http://muntahpelangi.blogspot.com/2012/06/maksud-tersirat-lagu-tanya-sama-itu-hud.html |
Semakin hari semakin ramai orang
yang meminta akan tibanya kiamat samada dengan cara halus atau kasar. Pelik dan
hairan semua ini berlaku? sudah putus asakah umat Islam kepada diri sendiri?
Sudah putus asakah kepada sekalian ulama,umara dan para alimin? Semuanya
seolah-olah sudah bersedia untuk menyerahkan tengkuk mereka supaya disembelih
oleh orang kafir hidup-hidup sepertimana yang berlaku di Syria dan Iraq. Bagi
orang kafir mereka tak peduli kiamat
walaupun mereka tahu apa itu kiamat. Dunia bagi mereka adalah segalanya. Mati
itu pula adalah pengakhiran atas segala kenikmatan yang mereka kecapi selama
ini. Namun kita sebagai muslim ini pula merasakan akhirat itulah segalanya walau
sejahat mana sekalipun kita ini pasti ada sekelumit rasa untuk Dia, cuma mengapa
kita sebagai muslim tidak melawan dan berserah segalanya kepada takdir?
Seolah-olah apa yang bakal berlaku semuanya sudah ditentukan. Melawan bukan
beerti keluar berperang dan menjerit-jerit menyebut TAKBIR! tapi melawan dengan
cara meningkatkan segala ilmu dalam diri dan kaum muslim. Apakah persediaan
kita pada hari ini? Adakah sekadar solat dan doa saja sedangkan didalam sejarah
Islam itu sendiri telah tercipta pelbagai jenis teknologi yang kekal hingga ke
hari ini.
Perasaan kita sebagai muslim hari
ini bercampur aduk diantara takut,sedih dan rimas melihat akan perkara-perkara
yang berlaku di sekeliling. Semakin lama perasaan takut dan risau menyelubungi apabila
melihat gelagat manusia yang seolah-olah tidak punya batas dalam hidup.
Semuanya seakan-akan ingin pulang kearah zaman yang penuh jahil. Zaman dunia
yang penuh indah dimana tiada satu pun undang-undang agama yang mampu
menghalang mereka. Tidakkah mereka ingat kepada penduduk-penduduk kota Sodom,
Atlantis dan Greek?.
Tidakkah mereka sedar akan sebuah tamadun yang begitu
tinggi beratus-ratus abad yang lalu
dimusnahkan dengan sekelip mata?. Mereka semuanya melalui zaman falsafah,budaya
dan teknologi yang paling tinggi di era itu namun apakah kesudahan mereka?.
Tiada satupun yang kekal. Inilah “Pesan
dari langit” kepada setiap manusia yang pernah,sedang dan akan hidup
didunia ini. Namun disebalik kesemua itu apakah kita sebagai muslim tidak perlu
lagi berusaha dan hanya tunggu di tikar sejadah dan mencari makan untuk hidup
saja? Jikalau ya mengapa pula Nabi SAW menganjurkan supaya para muslim mencari
ilmu?. Bukankah setelah mulanya manusia bertamadun
pelbagai falsafah dan pepatah tentang ilmu itu diucap berjuta-juta kali oleh
semua bangsa didunia ini. Tapi mengapa kita sebagai muslim tetap berpandangan
dengan segala yang berlaku merupakan ketentuan Ilahi. Ya, memanglah benar
segala tiap sesuatu itu sudah ditentukan-Nya tapi bukankah apa yang berlaku itu
diusahakan oleh kita sendiri sebagai manusia.
Mungkin dengan anggapan apabila
membaca kisah-kisah ajaib didalam Islam, kita sebagai muslim berpandangan tiada
perlulah berusaha dengan sedaya-upaya dan cukup sekadar dengan melakukan ibadah
kita akan beroleh semuanya dengan penuh yakin kepada kalimah “kun fa ya kun” semuanya akan kembali
kepada sedia kala. Tidak dinafikan keyakinan yang begitu tinggi akan menjadikan
semua itu berlaku kerna itulah kelebihan kita sebagai muslim. Namun disebalik
semua itu apakah Nabi SAW sendiri sekadar duduk berdoa tanpa berusaha apa-apa
pun? Jadi apa perlunya Saidina Salman al-Farisi mengajar teknik perang Parsi
kepada orang Arab pada waktu itu, malah baginda sendiri bersetuju dengan
pendapat tersebut. Bukankah ini bermaksud secara ruhnya kita sebagai muslim
harus juga berusaha mencipta,mempelajari dan menggunakan teknologi dan akal?.
Didalam manusia mencari kemodenan dan kemajuan sudah pastilah akan terpalit
pelbagai masalah duniawi iaitu moral. Masalah moral bukanlah sesuatu yang
baharu. Sepertimana yang telah disebutkan pada awal tadi. Tamadun-tamadun hebat
didunia telah menerima pesan dari langit. Semuanya akibat dorongan sudah
merasakan diri itu sendiri sebagai tuhan, sudah merasakan tiada suatu kuasa pun
yang mampu menghalang mereka sehinggakan manusia menciptakan pelbagai teknologi
untuk mengelak dari kiamat!.
Disatu sudut akibat punya keyakinan
yang begitu tinggi menjadikan orang-orang kafir sanggup melawan Penciptanya.
Tapi kesannya bukankah kita sebagai muslim dapat melihatnya sendiri?. Pelbagai
teknologi telah berjaya mereka hasilkan. Namun dimana kita selepas 600 tahun
runtuhnya kota-kota Islam? Apakah yang membezakan kita dengan mereka? Jawapan
paling tepat ialah keyakinan.
Ya! keyakinan, dimanakah keyakinan kita
sebagai muslim? Setelah runtuhnya segala kota-kota Islam, kita yang mengaku
hidup matinya sebagai muslim telah hilang keyakinan kepada diri sendiri, hilang
keyakinan kepada Islam, hilang keyakinan kepada apa jua yang boleh menyatukan
kita sebagai muslim. Kenapa kita asyik saja menyalahkan takdir?! Tidak sedarkah
kita bahawa kita telah menyalahkan Allah Taala?. Keyakinan yang jelas kepada
kita hari ini ialah melawan kuasa Ar-Rahman. Apakah dengan melihat makanan kita
akan kenyang? Apakah dengan hanya melihat air sahaja akan menghilangkan dahaga
kita?. Ini persoalan dasar kepada semua kita orang-orang muslim yang berada
dilapisan paling bawah. Tidak semua dari kita mampu mencapai makam iman yang
tinggi sehinggakan ada orang berpendapat didalam dunia hari ini cukuplah
sekadar mencapai gelaran orang soleh. Itu diperkirakan sudah cukup baik bagi
dunia hari ini. Bukankah tiap satu zaman itu punya masalah yang berbeza namun
konteksnya sama iaitu moral. Tidak akan wujudnya garam pada hari ini jika tidak
ada orang yang terdahulu menghasilkan garam. Maka samalah masalah duniawi hari
ini. Jikalau orang-orang zaman Helanistik dengan kesenian tidak berbaju maka
apakah hari ini semua orang seninya itu tertutup?.
Hari ini kita didunia Islam menjadi
gempar dengan segala macam bencana yang menimpa saudara seagama kita diseluruh
dunia. Segala bala bencana tiba keatas kita atas kesilapan diri kita sendiri.
Bila terjadi sesuatu semuanya berkata “oh!
Inilah tanda kiamat”, “oh! Kita harus fanakan dunia ini jauhi segalanya dan
ambil jalan akhirat”. Kenapa hal ini berlaku kepada kita? Mengapa begitu
cepat dan lemahnya kita membuat keputusan. Apakah dengan terputusnya segala
pengharapan kita kepada dunia menjadikan kita mulia di akhirat?, segala bencana
itu sudah ada ketetapannya, sudah ada perjalannanya dan kita sendiri sedar akan
perjanjian kita dengan-Nya semasa di Lauh Mahfuz. Kita sudah belajar semuanya
dengan cara kita yang paling lemah. Namun kenapa di penghidupan ini kita
berkata sedemikian? Bukankah golongan yang berputus
asa sebelum berjuang ini adalah diantara 72 golongan yang masuk kedalam neraka.
Seandainya Nabi SAW sendiri seorang yang mudah mengalah dan berpeluk tubuh
sahaja kerana tahu akan tibanya kiamat apakah yang berlaku kepada kita hari
ini? Adakah kita akan kenal akan ertinya Islam? Diakhirnya kita akan berkata “Oh! Itu Nabi SAW mana boleh dibandingkan
dengan kita manusia biasa ini”, baginda itu kekasih Allah dan pelbagai lagi
alasan dan pendapat dilahirkan di bibir, habis bagaimana pula dengan
sahabat-sahabat baginda yang lainnya?.
Apa
perlunya mereka berusaha meluaskan empayar Islam? Apa perlunya mereka
berlumuran darah dan bermandi keringat jika mereka sendiri dengan penuh yakin
menyerahkan urusan duniawi ini kepada Allah. Jelas ini membuktikan bahawa doa
tanpa usaha adalah sia-sia sahaja. Jikalau mereka sendiri dengan mata dan
telinga mendengar akan tibanya kiamat maka apa perlunya mereka berusaha dengan
penuh susah, lebih baik mereka tunggu dan lihat sahaja akan dunia ini. Adakah
kita yang sebagi muslim ini mengakui membaca dan memahami isi al-Quran tidak
mengambil iktibar dari kisah-kisah para Nabi dan Rasul? Sebagai contohnya kisah
Nabi Nuh as yang diperintahkan agar berusaha mempersiapkan sebuah bahtera untuk
menghadapi banjir. Mengapa Nabi Nuh as juga perlu berusaha sedangkan doa
baginda sendiri akan termakbul dengan cepat? Kita hari ini telah hilang
keduanya doa tidak termakbul usahanya juga tiada. Maka dalam keadaan itu
terhinalah kita sebagai orang muslim didunia ini. Diinjak-injak agama kita oleh
orang lain sehinggakan ada diantara kita yang disembelih, dibakar malah sudah
menjadi mayat pun ditendang-tendang oleh orang kafir. Atas kesemua itu
sebenarnya salah siapa? Dan kepada siapa yang kita akan tunjukkan jari kita ini?.
Semuanya adalah kesalahan diri kita sendiri!
Konsep berserah itu bermakna setelah
berusaha dengan sehabisnya dengan mencapai kesempurnaan ilmu dan teknologi
barulah kita menyerahkan untung nasib kita kepada Allah. Seandainya musibah itu terjadi maka sesuailah
mengatakan perkara yang terjadi itu ialah takdir. Kita hari ini belum membuat
apa-apa usaha sudah mengatakan inilah takdir. Inilah keputusanNya. Inikah kita sebagai seorang
muslim? Inikah umat yang bakal membantu
Panji Hitam? Apakah tanpa persiapan dan usaha kita akan menang di hari
menjelang kiamat?. Adakah datangnya “sang penyelamat” itu membawa segala
kelengkapan dan teknologi dan kita terus pandai menggunakannya?. Tidak
terlintaskah di fikiran kita bahawa dalam dunia Islam suatu masa dahulu adalah
dunia ilmu. Seluruh dunia mengakui dan mengagumi akan luasnya ilmu yang dicapai
oleh tamadun Umayyah di Sepanyol dan Abbasiyah. Namun kerana leka dan merasa
megah akhirnya kita ditumbangkan.
Tujuan paling akhir dalam Islam
ialah pendidikan untuk persiapan kehidupan dunia dan akhirat iaitu usaha
menyeimbangkan kehidupan kedua-duanya. Islam melarang seseorang mengasingkan
diri daripada masyarakat dan tidak suka akan pengangguran dan orang yang tidak
berusaha untuk mencari nafkah hidup; sebaliknya Islam menyeru manusia supaya
hidup bermasyarakat dan memuliakan orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan.
(Pengenalan Tamadun Islam Dalam
Pendidikan;Hassan Langgulung) manakala jihad adalah senjata ampuh yang bertindak
dengan empat cara iaitu dengan lidah, dengan harta, dengan diri dan dengan
nyawa. Salah satunya iaitu dengan lidah yang beerti dengan cara berdakwah iaitu
mengajak manusia melakukan kebaikan dan menolak kebatilan dengan kaedah yang
sesuai bagi menghadapi manusia yang berlainan pemikiran. Bagi cendekiawan
hendaklah dihadapi dengan cara hikmah dan kebijaksanaan (bilhikmati); bagi orang
yang pertengahan daya pemikirannya maka hendaklah dihadapi dengan cara
perbantahan dan bertukar-tukar fikiran (wa jadil-hum bi’llati hia ahsan); bagi
orang biasa pula hendaklah dihadapi dengan cara memberi pelajaran, pengajaran
dan tunjuk ajar yang baik (wa mau’idzati hasanati). (Jihad dan Pengertiannya; Prof Madya Amat Juhari Moain).
Kesimpulannya
manusia didalam hidupnya perlu berusaha, komuniti masyarakat juga perlu
berusaha untuk maju kehadapan dan bersama-sama membangunkan negara bukan
mengharapkan doa semata-mata. Lemah dan kuatnya sesebuah tamadun bergantung
atas usaha semua pihak. Jika kita mengatakan kita ini muslim maka kita sendiri
sudah sedar bahawasanya al-Quran itu sendiri sudah mendahului zaman kita cuma
persembahan bahasanya (cara tafsirannya) agak lama. Namun jika ditafsir dengan
penuh teliti Kalamullah itu sendiri telah mengajar kita segalanya dari mula
hidupnya seorang manusia hinggalah kepada pembalasannya di yaumul qiamah. Kita
juga sering berkata bahawa dunia Barat sendiri mengkaji al-Quran dan
memperolehi pelbagai ciptaan dan idea dari kitab itu sendiri. Tapi mengapa kita
sekadar duduk berteleku dan menyalahkan takdir? Dan dengan senang hati berkata
berdoa itulah usaha! Tidak malukah kita kepada orang kafir? Tidak berasakah
dihati kita ini apabila mereka-mereka itu menghinakan kaum muslim dan agama
Islam? Tidak malukah kita apabila kita sendiri mengambil segala budaya kotor
Barat sehinggakan menganggap ilmu dunia hari ini adalah hasil dari tangan
mereka? Kita hanya mahu berjihad dengan cara berperang dan menganggap dengan
cara itulah Islam akan terbela. Namun kita lansung tidak memahami konsep
sebenar dan cabang-cabang jihad didalam Islam. Inilah kelemahan kita sebagai
muslim! Kita ditipu dengan begitu mudah akibat daripada kelemahan diri kita
sendiri dalam mencari ilmu dan akhirnya kita berbunuhan dan menyalahkan sesama
kita. Janganlah takut kepadda kiamat itu melebihi takutnya pada Allah yang
menciptakan kiamat itu! Kerna kiamat itu dicipta oleh-Nya dan bukannya terjadi
dengan sendiri. Bak kata para ulama dan umara setiap kali menghabiskan ucapan
“yang baik datangnya dari Allah dan yang buruk datang dari kelalaian dan
kebodohan kita sendiri”. Bangkitlah saudara muslimku, maralah dilapangan ilmu,
ciptakanlah sesuatu untuk dunia Islam mu, berjuanglah didalam hidup yang
singkat ini kerana balasannya di alam abadi nanti!.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan