perlu dipenuhi oleh Negeri-Negeri Melayu Utara sebagai "jaminan keselamatan" daripada ancaman Siam. Setelah runtuhnya Dinasti Thonburi dan bangkitnya Dinasti Chakri melaui Raja Rama I, kewajiban amalan penghantara Bunga Emas setiap 3 tahun sekali daripada Kedah, Terengganu, dan Kelantan adalah merupakan bukti bahawa kesemua kerajaan tersebut tunduk kepada naungan kerajaan Siam.

Menurut catatan Hugh Clifford yang pernah menjadi Persuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Gabenor Negeri Selat pada tahun 1827, nilai sepohon emas adalah sebanyak 1000 

pound.

Menurut catatan pada Inskripsi Sukhothai tahun 1283-1306, disebutkan bahawa amalan penghantaran Bunga Emas ini telah bermula sejak zaman Sukhothai lagi. Bunga Emas akan dihantar kepada Sukhothai melalui Ligor dan selepas kejatuhan Sukhothai pada 1350, dasar ini tetap diteruskan oleh kerajaan Ayyuthaya.

Setiap pohon Bunga Emas dan Bunga Perak akan dikumpulkan setiap 3 tahun sekali. Antara wilayah yang terlibat ialah:

1. Ujung Tanah

2. Melaka (Melaka menghantar ufti sebanyak 48 auns emas dan sekiranya ufti tidak dihantar maka mereka akan diserang. Pada zaman Sultan Muzaffar Shah, Melaka pernah diserang oleh Ligor sebanyak 3 kali namun gagal)

3. Melayu

4. Muar

5. Tenang Sri

6. Perak

7. Thawai

(7 wilyah ini menghantar 3 Bunga Emas 3 Bunga Perak setiap 3 tahun sekali)

I. Senggora

II. Patthalung

III. Phangnha

( 3 wilayah ini menghantar 2 Bunga Emas dan 2 Bunga Perak setiap 1 tahun sekali dan dikumpul selama 3 tahun.)

Jumlah kesemua 18 pohon Bunga Emas dan 18 pohon Bunga Perak ini akan dikumpul oleh kerajaan Ligor sebelum diserah kepada kerajaan Ayyuthaya. Selain itu menurut catatan Mandiarapala (Undang-undang Kerajaan), terdapat juga wilayah-wilayah lain yang turut menghantar ufti ke Bangkok iaitu Nagara Huan, Sri Satanaguhata, Chiengmai, Ton U, Chiengkari, Chiengkran, Chiangsaen, Ciengrung, Chiengrai, Hsenwi, Khermaja, Pharae, Nan, Taidon, Gotrapon, Reo Kaeo, dan Varavari.

Di dalam Hikayat Nakhon Sri Thammarat, 12 buah wilayah yang berada di bawah kuasa Ligor telah disimbolkan berdasarkan Kalendar Naksat 12 wilayah yang  merupakan wilayah yang berada di bawah pengaruh dan tanggungjawab Ligor. Isu dan persoalan mengenai Bunga Emas ini masih diperdebatkan oleh majoriti sejarawan yang mengkaji tentang hubungan Melayu-Siam.

Di mata sejarawan Malaysia, majoriti memandang Bunga Emas sekadar sebagai simbol persahabatan antara dua kerajaan yang telah disalaherti oleh pihak Siam, sebaliknya pada pandangan sejarawan Thailand majoriti tetap beranggapan bahawa Bunga Emas merupakan ufti yang menjadi simbol tunduknya Negeri-Negeri Melayu di bawah naungan Siam.

Para sejarawan Malaysia berhujah bahawa amalan penghantaran Bunga Emas kepada Siam hanyalah sekadar simbolik persahabatan sebagaimana persahabatan antara Melaka dan China Ming melalui pertukaran hadiah berharga dan kunjungan diplomatik antara kedua-dua kerajaan tetapi hal ini tidak bererti Melaka berada di bawah naungan atau jajahan China Ming, maka begitu juga status Bunga Emas yang dihantar oleh Negeri-Negeri Melayu kepada Siam tetapi disalaherti oleh pihak Siam sendiri sebagai satu bentuk ufti.

Para sejarawan Thailand pula berpegang pada pendapat amalan penghantaran Bunga Emas adalah amalan wajib yang perlu dipenuhi oleh Negeri-Negeri Melayu setiap 3 tahun sekali sebagai satu bentuk ufti bagi mendapatkan naungan pihak Siam. Istilah ufti bermaksud sumbangan wajib dalam wang dan hadiah berharga sebagai bayaran perlindungan. Ufti hanya dibayar oleh sesebuah wilayah/kerajaan bertaraf rendah kepada sesebuah kerajaan yang bertaraf lebih tinggi.

Namun bergitu, di Negeri-Negeri Melayu, terdapat perbezaan dalam isu amalan penghantaran Bunga Emas ke Siam. Sebagai contoh, sehingga tahun 1821 Kedah merupakan sebuah kerajaan bebas dan tidak dijajah secara langsung oleh Siam. Penghantaran Bunga Emas kepada Siam hanya sekadar sebagai simbol persahabatan dan hubungan diplomatik yang sangat erat serta saling bergantungan antara dua kerajaan. Walau bagaimanapun, selepas tahun 1821 Kedah telah ditakluki secara langsung oleh Ligor bagi pihak Siam dan dijajah secara rasmi. Maka status amalan penghantaran Bunga Emas telah berubah daripada simbol persahabatan kepada simbol naungan dalam bentuk ufti. Begitu juga Perak yang terpaksa menghantar Bunga Emas sebagai ufti kepada Siam pada tahun 1818-1825 kerana ia telah ditakluki oleh Kedah. Kelantan juga telah menghantar Bunga Emas sebagai ufti kepada Siam pada tahun 1802.

Kesimpulannya, amalan Penghantaran Bunga Emas menjadi bukti kepada keterdekatan hubungan dua hala kerajaan Melayu dan kerajaan Siam dalam soal politik dan keselamatan. Penilaian status Bunga Emas juga berbeza-beza mengikut kefahaman pengkaji yang melihatnya dari perspektif bangsa atau sebaliknya.

Rujukan:
1.L.A Mills 2012, British Malaya MBRAS.
2. Stuart Munro-Hay, 2001, Nakhon Sri Thammarat: The Archeology, History and Legends Of Southern Thai Town, White Lotus Press.
3. G.E Gejrini, 1905, Historical Retrospect Of Junkceylon Island, JSS, Vol 2.
4. Frank Swettenham, 1893, An Account Of The Origin and Progress Of Siamese Influence In The Malays Peninsula 1785-1882, W.& A.K. Johnston.
5. David K Wyatt, 1967, The Thai ' Kata Mandiarapala' And Malacca, JSS, Vol 55.
6. D.G.E Hall, 1973, Sejarah Asia Tenggara, DBP.
7. Mohd Herman Roslan, 2018, Gajah Putih Di Bumi Geroda (Perang Melayu-Siam 1767-1842), Syarikat Geroda Merah.

Penulis: Mohd Herman Roslan
Editor: Mohamad Hafez Mohamad Ripin

Gambar: Replika Bunga Emas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan