Di Tanah Melayu pula pada waktu itu, kesedaran mula timbul setelah
kemasukan orang-orang Cina dan India dan mereka telah menuntut agar diberikan
hak yang sama seperti orang-orang Melayu. Maka, mula timbul kesedaran
orang-orang Melayu untuk bersatu padu dalam memikirkan hak
keistimewaan yang
telah dijanjikan oleh British. Namun begitu, dasar pecah perintah yang dibawa
Inggeris kekal sepertimana yang dikatakan oleh Hugh Clifford atas sebab British
percaya, sesunguhnya kehidupan sedia ada bagi orang-orang Melayu sudah cukup
dan tidak perlu melakukan perubahan yang drastik selagi mana hak-hak istimewa
orang-orang Melayu tidak diubah dengan harapan agar kegiatan perdagangan
British dapat berjalan seperti sedia kala.
Hugh Clifford semasa di Afrika |
Menurut
buku “Sejarah Indonesia Abad ke 20” penulisan Bernhard Dahm, beliau mengatakan
bahawa kemerdekaan Indonesia itu terhasil daripada keberanian beberapa pemimpin
Indonesia seperti Sukarno, Hatta, Sjahrir dan KH Mansur, namun pada masa yang
sama sebenarnya jika diteliti lebih halus ianya lebih kepada kelicikan dan
kepintaran Sukarno dan para nasionalis yang lain menguruskan para penjajah
mereka. Semasa Indonesia berada di bawah pentadbiran Belanda, tidak banyak yang
dapat dilakukan oleh Sukarno dan para pemimpin lainnya, sehinggakan Sukarno
sendiri ditangkap dan dibuang ke Sumatera. Ketika pemerintahan Jepun atas
sebab-sebab perlunya sokongan daripada penduduk tempatan dan pasukan tentera
bagi menghadapi tentera Berikat, Sukarno telah diberi kebebasan untuk bersuara,
namun teks-teks ucapannya harus ditapis dahulu walaupun pada awalnya
seolah-olah Jepun akan memberikan kemerdekaan kepada Indonesia dan hak
kebebasan bersuara kepada Sukarno. Namun secara jelasnya, selepas beberapa kali
berunding dengan Jepun untuk mendapatkan kemerdekaan, kata putus tidak juga
diperolehi kerana Jepun menganggap Indonesia itu terlalu kaya dan sumber
buminya akan menampung segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan bagi
menghadapi peperangan. Maka pada sudut ini yang boleh dianggap sebagai “pasca
merdeka” para pemimpin Indonesia sendiri telah menjalankan diplomasi untuk
mencapai kemerdekaan dan bukanlah peperangan semata-mata.
Lain pula
halnya di Tanah Melayu pada waktu itu, tentera Jepun lebih memberi kebebasan kepada
Orang-orang Melayu dan memusuhi orang-orang Cina kerana Peperangan Dunia 1 dan
penaklukan Manchuria pada awal abad ke-20. Parti Komunis Malaya dan MPAJA telah
dibentuk bagi melancarkan serangan gerila ke atas tentera Jepun. Pihak Jepun
telah melatih sebahagian besar orang-orang Melayu bagi menghadapi situasi ini
seperti mana mereka melatih 65 ribu orang-orang Jawa sebagai persediaan
menghadapi tentera Belanda dan tentera Berikat. Secara tidak lansung, jurang di
antara kaum itu semakin besar. Kesatuan Melayu Muda telah menubuhkan pasukan
tentera tempatan digelar Pembela Tanah Air (PETA) bagi menghadapi ancaman
komunis. Perjuangan membanteras komunis kekal sehingga kemerdekaan dan
berterusan sehingga pemimpin-pemimpin PKM melarikan diri ke sempadan Thai.
Manakala parti-parti berhaluan kiri telah diharamkan oleh British setelah
sekembalinya mereka ke Tanah Melayu.
Nasionalisme
Melayu muncul dengan jelas apabila Gagasan Malayan Union dicadangkan oleh
British. Atas kesedaran yang timbul dengan melihat merdekanya Indonesia pada
waktu itu, menimbulkan perasaan yang meluap-luap di kalangan orang-orang Melayu
untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Setelah beberapa rundingan dan
syarat-syarat penyatuan kaum tercapai, akhirnya Malaya mencapai kemerdekaan. Maka
dengan jelas bahawa datangnya Inggeris itu dengan kertas dan pulangnya mereka
itu dengan kertas dan di Indonesia pula datangnya mereka dengan senjata dan
akhirnya mereka sendiri dihambat dengan senjata, walaupun hakikatnya pejuang
Indonesia sendiri sudah tewas di medan tempur dan hanya kekuatan diplomasi
Sukarnolah yang berjaya menamatkan peperangan pada tahun 1947-1949 itu. Sekali
lagi dengan “diplomasi” jugalah Indonesia terselamat.
Kemerdekaan
yang lahir pada 17 Ogos 1945 adalah tindakan yang berkesan walaupun disusuli
dengan perasaan takut dan kurang yakin. Dalam konteks pengkajian sejarah
bukankah kajian tema sebelum, semasa dan sesudah sesuatu peristiwa itu membawa
maksud dan huraian yang berbeza? Maka, apakah diperkirakan bahawa peperangan melawan Belanda dan Jepun itu
sebagai peperangan pembebasan? Pembebasan daripada penjajah tanpa hala tuju
yang sebenar dan bersifat dinamik. Peperangan-peperangan yang berlangsung itu
pula lebih bersifat kedaerahan dan bukannya penyatuan ulung.
bersambung...
bersambung...