Isnin, 11 Jun 2018

Membongkar Malayan Union : Terhapusnya Kuasa Sultan




oleh MHR


Isu politik negara berubah dari minggu ke minggu dengan memperlihatkan pelbagai reaksi daripada masyarakat Malaysia. Walaupun isu-isu itu sering menjadi topik yang menimbulkan tanggapan negatif dan menyakitkan hati namun tiadalah yang paling besar apabila isu YDPA yang dianggap menyalahgunakan wang rakyat menjadi kemuncak kepada seluruh orang Melayu.


Dalam satu minggu saya membuat pemerhatian di fb dari beberapa laman kawan-kawan dan saya mendapati bahawa bukan Melayu hanya membuat bising di fb saja tanpa bergerak ke mana-mana, maksud saya sekiranya mereka tidak berpuas hati kepada institusi atau apa saja bentuk kuasa yang kini di PEGANG oleh orang MELAYU maka mereka harus sedar keadaan ini. Keadaan dimana mereka tidak berkuasa ke atas orang Melayu.


Menarik sekali apabila isu RRM (Raja-raja Melayu) dijadikan uji kaji oleh parti politik yang saya anggap sebagai memperjuangkan pribumi di Malaysia. Menarik juga apabila yang cuba menodai institusi ini adalah dari "pribumi" sendiri. Apakah mereka tidak ada kerja untuk membuat yang sedemikian rupa? Natijahnya kaum lain sudah pun berani membuat kritikan secara terbuka kepada institusi RRM. Siapa yang harus dipertanggungjawab? Institusi MRR (Majlis Raja-raja) adalah satu badan yang telah dibentuk dan dipersetujui oleh British sejak 1902 lagi. Malah para penjajah sendiri tidak pun berjaya menjatuhkan kedudukan RRM di Tanah Melayu selama 83 tahun. Begitulah dengan
Belanda di Riau dan seluruh Indonesia yang juga memilih untuk tidak mengganggu gugat institusi RRM dengan apa cara sekalipun. Oleh itu kenapa ada sebilangan kita yang memilih jalan membogel hal-hal RRM? Apakah kepuasan yang mereka dapat? dan adakah dengan kononnya menjadi korban, orang Melayu akan menghormati dan mengenang jasa mereka?


Semasa Malayan Union dilancarkan terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Malayan Union telah pun dipersetujui oleh RRM namun apabila hal ini dibawa ke London, sidang Parlimen mengatakan Harold Mc Michel telah menggunakan paksaan kerana mereka telah pun menerima kawat (telegram) daripada Sultan Kelantan yang mengatakan bahawa isi perjanjian itu tidak dapat dibaca sepenuhnya. Sultan Kelantan yang akan sedikit sebanyak undang-undang British telah pun membantah dan dengan itu seramai 10 ribu rakyat Kelantan mengadakan perhimpunan membantah cadangan MU ini.


Hal yang sama turut berlaku di Kedah, telegram telah di hantar beberapa kali oleh Sultan Kedah dan seramai 50 ribu rakyat Kedah berhimpun membantah keputusan Malayan Union yang di pelopori oleh gerakan SEBERKAS dan parti-parti haluan kiri yang lain. Namun begitu, Sultan Johor merupakan Sultan paling awal menandatangani perjanjian MU dan paling awal mendapat kecaman daripada rakyat bila mana rakyat Johor telah menggunkan Undang-undang Tubuh Johor bagi mendakwa tindakan yang dibuat oleh Sultan Johor.


"Rakyat berhak membantah dan menjatuhkan kedudukan Sultan sekiranya tindakan yang dibuat memudaratkan negeri dan bangsa Johor"


Seramai 1 ribu orang membantah keputusan yang dibuat oleh Sultan Johor yang menyebabkan Sultan Johor akur dan mengaku bersalah ke atas tidakan yang dibuat.

Dari Utara ke Selatan, seluruh orang Melayu membantah keras tindakan yang dibuat oleh British. Kesamarataan hak dan penghapusan kuasa RRM secara halus merupakan pokok utama bantahan orang Melayu.

"Kita adalah tuan tanah dan selama ini kita percaya British akan adil selepas mereka datang semula ke TM tapi mereka telah membawa dasar yang lebih teruk dan menyusahkan"


Hal kerakyatan juga menjadi perdebatan hangat dikalangan kaum di TM pada ketika itu. Prinsip Jus Soli, rakyat adalah subjek RRM dan kedudukan Negeri Selat menjadi topik paling panas dan menyakitkan hati buat semua kaum khasnya orang Melayu.


PKMM yang diketuai oleh Dr Burhanudin Al Helmy menentang kedudukan orang British dan bukan asli Melayu Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan Keling (DKK) ) mendapat taraf kewarganegaraan apatah lagi imigran Cina dan India. (Akan disambung ke topik lain) Secara signifikannya apabila dikaitkan dengan isu politik semasa, bantahan terhadap 3 perkara istimewa orang Melayu telah pun dipertahankan lagi sebelum adanya Perlembagaan Negara dan Pilihanraya Umum. Mobilasi rakyat Melayu terhadap Sultannya telah dibuktikan dalam sejarah walaupun pada zaman itu kerabat raja sebolehnya tidak berkahwin/bercampur dengan rakyat biasa.


Bantahan demi bantahan telah dibuat hingga hari ini. Bukanlah seorang Sultan itu yang hendak dipertahankan tetapi institusi yang memegang hal agama Islam dan Adat Istiadat Melayu itu yang menjadi perkara paling utama. Persepsi menjatuhkan seorang Raja Melayu akan melibatkan semua Raja Melayu. Kaum bukan Melayu selama ini tidak pernah bersetuju dengan adanya RRM, malah pada sebilangan mereka, RRM ini dianggap seperti "membela mayat hidup", tidak berfungsi dan tidak memberikan faedah.


Menghapuskan seorang Sultan akan menghapuskan bersama kedudukan agama Islam dan keistimewaan Orang Melayu secara tidak lansung. Persepsi buruk yang cuba ditonjolkan akan menyebabkan lebih ramai Melayu yang buta sejarah tidak akan faham mengapa perlunya ada MRR.


Ironisnya, Jepun yang kalah perang dunia ke 2 tidak pernah menjatuhkan Maharajanya. Arab Spring yang berlaku beberapa tahun lalu tidak juga menyentuh hal kedudukan Raja-raja Arab. Apatah lagi raja-raja Eropah yang amat jarang sekali kita dengar pertikaian diantara mereka dengan rakyat. Tapi di Malaysia, pengorbanan yang dibuat oleh RRM telah dipandang dari kaca mata orientalis. RRM tidak dipandang dari kaca mata seorang rakyat Melayu. Mereka inilah kumpulan "liberal Melayu" yang kononnya memperjuangkan hak rakyat.


Analoginya kurap di badan kalau tidak diselak tiada siapa akan mencemuh. Namun segelintir Melayu memilih untuk menunjukkan kurap yang ada di badan kepada orang ramai dengan alasan hendak mencari ubat, sedangkan di kalangan ahli keluarga sendiri (kaum Melayu) terdapat ramai pakar dan mereka yang tahu cara untuk mengubati. Malu yang ditutup akhirnya menjadi peluang kepada kaum lain untuk mencemuh orang Melayu sedangkan kaum lain tidak pernah mempedulikan masalah-masalah orang Melayu. Selama ini pun mereka mengatakan Melayu adalah kaum paling rasis dan selalu bertindak terburu-buru.


Akhirnya siapa yang rugi Kita atau mereka? lihatlah dari kaca mata sejarah yang cuba bersikap adil namun dalam masa sama bias terhadap bangsanya sendiri kerana itulah pekerjaan ahli sejarah. Selain mendidik ahli sejarah harus melawan segala hujah luar terutama sekali menghapuskan penjajahan minda yang dibuat oleh Barat.


Barat tidak pernah berjaya menjatuhkan institusi RMM dan cuba menyelesaikan semua perkara secara dalaman kenapa ada di antara kita memilih untuk terlau terbuka? Apakah justifikasinya?


Sumber

Masyarakat Melayu Moden eds Khoo Kay Kim
Sejarah Asia Tenggara, Gilbert Khoo
Malaysia History, Andaya
Politik Istana Johor, Abdullah Zakaria
Dr Burhanudin Helmy, Kamarudin Jaafar




Jumaat, 8 Jun 2018

Contohilah Sultan Ibrahim Johor




oleh Mohd H Roslan

Beberapa hari kebelakangan ini telah tercetus beberapa polemik berkaitan dengan instituis beraja di malaysia dimana kemuncaknya apabila pihak kerajaan hari ini mula menggunakan hak kebebasan bersuara sebagai satu modal untuk menyelongkar dan mendedahkan kedudukan Raja-raja Melayu. Hal ini telah mencetuskan pelbagai persepsi kepada seluruh kaum di Malaysia apataha lagi apabila bukan Melayu mula mempertikai institusi Kesultanan yang dianggap sebagai melemahkan kewangan negara. Terdapat juga dari mereka yang berterus terang ingin menghapuskan para Sultan Melayu tanpa berfikir bahawa pada kedudukan mereka itu rakyat Melayu tanpa mengira fahaman politik bersatu padu mempertahankan institusi ini.

Kesalahan ini bukan terletak kepada kerajaan sekarang malah ia telah berlaku sejak 60 tahun dulu lagi apabila kerajaan terdahulu yang mewarisi tradisi oligarki British. Semenjak itulah tiada siapa pun yang mempersoalkan kedudukan dan bagaimana pengaturan hidup para Sultan Melayu dan kerabatnya. Hal ini sangat menarik kerana kejayaan kerajaan terdahulu menyatukan semua kaum di Malaysia dengan dasar menghormati institusi beraja tanpa banyak soal.

Oleh itu institusi beraja ini dilihat sebagai eksklusif walaupun dalam kelompok masyarakat Melayu yang indusif apabila dikaitkan dengan hal royalist ini dan rata-rata dari kita selama itu bersikap konservatif yang tidak mahu warisan dan institusi beraja ini dihapuskan.


Namun hari ini melihat kepada situasi semasa maka wajarlah pendekatan berbeza perlu dibuat oleh Majlis Raja-raja sendiri. Raja perlu tampil kehadapan dan sekali sekala turun bersama rakyat sepertimana yang dibuat oleh Sultan Johor yang sering berada dimana-mana bersama rakyat, Hal ini bukan saja melihatkan kepimpinan baginda namun lebih menjadikan rakyat Johor lebih sayang kepada Kesultanan mereka walaupun yang berada ditampuk kuasa ini adalah dari keluarga Temenggung. 

Dalam melihat situasi hal politik istana, saya merasakan Royalist Johor adalah bijak menggunakan situasi dalam memperlihatkan penguasaan mereka terhadap negeri Johor sebagai contohnya dengan menggunakan istilah “Bangsa Johor”, “Johor untuk Johor”. Perkataan yang sedemikian adalah satu trademark atau branding saja dan dengan itu tampillah Sultan dan kerabatnya kehadapan dengan membuat sedikit ucapan dan kata-kata yang meniupkan semangat kepada rakyatnya. Oleh itu walaupun sudah berlaku peralihan kuasa hari ini, semua pihak masih tetap berpegang kepada prinsip rakyat adalah subjek Raja. Raja tidak boleh dicampurkan dalam hal politik marhaen dan borjuis.

Begitu juga dengan Sultan-sultan Perak yang pada amatan saya adalah menjadi satu tradisi semenjak zaman Sultan Idris I lagi mengkritik dasar-dasar yang dianggap merugikan orang Melayu, Sultan Peraklah orang pertama yang mencadangkan penubuhan Rejimen Askar Melayu, membeli HMS Malaya, menyokong usaha rakyat membatalkan Malayan Union, mengkaji semula undang-undang negara sedia ada dan secara terbuka bercakap tentang masalah perkauman yang melanda hari ini. Oleh itu 2 pendekatan ini adalah satu cara yang sebenarnya mengangkat institusi diraja secara tidak lansung.

Dalam hal penulisan sejarah negara pula, semenjak masuknya jarum sekularisasi dan pengasuhan minda bahawa Raja itu hanya berkuasa dalam hal agama Islam dan istiadat. Namun sehingga hari ini dimanakah sebenarnya kuasa mereka?, adakah kuasa Jabatan Agama Islam di setiap negeri benar-benar berlansung? Adakah Adat istiadat di kawal dengan baik? Setelah 144 tahun (Perjanjian Pangkor 1874) dimanakah kedudukan 2 kuasa ini dibawah kuasa seorang Sultan?. Sepertinya tiada dan masing-masing terikat dengan Perlembagaan Negara.

Selain itu juga penulisan sejarah berkaitan negara tidak mahu tidak akan melibatkan mereka (Sultan) dan amat jarang sekali pengkajian dan penulisan itu datang dari kaca mata mereka sendiri sebagai penguasa. Setakat kefahaman saya hanya Syair Duka Nestapa tulisan Sultan Kedah merupakan satu-satunya bahan yang ditulis oleh Sultan sendiri manakala Misa Melayu dan bahan manuskrip lainnya adalah hasil tulisan yang ditulis oleh kaum kerabat atau pekerja istana. Misa Melayu ditulis Raja Chulan. Oleh itu selama ini kita tidak lansung dapat melihat dan membaa daripada pandangan Sultan sendiri tentang apa yang mereka alami, rasakan dan pemikiran mereka terhadap negeri yang diketuai oleh mereka.

Akhir sekali, dalam keterbukaan masyarakat hari ini kita juga harus memberi peluang kepada para Sultan untuk tampil ditemubual memberi pandangan mereka dan bercerita kepada kita apakah kemahuan mereka kepada negara ini, sebagai contohnya Sultan Mizan yang sering ditemuramah dalam hal sukan dan hidupan liar. Bukankah itu satu peluang yang boleh kita dengar dan lihat isi hati mereka sebagai manusia?. Setiap kumpulan manusia memerlukan seorang pemimpin. Oleh itu Sultan adalah pemimpin paling tinggi namun tidak diberi peluang sewajarnya dalam komuniti pimpinannya.

Maka benarlah kata pujangga “Bersultan di mata beraja di hati”

Mereka hanya di mata kita dari jauh dan beraja di hati kita kerana kita mengharapkan mereka. Marilah kita renung sejenak dan fikir secara dalam, apakah yang kita mahu kepada mereka dan apa yang mereka harapkan kepada kita. Mahu atau tidak kita saling memerlukan. Tapi yang nyata bagai kita sebagai orang Melayu, Sultan itulah definisi, makna dan ketrampilan Melayu.

Daulat Tuanku!
Hamba mohon menyembah!

Selasa, 5 Jun 2018

PERTAPAKAN ORANG BUGIS DI BORNEO UTARA.


Kitab Sejarah Malaya

Oleh: Arif Amir
Seringkali kita dapati bahawa sejarah Malaysia tidak lari daripada perbincangan mengenai orang Bugis terutama berkisar tentang pemerintahan kerajaan Negeri Johor dan Selangor. Pernahkah kita terfikir, bagaimana situasi sejarah orang Bugis di sebelah timur Malaysia iaitu di Negeri Sabah (Borneo Utara sebelumnya)? Perkara ini perlu diberi perhatian kerana kurang dibincangkan secara ilmiah sedangkan diaspora masyarakat Bugis tidaklah tertumpu kepada sesetengah tempat sahaja seperti yang dikatakan oleh Andaya bahawa, proses perkaitan tumpuan diaspora orang Bugis ke dunia Melayu iaitu di kawasan Johor-Riau, Selangor dan Terengganu. Sabah juga tidak kurang menariknya sebagai Kawasan tumpuan etnik perantau tersebut.

Pada asasnya, orang-orang Bugis telah dikesan lebih awal berdagang di kawasan Borneo termasuk perdagangan tiga segi Sulawaesi-Sabah-Mindanao. Hanya tidak dapat dikesan tarikh yang tepat perdagangan tersebut bermula. Berdasarkan aktiviti ekonomi yang dinyatakan, seorang pedagang Bugis bernama Daeng Mapata, sering singgah di Kawasan daerah Tawau, Sabah untuk mendapatkan bekalan air dan makanan. Sekitar tahun 1865, pedagang tersebut bersama pengikutnya terdampar di pantai akibat dipukul ombak lalu telah membuka hutan berhampiran kawasan laut untuk dijadikan tempat tinggal. Maklumat lain mengenai sejarah pertapakan awal orang Bugis turut dinyatakan oleh Goodlet bahawa, orang Bugis mula bertapak di Borneo Utara bermula di Tawau seawal tahun 1882, setahun selepas penubuhan Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Ini dibuktikan apabila juga seorang pedagang Bugis bernama Puado dari Banjarmasin, memulakan pembukaan tanah di Tawau bagi mengusahakan perladangan kelapa. 

Adalah perlu untuk kita tahu bahawa fakta kehadiran awal orang Bugis di Sabah juga disokong dengan laporan oleh Penolong Residen British Residensi Sandakan, A.R. Dunlop ketika itu yang telah membuat lawatan sebanyak dua kali ke Tawau. Dunlop dikatakan telah melantik Puado sebagai penghulu di kawasan petempatan awal orang Bugis yang disifatkan sebagai sebuah petempatan yang tidak teratur dan tidak sistematik. Perlantikan tersebut sebenarnya telah memberi signifikan yang besar dalam sejarah pertapakan awal orang Bugis di Sabah. Walau bagaimanapun, menarik untuk diberi perhatian bahawa, pihak Belanda turut melawat kawasan petempatan tersebut termasuk lading-ladang kelapa yang diusahakan. Kelapa yang diusahakan menjadi sumber eskport Pantai Timur Borneo Utara pada awal pembukaan Tawau telah menarik kemasukan orang Bugis beramai-ramai. Hal ini demikian kerana, kemasukan mereka atas arahan Belanda kepada penghulu Puado untuk mencari lebih banyak pekerja lading-ladang kelapa. Namun, selepas penguasaan mutlak SBBU ke atas Sabah, kebanyakan buruh kontrak dari Indonesia hanya diambil daripada Tanah Jawa hasil persetujuan bersama SBBU dan belanda sekitar tahun 1907. Menarik bukan?.

Penghijrahan orang Bugis secara besar-besaran daripada Sulawesi ke Sabah mula dikesan selepas Perang Dunia Kedua. Bermula tahun 1954, proses kemasukan orang Bugis berlaku secara berterusan kerana peluang hidup yang lebih baik mengejar hajat ekonomi mereka. Data banci antara tahun 1950-1960 menunjukkan bahawa, jumlah imigran Indonesia yang berada di Sabah sekitar 24, 784 orang. Jumlah ini donominasi masyarakat Bugis memandangkan kemasukan buruh Jawa telah merosot apabila British tidak lagi menyambung kontrak perburuhan Jawa sejak tahun 1931. Selain perladangan, kehadiran masyarakat Bugis di Sabah semakin pesat apabila ekonomi mendesak dengan keperluan buruh dalam sektor pembalakan terutama tenaga buruh yang murah dari Indonesia. Kesannya, orang Bugis memasuki Sabah dengan jumlah yang besar dan terlibat menggerakkan ekonomi British dengan aktiviti pembalakan di kawasan-kawasan terpencil di Sabah termasuklah di Kalabakan, Serudung, Sipitang dan lain-lain.

Mungkin pembaca tertanya-tanya mengapakah daerah Tawau menjadi tumpuan utama permulaan orang Bugis di Sabah. Rasionalnya, kedudukan daerah Tawau merupakan kawasan sebelah Timur Sabah yang paling hampir dengan Indonesia menjadi antara faktor sebagai kawasan yang mudah diakses oleh orang Bugis memandangkan ketiadaan sempadan antara negara ketika itu. Hanya sempadan pemerintahan yang wujud kemudiannya selepas penyerahan Tawau kepada British dilaksanakan secara rasmi dengan tertubuhnya Suruhanjaya Sempadan pada tahun 1912 yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari United Kingdom dan Netherland. Kewujudan negara bangsa sebagai pemangkin perkembangan kewujudan orang Bugis di Sabah semakin meluas ketika Persekutuan Malaysia dibentuk pada tahun 1963 atas persetujuan gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Ada dalam kalangan mereka yang telah meleburkan identiti menjadi sebahagian daripada masyarakat peribumi. Ketika ini etnik Bugis dikenali sebagai masayarakat Peribumi kategori lain-lain di Sabah. 

Oleh yang demikian, kehadiran orang Bugis di Sabah telah melalui proses pengembaraan dan pengembangan yang sebenarnya berlaku sebelum zaman kolonial lagi. Ini termasuklah kehadiran masyarakat ini di Tanah Melayu sebelum merdeka. Faktor perdagangan dilihat sangat dominan terhadap etnik ini memandangkan mereka mahir dalam ilmu pelayaran, sering mengembara dan akhirnya menetap di kebanyakan kawasan di nusantara. Keberadaan mereka di Sabah wajar diberi pengiktirafan atas sumbangan mereka terhadap pembukaan dan pembanguna daerah Tawau dan sekitarnya. Tambahan pula, mereka merupakan penggerak utama ekonomi daerah Tawau awalnya sehinggalah menjadi tunjang ekonomi negeri Sabah hari ini. Hal ini demikian kerana, masyarakat Bugis di Sabah merupakan pemdominasi kedua ekonomi negeri tersebut hari ini selepas etnik Cina. Sungguhpun ramai daripada komuniti ini yang kembali semula ke Indonesia, namun legasi dan pertapakan orang Bugis di Sabah wajar diberi perhatian dalam sejarah Malaysia. Ini bermakna komuniti Bugis yang berada di Sabah mempunyai persamaan sejarah seperti komuniti Bugis di Semenanjung Malaysia yang pada hari ini dikenali sebagai salah satu kumpulan dalam rumpun etnik Melayu.

RUJUKAN
Acciaioli, G., ‘Legacy of Conflict, Bugis IDPs have Travelled as Warriors, Farmers, Fishers and Traders’, Journal of University of Western Australia and the Asia Research Institute, National University of Singapore, 2005.
Asmiaty Amat (Ed.), Bugis Sabah, Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2012.
Andaya, B. W., A History of Malaysia, Hampshire: Palgrave, 2001.
Goodlet K., Tawau: The Making of a Tropical Community, United Kingdom: Opus Publications, 1977.
Suraya Sintang, Sejarah dan Budaya Bugis di Tawau, Kota Kinabalu: Penerbit Univerisiti Malaysia Sabah, 2007.



Generasi Muda Hari Ini adalah Generasi Gagal



Sejarah seharusnya bukan sahaja perlu dilihat dari gabungan fakta-fakta yang mungkin bersifat runcitan sahaja. Sejarah sepatutnya dihidangkan sekali dengan pandangan alam atau ‘Worldview’ atau dalam bahasa Jermannya ‘Weltanschauung’. Manakala, generasi muda yang bersahsiah tinggi bermaksud generasi muda yang berperibadi dan berakhlak tinggi. Dalam erti kata lain, generasi yang teguh bukan sahaja jasmani malah rohani. Disertai pula kekuatan akliahnya dalam mencanai dan menyaring unsur luar serta menyerap unsur itu tanpa menghakis peribadi sendiri malah mengukuhkannya. Ini hanya mampu diperkuatkan jika mempunyai pandangan alam yang jelas dan benar.

Disebabkan insan yang mendiami rantau ini ialah berbangsa Melayu, maka pandangan alam yang harus diterapkan mestilah bersifat alami iaitu bersifat keMelayuan. Namun apakah yang membentuk bangsa Melayu berpandangan alam yang keMelayuan? Apakah yang membentuk rohani dan jasmani keMelayuan? Kekeliruan dalam menentukan hal ini bukan sahaja tidak menghasilkan generasi muda bersahsiah tinggi malah generasi muda yang celaru identiti. Maka yang pertama harus dikaji ialah sama ada keMelayuan itu diacu mengikut acuan Hindu-Buddha ataupun Islam.

Maka apa yang perlu difikirkan secara kritis ialah di antara Hindu-Buddha dan Islam, manakah yang memberi impak malah mengubah sistem pandangan alam bangsa Melayu rantau ini secara menyeluruh? Setakat yang dihidangkan di buku-buku teks ialah pandangan alam orang Melayu dipengaruhi oleh Hindu-Buddha secara hebatnya berbanding Islam. Ini kerana dengan gahnya binaan seperti Borobudur dan Angkor Wat yang mengikut pandangan sejarawan Orientalis merupakan mercu kehebatan Hindu-Buddha mempengaruhi alam Melayu.

Namun mengikut Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, pengaruh Hindu-Buddha terhadap bangsa rantau ini hanyalah bersifat luaran sahaja, tidak langsung menusuk ke dasar dan mempengaruhi akalnya. Bangsa rantau ini juga tidak menunjukkan nilai saintifik dan metafizik yang tinggi jika diteliti karya-karya yang dihasilkan. Karya yang dihasilkan oleh alam Melayu pada waktu itu terutamanya Empayar Sriwijaya dan Majapahit lebih menitik-beratkan nilai kesenian dan juga sebagai alat pengukuhan kuasa oleh golongan pemerintah. Pengamalannya tidak mendasar dan menjadi sistem pandangan alam secara menyeluruh di rantau ini.

Ini amat berbeza dengan kedatangan Islam di rantau ini. Kedatangannya merubah bukan hanya dari segi sistem kepercayaan sahaja malah merubah kerohanian, keakliahan, metafiziknya, nilai saintifik serta pandangan alam secara menyeluruh. Islamisasi mengikut Syed Naquib Al-Attas dalam bukunya, Islam dan Sekularisme, adalah pembebasan manusia pertama dari sihir, mitos, animistik, tradisi kebudayaan kebangsaan yang bertentangan dengan Islam, dan kemudian daripada kawalan sekular ke atas akal rasionalnya dan bahasanya. Ini terpancar bukan melalui binaan-binaan gah tetapi melalui bahasa Melayu Baru yang terlahir daripada bahasa Melayu Kuno. Bahasa baru ini jugalah yang telah menyatu-padukan bangsa-bangsa rantau ini menjadi satu bangsa baru yang terjalin atas dasar akidah dan satu sistem pandangan alam yang sama. Sejak itu, nilai sahsiah yang sama dianuti dan dibentuk malah dimudahkan lagi pembentukannya melalui perhubungan yang satu menggunakan bahasa Melayu Baru menerusi aksara yang sama iaitu Jawi. Bahasa Melayu Baru yang mendapat suntikan baru daripada bahasa Arab seperti aksaranya, kosa kata, nilai bahasa yang tepat dan jelas, nilai saintifik, nilai metafizik dan juga sistem pandangan alam Islam (ad-din) telah secara tidak langsung menyuntik perkara yang sama ke dalam sahsiah bangsa Melayu.

Dalam pandangan alam Islam, Konsep Ikhtiar akan membawa kepada sahsiah yang tinggi. Ini dijelaskan dalam buku S.M.N Al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, iaitu Konsep ikhtiar yang berasal daripada perkataan khair bermaksud baik menunjukkan bahawa insan perlu memilih yang baik malah yang lebih baik daripada pilihan-pilihan yang tersedia ada bukannya memilih yang yang buruk atau lebih buruk daripada pilihan-pilihan yang ada. Jika yang buruk itu dipilih, maka yang itu bermaksud kezaliman pada diri sendiri. Namun begitu semua ini harus dipandu oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Walaubagaimanapun dengan berlakunya pertembungan yang hebat di antara kebudayaan Barat bertunjangkan falsafah Aristotles dengan kebudayaan Melayu bertunjangkan Ad-din sejak 200 tahun dahulu telah menggugah dan menggelirukan pandangan alam Melayu yang dimana penyerapan istilah-istilah baru yang mengakibatkan pensekularan terhadap bahasa Melayu Baru itu dengan terhasilnya bahasa Melayu pasca penjajahan yang berdiri di atas aksara Rumi. Pensekularan telah membawa kepada pandangan alam seperti pengosongan alam tabii dari unsur-unsur ruhani. Justeru itu, dengan penafian sedemikian, kebudayaan barat telah menafikan hubungannya dengan Tuhan dan demikian jua sifat ruhaninya sehinggakan insan itu dianggap hanya haiwan berakal jasmani sahaja yang mampu bertindak sewenang-wenang terhadap alam ini kerana alam itu sendiri tiada beruhani jua. Pandangan alam Barat ini telah meresap masuk dengan pesat ke dalam Alam Melayu dalam keupayaan untuk melawannya begitu lemah sekali akibat daripada perumian Bahasa Melayu yang secara langsung telah memutuskan hubungan bangsa Melayu dengan sejarah lampaunya dan pandangan alam Islamnya yang telah banyak berjasa kepadanya.

Makanya untuk melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi, pandangan alam yang menghilangkan sifat ruhaninya akan menyebabkan tiada kayu pengukur dalam menentukan apa itu sebenarnya sahsiah tinggi. Ini berbeza dengan Islam, alam tabii itu dibuang sebahagian keruhaniannya yang bersifat tahyul namun mengekalkan sifat ruhani yang merujuk kepada Sang Pencipta malah insan itu diamanahkan untuk menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya. Dalam erti kata lain alam ini merupakan tanda-tanda kepada Penciptanya. Pada akhirnya, sahsiah tinggi akan terbentuk kuat dalam diri insan jika insan itu sedar akan sifat ruhaninya sendiri dan sifat ruhani alam tabii ini. Ini disebabkan dalam cubaan untuk menjaga alam ini, insan itu perlu memilih yang terbaik dan menjauhi yang buruk (iaitu sifat adil) dalam erti kata lain ialah konsep Ikhtiar itu sendiri.

Berdasarkan perkara-perkara di atas, keperluan kepada penghayatan sejarah yang jelas taakulannya dan benar akan membentuk sahsiah yang tinggi. Sayugia itu, pepatah “Bahasa Jiwa Bangsa” perlu dihayati dan difahami masa kini iaitu dengan memartabatkan kembali bahasa Melayu Baru yang berdiri di atas aksara Jawi untuk mengembalikan semangat atau roh yang telah membentuk sahsiah yang tinggi berdasarkan Al-Quranul Karim dan As-Sunnah Nabinya Muhammad bin Abdullah. Berdasarkan kebolehan bahasa Melayu dalam memberikan suntikan ke arah sahsiah yang tinggi, maka sejarah kepada peranan Islam dalam pembentukan sistem pandangan alam Melayu amnya dan bahasa Melayu khasnya perlu diketengahkan dan difahami sejelas-jelasnya. Kesilapan dalam mengiktiraf peranan sebenar dalam pembentukan sahsiah Melayu secara amnya akan menyebabkan kerancuan dalam pemikiran generasi muda sekarang khasnya yang akhirnya membawa kepada ketidaksempurnaaan dalam mencapai sahsiah tinggi mengikut pandangan alam yang benar dan bukannya pandangan alam yang bercampur-aduk malah bakal mengelirukan identiti mereka. Akhirnya jika falsafah dalam sejarah itu bersifat sejagat, alami dan benar, ianya akan melahirkan generasi muda bersahsiah tinggi.

SUMBER:

(1972) Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia) – S.M.N Al-Attas
(1978) Islam and Secularism (Kuala Lumpur: Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM); reprint, Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), 1993) - S.M.N Al-Attas
(2001) Risalah untuk Kaum Muslimin (Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) - S.M.N Al-Attas
(2007) Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam (Penang, Malaysia: Universiti Sains Malaysia) - S.M.N Al-Attas
(2011) Historical Fact and Fiction (Kuala Lumpur, Malaysia: UTM Press) - S.M.N Al-Attas



Isnin, 4 Jun 2018

British Lebih Takut Kepada Gerakan Kiri - Islam



Sebenarnya Pakatan Harapan ini adalah bayangan kepada AMCJA-PUTERA yang pernah ditubuhkan pada tahun 1948. Antara tuntutan utama mereka khasnya parti Melayu kiri ialah mahu menjadikan semua kaum sebagai bangsa Melayu. Oleh itu semua kaum harus berasimilasi dengan orang Melayu. 1948 adalah tarikh kemuncak nasionalisme di Malaysia dan Indonesia. Selepas Indonesia mendapat kemerdekaan daripada Jepun manakala Malaysia tidak merdeka atas pelbagai sebab.

Merujuk kepada rekod British UMNO lebih disenangi daripada mana-mana parti Melayu yang lain kerana ia bersifat sederhana dan lebih mahu menjaga hubungan Royalist dan British.

Pendek kata UMNO yang 80% terdiri daripada bangsawan Melayu lebih ingin menjaga hak mereka daripada mempercepatkan kemerdekaan.

Kemunculan PKM telah memudahkan lagi gerakan British menghapuskan semua parti-parti bersifat ultra nasionalis, konservatif dan Islamis. Beberapa sejarawan berpendapat PKM telah dijadikan kambing hitam oleh British bagi tujuan ini kerana 90% ahli PKM terdiri daripada kaum Cina.

Pada masa yang sama kaum lain lansung tidak mempedulikan keadaan Tanah Melayu (TM) yang dianggap bukanlah tanah kelahiran mereka. Di India gerakan pemulihan sedang dilakukan oleh Mahatma Gandhi manakala di China Perang Komunis China dan Kuomintang mencapai babak-babak akhir.

Pemisahan India daripada British menyebabkan British cuba membuat ikhtiar untuk mengawal kedudukan mereka di Selat Melaka kerana keperluan mereka terhadap perdagangan Hong Kong yang akhirnya terpaksa dilepaskan pada tahun 1997.

Penyerahan HK ini secara tidak lansung menyebabkan kegawatan ekonomi kerana ramai pelabur menganggap nilai yuan yang rendah akan menyebabkan kerugian yang teruk.

Berbalik semula kepada sejarah 1948, bagi British gerakan kiri dan Islam lebih menakutkan kerana ia merupakan perjuangan seluruh rakyat TM yang terdiri daripada orang Melayu, Cina Peranakan dan India peranakan (mereka ini banyak di Negeri Selat).

Oleh itu, untuk melemahkan gerakan ini, British telah memberi kata dua kepada pemimpin Melayu samada dibiarkan bersendirian menghadapi PKM atau meneruskan dasar-dasar yang terdapat di dalam Malayan Union.

Akhirnya UMNO telah memilih dasar Malayan Union dengan menggubal beberapa perkara di dalam MU, antaranya ialah menolak dwi kerakyatan. Malayan Union sendiri bermaksud Persekutuan Tanah Melayu dan persetujuan ini telah mendapat tentangan kuat daripada parti-parti kiri Melayu seperti Kesatuan Melayu Muda, Seberkas, Api dan lain-lain.

British juga telah menggunakan taktik menakutkan orang Melayu supaya tidak menerima gerakan AMCJA-PUTERA dengan mengatakan kejayaan gerakan ini akan menghapuskan institusi beraja dan orang Melayu.

Penyingkiran Dato Onn antara lainnya disebabkan oleh beliau telah menegur sifat Sultan yang zalim dan tidak menyebelahi rakyat. Hal ini telah menimbulkan reaksi tidak selesa kepada konservatif UMNO kerana dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya pertumpahan darah. Oleh itu Dato Onn disingkirkan dan untuk itu Tunku Abdul Rahman dipilih sebagai Presiden UMNO yang kedua.

Gerakan Islam yang cuba dibawa oleh PKMM dianggap berbahaya dan akan memberi mudarat kepada British dan elitis konservatif UMNO sepertimana yang berlaku kepada golongan priyayi di Indonesia yang membawa kepada Revolusi Budaya yang menghapuskan Raja-raja Melayu di Sumatera.

Hakikatnya golongan kiri ini juga turut dikambinghitamkan untuk menutup kelemahan British akibat perang dunia 2. Tuntutan golongan kiri dan islamis ini menyebabkan British terpaksa mencari penyelesaian dan atas sebab itulah UMNO diwujudkan dan merupakan satu-satunya parti politik Melayu yang mendapat restu daripada British selain MCA dan MIC.

Hari ini kesan gerakan kiri sudah terasa dengan kejayaan PH dalam arena politik Melayu namun gerakan Islamis masih gagal mendapat tempat dikalangan Melayu akibat daripada kesan hubungan Raja dan Rakyat. Kedudukan rakyat ini telah dipergunakan oleh UMNO bagi mendapat sokongan rakyat yang kadangkala menyebabkan Raja/Sultan itu dipersalahkan.

Seharusnya golongan elitis dan royalist diasingkan daripada terlibat daripada arena politik dan perlu bersikap berkecuali. Namun atas semua kesan yang dibawa oleh UMNO dahulu khasnya kedudukan Institusi Beraja harus dipuji kerana mereka telah berjaya mempertahankan institusi ini dengan baik walapun kuasa Sultan khasnya dalam hal ehwal dan adat isitiadat telah dikurangkan lebih rendah lagi.

Wallahualam.

Mohd H Roslan.