Sabtu, 30 September 2017

Ajaibul Hind (Kisah Keajaiban Sekitar Lautan Hindi)

Kitab Sejarah Malaya

Satu masa dulu disaat-saat saya tidak mengerti apa pun tentang teknik-teknik sejarah dan hanya sekadar peminat sejarah. Saya sering tertanya-tanya mengapa sejarah Malaysia tidak begitu berkembang.

Semakin saya menyelam dunia sejarah melalui pelbagai buku maka terdetik di hati hendak membuat penulisan sejarah. Pada masa itu juga saya merasakan tidaklah penting menyambung pengajian di universiti. Bagi saya cukuplah apa yang saya baca. Saya mula membuat kajian tentang Islamnya Sriwijaya dan hasilnya saya amat yakin benar tentang kerajaan itu pernah menganut agama Islam.

Setelah berbulan-bulan saya menulis dan menelaah saya cuba bawakan kajian saya itu kepada yang lebih arif. Oh ya sebelum lupa.. saya sering tertanya mengapa penulisan sejarah Melayu banyak menumpukan bahan-bahan daripada British dan Portugis. Kalau hendak melihat rujukan dari Arab kita kena cari di pondok-pondok sedangakn yang dirujuk adalah bangsa Melayu.

Maka dalam menyelidik itu terjumpalah saya beberapa kitab Arab seperti Muruj Az Zahab dan banyak lagi namun paling penting kepada para pengkaji Sriwijaya pada abad ke 5M-7M ialah kitab Ajaibul Hind. Pada masa tu sangat-sangatlah susah sebab bahan tersebut takda di internet dan saya lansung tak berpeluang untuk melihat lebih dalam apakah isi kitab tersebut.

Akhirnya saya hanya bersangka-sangka bahawa Sriwijaya telah pun memeluk Islam pada 720M kerana sebuah kerajaan kuno dalam Burma hari ini telah pun menerima pengaruh Islam pada 700M. Namun saya masih buntu kerana setakat ini belum ada data yang benar-benar melihat apakah pandangan Arab kepada alam Melayu sedangkan Wolters dan Coedes menyatakan tentang hubungan Mesir dan Barus sebelum Masihi lagi.

Begitu jugalah halnya hubungan Parsi dan Alam Melayu. Orentalis menyebut Parsi kerana mahu menjauhkan kita dari Islam. Parsi pada waktu 6M sudah pun berada dibawah Khulafa Ar Rasyidin hinggalah Abbasiyah. Atas sebab penipuan yang terselindung itu kita sudah terpisah begitu jauh dari dunia Islam dan Arab dan hanya mampu bercakap tentang Turki. Itupun tidaklah dalam lagi pengetahuan kita terhadap hubungan ini kecuali Uthmaniyah pernah membantu Acheh melawan Belanda.

Maka setelah sekian lama atas usaha Sdr.Arsyad Mokhtar maka terbitlah Buku Ajaibul Hind yang diterbitkan oleh Sdr.Naseer Sobree di bawah label Baytul Hikma. Ajaibul hind adalah kumpulan genre hikayat terkumpul namun didalamnya ada pelbagai kisah yang sebahagiannya menujukkan keadaan Alam Melayu.

Buku ini telah pun dipetik sumbernya oleh Prof-prof dari seluruh dunia terutama sekali Cambrige. Pada saya jika ini sebuah hikayat yang dianggap oleh sesetengah sarjana sebagai sejarah sampingan atau mitos yang tak berasas mengapa pula Barat begitu mengangkat naskah ini.

Di dunia Arab hingga hari ini ada ribuan lagi naskah yang menceritakan tentang Alam Melayu namun gerakan untuk menjejak naskah-naskah ini tentulah mengambil masa yang panjang dan melibatkan kos yang tinggi. Namun usaha yang telah dibuat oleh team Baytul Hikma sedikit sebanyak telah membuka ruang kajian tentang Alam Melayu dengan lebih mendalam.

Masalah kita paling besar sekarang ialah melahirkan pakar bidang/lapangan sejarah Melayu. Kita takda ramai pakar yang mengetahui selok belok sejarah kuno Melayu yang setakat ini dikuasai oleh ahli arkeologi negara dan hal ini juga saya nampak dan telah berulang kali nyatakan di dalam fb. Begitu juga hal ini pernah dibangkitkan oleh Prof Emeritus KKK.

Mengkaji sejarah bukan hanya bertumpu pada penyelesaian persoalan kajian tapi bagaimana hendak menyaring dan mengambil segala maklumat sejarah yang berkaitan dari pelbagai sumber. Maksud saya selain dari China dan Portugis diluar sana ada ribuan bangsa yang pernah datang kesini dan mencatatkan pengalaman mereka sepajang abad dan zaman cuma tidaklah diketahui dimana naskah-naskah ini berada.

Apapun saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada sidang Baytul Hikma kerana berjaya memartabatkan karya sejarah Melayu melalui kaca mata Arab. Semoga satu masa nanti adalah perkumpulan yang sanggup menterjemah dan menerbitkan karya-karya sejarah berkaitan Melayu dari bahasa Perancis, Burma, Vietnam, Belanda dan banyak lagi.

Hari ini pihak penerbit telah membuat keputusan untuk menamatkan penerbitan buku ini dan ia akan menjadi langka pada satu masa nanti.

MHR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan