Memaparkan catatan dengan label ligor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ligor. Papar semua catatan

Sabtu, 4 April 2020

INTERPRETASI BUNGA EMAS: SIMBOL PERSAHABATAN ATAU NAUNGAN.



Apabila mengupas isu Bunga Emas, pasti soal hubungan Negeri-Negeri Melayu Utara-Siam tidak dapat dipisahkan. Menurut perspektif Negeri-Negeri Melayu, amalan penghantaran Bunga Emas kepada Siam hanyalah sekadar tanda persahabatan yang terjalin erat antara dua kerajaan. Sebagai contoh, di pihak Kedah amalan penghantaran Bunga Emas ini telah dicatatkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa sebagai tanda kegembiraan dan hadiah kepada Raja Siam kerana berjaya memperoleh seorang putera. Di pihak Terengganu pula, amalan penghantaran Bunga Emas adalah amalan yang dimulakan oleh Sultan Mansur I iaitu Sultan Terengganu kedua sebagai balasan atas pemberian hadiah-hadiah berharga oleh Raja Siam kepada baginda sebelum itu.

Namun begitu, pada perspektif Siam amalan penghantaran Bunga Emas oleh Negeri-Negeri Melayu Utara kepadanya adalah sebagai satu bentuk ufti yang menandakan naungannya ke atas Negeri-Negeri Melayu Utara.

Selepas Kejatuhan Ayyuthaya pada 1767, Bunga Emas ini seolah-olah menjadi satu amalan wajib yang perlu dipenuhi oleh Negeri-Negeri Melayu Utara sebagai "jaminan keselamatan" daripada ancaman Siam. Setelah runtuhnya Dinasti Thonburi dan bangkitnya Dinasti Chakri melaui Raja Rama I, kewajiban amalan penghantara Bunga Emas setiap 3 tahun sekali daripada Kedah, Terengganu, dan Kelantan adalah merupakan bukti bahawa kesemua kerajaan tersebut tunduk kepada naungan kerajaan Siam.

Menurut catatan Hugh Clifford yang pernah menjadi Persuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Gabenor Negeri Selat pada tahun 1827, nilai sepohon emas adalah sebanyak 1000 

pound.

Menurut catatan pada Inskripsi Sukhothai tahun 1283-1306, disebutkan bahawa amalan penghantaran Bunga Emas ini telah bermula sejak zaman Sukhothai lagi. Bunga Emas akan dihantar kepada Sukhothai melalui Ligor dan selepas kejatuhan Sukhothai pada 1350, dasar ini tetap diteruskan oleh kerajaan Ayyuthaya.

Setiap pohon Bunga Emas dan Bunga Perak akan dikumpulkan setiap 3 tahun sekali. Antara wilayah yang terlibat ialah:

1. Ujung Tanah

2. Melaka (Melaka menghantar ufti sebanyak 48 auns emas dan sekiranya ufti tidak dihantar maka mereka akan diserang. Pada zaman Sultan Muzaffar Shah, Melaka pernah diserang oleh Ligor sebanyak 3 kali namun gagal)

3. Melayu

4. Muar

5. Tenang Sri

6. Perak

7. Thawai

(7 wilyah ini menghantar 3 Bunga Emas 3 Bunga Perak setiap 3 tahun sekali)

I. Senggora

II. Patthalung

III. Phangnha

( 3 wilayah ini menghantar 2 Bunga Emas dan 2 Bunga Perak setiap 1 tahun sekali dan dikumpul selama 3 tahun.)

Jumlah kesemua 18 pohon Bunga Emas dan 18 pohon Bunga Perak ini akan dikumpul oleh kerajaan Ligor sebelum diserah kepada kerajaan Ayyuthaya. Selain itu menurut catatan Mandiarapala (Undang-undang Kerajaan), terdapat juga wilayah-wilayah lain yang turut menghantar ufti ke Bangkok iaitu Nagara Huan, Sri Satanaguhata, Chiengmai, Ton U, Chiengkari, Chiengkran, Chiangsaen, Ciengrung, Chiengrai, Hsenwi, Khermaja, Pharae, Nan, Taidon, Gotrapon, Reo Kaeo, dan Varavari.

Di dalam Hikayat Nakhon Sri Thammarat, 12 buah wilayah yang berada di bawah kuasa Ligor telah disimbolkan berdasarkan Kalendar Naksat 12 wilayah yang  merupakan wilayah yang berada di bawah pengaruh dan tanggungjawab Ligor. Isu dan persoalan mengenai Bunga Emas ini masih diperdebatkan oleh majoriti sejarawan yang mengkaji tentang hubungan Melayu-Siam.

Di mata sejarawan Malaysia, majoriti memandang Bunga Emas sekadar sebagai simbol persahabatan antara dua kerajaan yang telah disalaherti oleh pihak Siam, sebaliknya pada pandangan sejarawan Thailand majoriti tetap beranggapan bahawa Bunga Emas merupakan ufti yang menjadi simbol tunduknya Negeri-Negeri Melayu di bawah naungan Siam.

Para sejarawan Malaysia berhujah bahawa amalan penghantaran Bunga Emas kepada Siam hanyalah sekadar simbolik persahabatan sebagaimana persahabatan antara Melaka dan China Ming melalui pertukaran hadiah berharga dan kunjungan diplomatik antara kedua-dua kerajaan tetapi hal ini tidak bererti Melaka berada di bawah naungan atau jajahan China Ming, maka begitu juga status Bunga Emas yang dihantar oleh Negeri-Negeri Melayu kepada Siam tetapi disalaherti oleh pihak Siam sendiri sebagai satu bentuk ufti.

Para sejarawan Thailand pula berpegang pada pendapat amalan penghantaran Bunga Emas adalah amalan wajib yang perlu dipenuhi oleh Negeri-Negeri Melayu setiap 3 tahun sekali sebagai satu bentuk ufti bagi mendapatkan naungan pihak Siam. Istilah ufti bermaksud sumbangan wajib dalam wang dan hadiah berharga sebagai bayaran perlindungan. Ufti hanya dibayar oleh sesebuah wilayah/kerajaan bertaraf rendah kepada sesebuah kerajaan yang bertaraf lebih tinggi.

Namun bergitu, di Negeri-Negeri Melayu, terdapat perbezaan dalam isu amalan penghantaran Bunga Emas ke Siam. Sebagai contoh, sehingga tahun 1821 Kedah merupakan sebuah kerajaan bebas dan tidak dijajah secara langsung oleh Siam. Penghantaran Bunga Emas kepada Siam hanya sekadar sebagai simbol persahabatan dan hubungan diplomatik yang sangat erat serta saling bergantungan antara dua kerajaan. Walau bagaimanapun, selepas tahun 1821 Kedah telah ditakluki secara langsung oleh Ligor bagi pihak Siam dan dijajah secara rasmi. Maka status amalan penghantaran Bunga Emas telah berubah daripada simbol persahabatan kepada simbol naungan dalam bentuk ufti. Begitu juga Perak yang terpaksa menghantar Bunga Emas sebagai ufti kepada Siam pada tahun 1818-1825 kerana ia telah ditakluki oleh Kedah. Kelantan juga telah menghantar Bunga Emas sebagai ufti kepada Siam pada tahun 1802.

Kesimpulannya, amalan Penghantaran Bunga Emas menjadi bukti kepada keterdekatan hubungan dua hala kerajaan Melayu dan kerajaan Siam dalam soal politik dan keselamatan. Penilaian status Bunga Emas juga berbeza-beza mengikut kefahaman pengkaji yang melihatnya dari perspektif bangsa atau sebaliknya.

Rujukan:
1.L.A Mills 2012, British Malaya MBRAS.
2. Stuart Munro-Hay, 2001, Nakhon Sri Thammarat: The Archeology, History and Legends Of Southern Thai Town, White Lotus Press.
3. G.E Gejrini, 1905, Historical Retrospect Of Junkceylon Island, JSS, Vol 2.
4. Frank Swettenham, 1893, An Account Of The Origin and Progress Of Siamese Influence In The Malays Peninsula 1785-1882, W.& A.K. Johnston.
5. David K Wyatt, 1967, The Thai ' Kata Mandiarapala' And Malacca, JSS, Vol 55.
6. D.G.E Hall, 1973, Sejarah Asia Tenggara, DBP.
7. Mohd Herman Roslan, 2018, Gajah Putih Di Bumi Geroda (Perang Melayu-Siam 1767-1842), Syarikat Geroda Merah.

Penulis: Mohd Herman Roslan
Editor: Mohamad Hafez Mohamad Ripin

Gambar: Replika Bunga Emas

Khamis, 31 Disember 2015

Setol : Saudara Kedah Yang Hilang



Ramai dari kita sering melupakan tentang sejarah selatan Thai yang pernah menjadi sebahagian dari Tanah Melayu yang sering kita ingat adalah Patani memandangkan negeri itu hingga kini masih berjuang untuk membebaskan diri mereka daripada negara Thai. Walaubagaimana pun apabila merujuk kepada sejarah Kedah sudah pastilah anda tidak akan dapat melupakan Setol iaitu sebuah negeri yang bersempadan dengan Perlis dan Kedah hari ini. Salah satu destinasi pelancongan yang menarik di kawasan Setol ialah Hatyai dan Pulau Pipi. Artikel ini ditulis sepenuhnya mengikut bahasaasal di kawasan Setol iaitu bahasa Melayu.



Setol pada suatu masa dahulu dikenali sebagai Negeri Mambang Segara yang bermaksud Negeri Dewa Laut memandangkan negeri ini mempunyai banyak 14 buah pulau. Sungai utama bagi Setol ialah Sungai Lakngu dan Pulau Burung, Pulau Bara dan Thongwa pula merupakan pelabuhan utama bagi kawasan ini. Dipercayai bahawa di kuala Sungai Lakngu pernah wujud sebuah kerajaan tua namun tidak dapat dipastikan bilakah tarikh kewujudannya namun ia masih lagi tertakluk dibawah kerajaan Kedah. Kawasan Setol ini mempunyai bilangan penutur bahasa Melayu yang sangat ramai berbanding penduduk Thai. Namun akibat asimilasi dan kewajipan untuk mempelajari bahasa Thai di sekolah-sekolah menjadikan penduduk di kawasan ini boleh bertutur dalam 2 bahasa. Antara pelat bahasa yang dapat di dengar ialah pelat Kedah, Perak dan Setol yang menjadikan kawasan ini sebuah tempat yang sangat bagus untuk di jadikan kajian di peringkat akademik. 

Semasa berlakunya perebutan kuasa di antara kerabat Sultan Kedah, kawasan Setol ini telah diberikan kepada Tunku Bisnu setelah masalah perebutan itu mendapat campurtangan daripada pihak Siam yang di wakili oleh Ligor di bawah pentadbiran Nai Pai (adik kepada seorang saudagar Cina dari Chenak) manakala Tunku Abdullah atau Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah pula di angkat menjadi Sultan Kedah. Sejarah negeri Setol pada abad ke 19 lenyap seketika apabila Tunku Bisnu mangkat dan Setol dimasukkan semula sebagai sebuah kawasan hak milik negeri Kedah. 

Nama Setol muncul semula apabila Tunku Muhammad Saad menyerang angkatan Siam pada tahun 1832 di Hatyai namun pasukan itu telah mendapat tentangan sengit dan terpaksa berundur semula hingga ke Alor Ganu. Manakala Tunku Muhammad Saad pula telah lari ke Pulau Pinang dan akhirnya di berkas oleh pasukan British disana. Beliau kemudiannya dituduh kerana menghasut orang – orang Melayu untuk memberontak namun beliau di lepaskan kerana tidak cukup bukti bagi mendakwa beliau. Manakala Kedah diperintah oleh Phya Sinanuncit iaitu anak kepada Gabenor Ligor selama 18 tahun dari dari tahun 1824-1842. Pada tahun 1843 Setol diserahkan semula kepada Kedah sehinggalah Perjanjian Inggeris Siam pada tahun 1909 memisahkan kawasan ini dan seluruh kawasan selatan Thai kepada Siam hingga hari ini. 

Sumber 

Sejarah Negeri Setol, PSMCK 1970
Pengantar Patani, 1991
Al Tarikh Salasialah Negeri Kedah 1963

Gambar : Wat Rachativas

https://www.facebook.com/KitabSejarahMalaya/photos/pb.540897839352337.-2207520000.1451625023./820398301402288/?type=3&theater