Buku |
Buku ini pada saya
sangat menarik kerana ia diakui oleh penulis dan editor bahawa ia merupakan
perkumpulan cerita lisan dari orang ramai terutama sekali di daerah Semantan
dan Temerloh yang merupakan kubu kuat bagi Dato Bahaman dan Dato Gajah.
Umumnya penentangan
orang-orang Pahang berlaku pada zaman Sultan Ahmad Shah iaitu Sultan Pahang
pertama dari jurai Bendahara Melaka dan terdapat pelbagai kisah yang tular
tentang pahlawan Pahang ini sejak dekad ke dekad. Kisah mereka ini dianggap
menarik dan tidak kurang pula menimbulkan pelbagai pandangan dari masyarakat
umum. Ada yang menyokong dan menjulang mereka dan ada pula yang mencemuh
mereka.
Di dalam buku ini
penulis cuma menceritakan kronologi peristiwa bagaimana penentangan ini
berlaku. Dari sebuah perbalahan kecil, bertukar menjadi penindasan secara
halus. Namun sebagai anak Melayu yang pantang menderhaka para Dato-dato ini
bersumpah untuk taat setia dan sanggup menjadi kambing hitam asalkan Sultan
Pahang terselamat.
Namun antara
perkara yang mengejutkan ialah semasa kedatangan British ke Pahang dan sebelum
penentangan ini berlaku nampaknya Panglima Muda Lope iaitu Orang Besar Jengka
telah pun melakukan penentangan terhadap British dan dialah orang yang
mula-mula sekali menentang! dan dikatakan penentangan inilah yang telah membuka
jalan kepada campurtangan Inggeris ke Pahang. Selain itu terdapat beberapa
sosok misteri (pada saya) semasa campurtangan awal ini berlaku yang tidak dapat
saya huraikan dengan panjang lebar kerana pelbagai sebab.
Kedatangan British
telah mengubah sistem feudal yang selama ini digunapakai oleh kerajaan Melayu
dan antara yang diubah ialah sistem cukai iaitu dari cukai kawasan kepada
bentuk bayaran pencen. Menurut penulis Sultan Ahmad bersetuju dengan bayaran
pencen ini dan telah menitahkan agar semua pembesar menurut undang-undang baru
ini. Namun dari sebulan membawa ke setahun dan akhirnya menjadi dua tahun.
Akhirnya wang yang ditunggu-tunggu tidak juga diperolehi dan mula menimbulkan
kemarahan para pembesar.
Akhirnya Dato Gajah
dan anaknya Mat Kilau telah nekad untuk membunuh Clifford namun rancangan
mereka itu telah dilaporkan oleh tukang masak Clifford berbangsa Melayu. Mereka
dijemput naik ke atas bertemu dan tatkala itu Clifford berkata “Janganlah kamu
memberontak menentang British, takda gunanya”. Kata-kata itu telah memutuskan
niat kedua-dua mereka.
Dalam keadaan yang
serba susah itu akhirnya Dato Bahaman telah memutuskan untuk berunding dengan
British melalui Sultan Johor. Namun kata sepakat tidak dapat dicapai. Inggeris
sepertinya membuat muslihat dengan menambah jumlah wang kepada Dato Bahaman
sebanyak $500 menjadikan semua sekali $1000. bagi Dato Bahaman jika diterima ia
akan menjadi bahan fitnah untuk menghukumnya maka beliau menolak.
Sementara itu, Pati
Bin Burok dan Mat Shah Bin Burok telah membunuh 5 orang Cina di Pulau Tawar. Dalam
penyiasatan British Mat Kilau telah dituduh terlibat dalam pembunuhan itu. Mat
Kilau cuba ditangkap oleh British namun mendapat tentangan hebat dari Dato
Gajah dan seluruh penduduk Pulau Tawar. Mendengar peristiwa ini British dengan
pantas mengawal pergerakan Sultan Ahmad. Dalam peristiwa ini juga dikhabarkan
ramai tentera Sikh terbunuh melalui taktik perang gerila yang dilancarkan oleh
mereka. Pada waktu ini Dato Bahaman mendiamkan diri kerana mahu menunggu
keadaan pulih.
Setelah beberapa
berperang akhirnya Dato Gajah dan Mat Kilau berpecah kepada 2 kumpulan dimana
Dato Gajah dan Mat Kilau membawa diri ke Hulu Kelantan. Mat Kilau semasa tiba
di Hulu Kelantan, beliau telah disambut oleh para penduduk disitu. Penulis
mengatakan semasa berada disini mereka telah diracun yang akhirnya membawa
kepada kematian Mat Kilau dan dikuburkan di Ulu Leteh. Dato Gajah kemudiannya
membawa diri ke Terengganu dan selepas beberapa ketika beliau meninggal dunia
dan dikuburkan disana.
Kisah ini agak
tragis namun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran itu, walaupun satu berita
gempar muncul pada tahun 1970.Namun didalam buku ini menyebut tentang anak Dato
Bahaman bernama Mat Lela telah pulang ke Tanah Melayu selepas 1957. Adakah
orang yang mengakui Mat Kilau itu adalah Mat Lela? dan dikhabarkan semasa “Mat
Kilau” muncul, Sultan Abu Bakar tidak mahu menemui beliau sehingga “Mat Kilau”
itu meninggal dunia.
Insha Allah saya dan team Geroda Merah akan menerbitkan semula buku ini pada tahun hadapan.
Insha Allah saya dan team Geroda Merah akan menerbitkan semula buku ini pada tahun hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan