Artikel ini adalah sambungan dari bahagian pertama. Diharapkan kepada yang terlepas pada bab awal bacalah artikel tersebut supaya lebih faham dan tidak membuat andaian melulu. Semoga bermanfaat!!
2.Imbangan Penduduk dan Kesannya
2.Imbangan Penduduk dan Kesannya
Pada hari ini
kaum Melayu lebih suka menganggap punca sebenar kepada penguasaan kaum Cina di
kawasan bandar adalah disebabkan oleh dasar pecah perintah yang dilakukan oleh
British. Tidak dinafikan tentang hakikat itu, namun pernahkah kita mengambil
sedikit masa untuk mengkaji apakah penyebab sebenar mengapakah perkara ini
berlaku? Apakah orang Melayu langsung tidak hairan kepada perkara ini dan
apakah kesan yang berlaku selepas itu terhadap kedua-dua kaum ini? Masalah
penduduk dan kemasukan imigran ini membawa masalah yang lebih buruk dan bukan
hanya tertumpu kepada masalah kekurangan tenaga kerja seperti yang dicanang
oleh British.
Menurut C.P
Fitzgerald penghijrahan kaum Cina ke Tanah Melayu pada waktu itu adalah
disebabkan keadaan politiknya yang aman dan keadaan pembangunan yang begitu
pesat terutamanya di Singapura berbanding dengan negara seperti Indonesia dan
Filippina. Di samping itu, British lebih terbuka dalam menerima kaum Cina di Tanah
Melayu berbanding Belanda dan Sepanyol yang menghalau mereka pulang ke tanah
asal mereka. Sikap masyarakat Cina yang hanya datang untuk mendapatkan
perkerjaan, kekayaan dan tidak campur tangan dalam hal ehwal politik Tanah
Melayu membuatkan British langsung tidak mempedulikan mereka. British juga
menganggap kaum Cina lebih rajin dan senang diberikan apa-apa jua tugas. Kaum
Cina juga dianggap sebagai kaum yang “industrious”,
pernyataan ini dipersetujui sendiri dalam buku “Revolusi Mental” yang menyatakan bahawa mereka (Cina) tidak
berputus asa dalam mengejar kejayaan. Maka pada abad ke-19 menyaksikan jumlah
kaum Cina menjadi majoriti penduduk di Singapura dan di bandar besar
Tanah Melayu.
Dalam buku “Perbandaran dan Orang Melayu” kajian Dr. Raja Mohd Affandi menyatakan antara
tahun 1931-1970 berlaku tambahan perbandaran secara pesat. Hasil daripada
perancangan kerajaan untuk memodenkan Tanah Melayu. Jumlah kaum Cina di bandar
besar dari tahun 1931 hingga 1957 adalah sebanyak 62 peratus berbanding Melayu
sebanyak 20 peratus dan mula menunjukan perubahan pada tahun 1970 dengan 59
peratus kaum Cina dan 26 peratus kaum Melayu. Antaranya penyebab kurangnya
orang Melayu tinggal di bandar besar selain daripada yang dinyatakan di atas
ialah mereka (orang Melayu) sudah terbiasa dengan kehidupan desa dan berasa selesa dengan
keadaan tersebut. Kehidupan orang Melayu pula banyak dikuasai oleh golongan
pemerintah dan masih bersikap konservatif. Maka ruang ekonomi bagi orang Melayu
pada waktu itu hanya dikuasai oleh golongan tertentu sahaja. R.O Winstedt telah menyatakan bahawa apabila seorang
Melayu berniaga maka dia akan mendapat tentangan daripada orang Cina dan India. Oleh itu atas semua faktor tersebut menjadikan orang Melayu begitu perlahan dalam mengejar kemajuan
ekonomi.
Sir Frank Swettenham antara pegawai British yang menyokong Desentralisasi |
Maka tidak
hairanlah jika lebih awal dari zaman 30-an itu, para pelancong yang datang ke
Malaya menganggap Malaya ini adalah sebahagian daripada negara China kerana
pembangunan dan budaya di kota dikuasai oleh orang Cina. Selepas
kemerdekaan dan pertumpahan darah pada tahun 1969, kerajaan secara tidak langsung
telah memutuskan bahawa pejabat kerajaan harus dibangunkan di kawasan bandar
dengan tujuan untuk “memaksa” orang Melayu keluar dari kampung. Pelbagai
tawaran dan insentif untuk bekerja sebagai penjawat awam dilaksanakan pada
zaman 60-an bagi tujuan tersebut. Sistem pelajaran di sekolah juga dibangunkan
dengan begitu pesat dengan memberi penekanan kepada pendidikan untuk kemajuan. Sama
ada sedar atau tidak dasar ini sedikit sebanyak memberi imbangan penduduk di kawasan
bandar pada tahun-tahun berikutnya.
3.Penjawat
Awam
Secara
peribadinya saya berpendapat antara punca mengapa sebahagian besar kaum Cina
tidak mahu berkhidmat dalam sektor kerajaan mungkin kerana mereka kecewa
apabila setelah sekian lama membantu British dalam mengurus tadbir Tanah Melayu
pada saat-saat akhirnya kuasa dan kedudukan mereka diserahkan kepada kaum
Melayu. Kaum Cina seolah-olah berharap dengan usaha mereka itu sedikit sebanyak
akan membuatkan British memberikan mereka hak yang sama sepertimana yang diperolehi
oleh orang Melayu. Namun begitu, sama ada mereka sedar atau tidak perjanjian
antara British dan Sultan Melayu telah menafikan desakan dan permintaan mereka.
Dalam kajian
“Abdul Latiff Abu Bakar bertajuk Akhbar, Desantralisasi
dan Persatuan Negeri Melayu”, menyatakan akibat dasar desantralisasi yang
diwujudkan oleh British kesan daripada ketidakpuasan hati raja-raja Melayu
tentang perjalanan Negeri-negeri Melayu Bersekutu menyebabkan kaum Cina memberikan tentangan yang kuat. Langkah
Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Lawrance Guillemard yang ingin memulangkan
kuasa Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) kepada Majlis Mesyuarat Negeri (MMN)
mendapat pujian daripada surat khabar Melayu dan kaum Melayu. Penentangan kaum
Cina jelas kelihatan semasa MMP diadakan pada tahun 1925 apabila wakilnya Choo
Kia Peng telah melahirkan kebimbangan dengan pendapatnya iaitu apabila dasar
ini dijalankan berkemungkinan sistem perkhidmatan awam yang dipenuhi oleh orang
Cina akan digantikan oleh orang Melayu. Desakan dan penentangan ini
berterusan
pada tahun-tahun 30-an apabila Sir Cecil Clementi menyuarakan pendapatnya untuk
mempercepatkan proses penyerahan tersebut. Sekali lagi kaum bukan Melayu
menentang, mereka bimbang apabila kuasa MMP ini diserahkan secara mutlak maka
beberapa jabatan akan diletakkan di bawah penguasaan kerajaan negeri dan secara
tidak langsung mereka akan kehilangan jawatan. Bagi mereka dasar ini hanya
untuk orang Melayu sahaja dan langsung tidak memberi sebarang faedah kepada
mereka. Manakala bagi orang Melayu, kejayaan desakan ini sedikit sebanyak
menjamin kedudukan orang Melayu dalam pelbagai bidang kerana kaum Cina sudah
mempunyai kedudukan yang tinggi dalam bidang ekonomi.
Sir Cecil Clementi |
4.Ketenteraan
Dalam bidang
kententeraan pula selalu ditimbulkan persoalan tentang patriotisme dan nasionalisme
kepada Malaysia. Kaum Cina menyatakan mereka juga sanggup mempertahankan negara
dari anasir luar, namun dalam kesamaran itu jelas kelihatan bilangan kaum bukan
Melayu amatlah sedikit dalam pasukan beruniform. Maka pandangan orang Melayu,
kaum Cina tidak dianggap sebagai sebuah kaum yang akan mempertahankan tanah air
dan sering dilihat sebagai kaum yang akan mengkhianati negara. Ini bukanlah
suatu persoalan yang sukar untuk dijawab, memetik karangan “Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia” semasa 14 hari
ketiadaan pemerintahan di Tanah Melayu, ataupun digelar “vaccum of power” setelah
tentera Jepun mengisytiharkan kekalahan mereka pada Mei 1945. PKM lah yang mempunyai kekuatan militer terkuat pada waktu itu,
namun mereka yakin dapat menguasai negara melalui jalan aman dan politik. Akibat
daripada keganasan yang dilakukan mereka ke atas orang Melayu telah menimbulkan
prasangka buruk dan dendam orang Melayu kepada kaum Cina, dan tidak terlupakan
ialah Peristiwa Bukit Kepong. PKM sendiri mengakui inilah kesilapan terbesar
mereka sepanjang tempoh mereka berusaha untuk mewujudkan Republik Komunis Tanah
Melayu.
Perseteruan ini berlanjutan dalam keadaan
yang semakin buruk apabila MPAJA dianggotai majoriti kaum Cina. Kaum Melayu pula
dilihat banyak menyertai unit tentera sukarelawan Jepun seperti Giguyun, Jikeidan, Giyutai dan lain-lain
lagi sepertimana yang tercatat dalam buku “Forging a Singapore Statehood 1965-1995”.
Force 136 pula adalah sebuah pasukan partisan yang kecil jumlah keanggotaannya
dan sudah tentulah ia tidak dapat menyaingi kekuatan Bintang Tiga. Tugas utama
pasukan ini melindungi istana daripada diambil alih oleh Bintang Tiga. Orang
Melayu mula keliru dan ada yg menyesal kerana tidak mengambil peluang
sepenuhnya tawaran Jepun untuk menyertai anggota sukarelawan bersenjata.
Mungkin akibat kekurangan pendedahan dan galakan sewaktu zaman British dahulu
sedikit sebanyak menyebabkan orang Melayu agak kurang
bersemangat untuk pelawaan
itu. Peristiwa pertempuran antara kedua-dua pasukan ini dilaporkan berlaku di
kawasan yangg mempunyai komposisi penduduk kaum yang agak seimbang seperti di
Batu Pahat, Muar, Sungai Manik, Parit Buntar dan beberapa kawasan di Negeri
Sembilan. Pertempuran ini dilaporkan berlaku dalam sekitar 1944 hingga 1945,
dan berlarutan sehingga tahun 1950. Namun
hakikatnya PKM juga adalah alat ciptaan British untuk memperlihatkan “superiority” British. Pasti ramai dalam
kalangan dari kita sedar bahawa tanpa bantuan teknikal dan taktikal British,
PKM juga tidaklah ke mana-mana. Sehingga ke hari ini pingat OBE (Order of
British Empire) yang dikurniakan kepada Chin Peng tidak ditarik balik walaupun
PKM dianggap sebagai pemberontak. Tanpa komunis sudah tentu British kelihatan
lemah oleh penduduk Tanah Melayu setelah mereka (British) tewas kepada Jepun
pada Perang Dunia Kedua dan memang telah menjadi dasar Kongres Komunis Sedunia
untuk menghapuskan sebarang bentuk penjajahan agar ideologi komunis diterima di
negara Asia Tenggara walaupun pada suatu ketika berlaku pakatan antara blok
demokrasi-komunis dalam menghapuskan fahaman fasisme.
Chin Peng semasa menerima pingat dari British |
Di samping
itu, sewaktu penentangan Jepun di Malaya, Tentera Jepun lebih menghormati orang
Melayu dan diberi layanan yang agak baik jika dibandingkan apa yang mereka
lakukan terhadap kaum Cina. Peperangan yang panjang di China menjadikan tentera
Jepun tidak menyukai kaum China. Ini jelas dalam apa jua bentuk rekod tentang
kekejaman Jepun, kaum Cina lebih ditindas berbanding orang Melayu dan India.
Keistimewaan yang diberikan oleh British dan Jepun sedikit sebanyak menambahkan
lagi dendam perseteruan kaum Cina terhadap masyarakat Melayu dan hingga ke hari
ini orang Melayu yang berkhidmat sebagai polis atau tentera akan digelar
“anjing British” walaupun pada hakikatnya mereka lebih dulu digelarkan
sedemikian rupa.
5.Penutup
Secara
keseluruhannya semua pihak harus sedar akan kelebihan dan kekurangan tentang
masalah kaum di Malaysia. Terserahlah kepada kita untuk menilai sejauh mana
hubungan yang rapuh ini. Ruang lingkup yang lebih luas harus dilihat dari kaca mata
yang tenang dan tidak bersandarkan nafsu semata-mata. Banyak orang boleh membicarakan
persolan kaum ini tapi berapa ramai yang mahu menilai semula peristiwa lalu dan
mengambil iktibar daripadanya. Dalam menjaga hak-hak peribumi orang Melayu
terpaksa menerima hakikat bahawa negara ini dikongsi bersama dengan kaum lain.
Sesuatu yang pahit untuk ditelan tapi jika kepahitan itu dijadikan penawar
tidak mustahil ia mampu menjadi ubat yang mujarab. Bagi rakyat bawahan dalam
kedua-dua kaum ini masing-masing sependapat yang melaga-lagakan mereka adalah
politik perkauman yang lansgung tidak memberi apa-apa keuntungan. Rakyat
dipergunakan akibat kedangkalan mereka dalam ilmu dan percaturan politik. Apakah
kata-kata Sun Tzu “Untuk membunuh musuh
kamu perlu mengenali musuh” sesuai digunakan dalam pengkajian ini. Sekali
lagi terserahlah kepada kedua-dua kaum dalam menentukan hala tuju negara
tercinta ini. Perjalanan yang begitu jauh sudah pun kita lalui. Seharusnya kita
harus lebih dewasa dalam berfikir dan membuat tindakan agar tiada pihak yang
menaruh syak di antara satu sama lain. Semoga amanlah Malaysia selamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan