Oleh:
Arif Amir
Seringkali kita dapati bahawa sejarah Malaysia tidak
lari daripada perbincangan mengenai orang Bugis terutama berkisar tentang
pemerintahan kerajaan Negeri Johor dan Selangor. Pernahkah kita terfikir,
bagaimana situasi sejarah orang Bugis di sebelah timur Malaysia iaitu di Negeri
Sabah (Borneo Utara sebelumnya)? Perkara ini perlu diberi perhatian kerana
kurang dibincangkan secara ilmiah sedangkan diaspora masyarakat Bugis tidaklah
tertumpu kepada sesetengah tempat sahaja seperti yang dikatakan oleh Andaya
bahawa, proses perkaitan tumpuan diaspora orang Bugis ke dunia Melayu iaitu di kawasan
Johor-Riau, Selangor dan Terengganu. Sabah juga tidak kurang menariknya sebagai
Kawasan tumpuan etnik perantau tersebut.
Pada asasnya, orang-orang Bugis telah dikesan lebih
awal berdagang di kawasan Borneo termasuk perdagangan tiga segi
Sulawaesi-Sabah-Mindanao. Hanya tidak dapat dikesan tarikh yang tepat
perdagangan tersebut bermula. Berdasarkan aktiviti ekonomi yang dinyatakan,
seorang pedagang Bugis bernama Daeng Mapata, sering singgah di Kawasan daerah
Tawau, Sabah untuk mendapatkan bekalan air dan makanan. Sekitar tahun 1865,
pedagang tersebut bersama pengikutnya terdampar di pantai akibat dipukul ombak
lalu telah membuka hutan berhampiran kawasan laut untuk dijadikan tempat
tinggal. Maklumat lain mengenai sejarah pertapakan awal orang Bugis turut
dinyatakan oleh Goodlet bahawa, orang Bugis mula bertapak di Borneo Utara
bermula di Tawau seawal tahun 1882, setahun selepas penubuhan Syarikat
Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Ini dibuktikan apabila juga seorang pedagang
Bugis bernama Puado dari Banjarmasin, memulakan pembukaan tanah di Tawau bagi
mengusahakan perladangan kelapa.
Adalah perlu untuk kita tahu bahawa fakta kehadiran
awal orang Bugis di Sabah juga disokong dengan laporan oleh Penolong Residen
British Residensi Sandakan, A.R. Dunlop ketika itu yang telah membuat lawatan
sebanyak dua kali ke Tawau. Dunlop dikatakan telah melantik Puado sebagai
penghulu di kawasan petempatan awal orang Bugis yang disifatkan sebagai sebuah
petempatan yang tidak teratur dan tidak sistematik. Perlantikan tersebut
sebenarnya telah memberi signifikan yang besar dalam sejarah pertapakan awal
orang Bugis di Sabah. Walau bagaimanapun, menarik untuk diberi perhatian
bahawa, pihak Belanda turut melawat kawasan petempatan tersebut termasuk
lading-ladang kelapa yang diusahakan. Kelapa yang diusahakan menjadi sumber
eskport Pantai Timur Borneo Utara pada awal pembukaan Tawau telah menarik
kemasukan orang Bugis beramai-ramai. Hal ini demikian kerana, kemasukan mereka
atas arahan Belanda kepada penghulu Puado untuk mencari lebih banyak pekerja
lading-ladang kelapa. Namun, selepas penguasaan mutlak SBBU ke atas Sabah,
kebanyakan buruh kontrak dari Indonesia hanya diambil daripada Tanah Jawa hasil
persetujuan bersama SBBU dan belanda sekitar tahun 1907. Menarik bukan?.
Penghijrahan orang Bugis secara besar-besaran
daripada Sulawesi ke Sabah mula dikesan selepas Perang Dunia Kedua. Bermula
tahun 1954, proses kemasukan orang Bugis berlaku secara berterusan kerana
peluang hidup yang lebih baik mengejar hajat ekonomi mereka. Data banci antara
tahun 1950-1960 menunjukkan bahawa, jumlah imigran Indonesia yang berada di
Sabah sekitar 24, 784 orang. Jumlah ini donominasi masyarakat Bugis
memandangkan kemasukan buruh Jawa telah merosot apabila British tidak lagi
menyambung kontrak perburuhan Jawa sejak tahun 1931. Selain perladangan,
kehadiran masyarakat Bugis di Sabah semakin pesat apabila ekonomi mendesak
dengan keperluan buruh dalam sektor pembalakan terutama tenaga buruh yang murah
dari Indonesia. Kesannya, orang Bugis memasuki Sabah dengan jumlah yang besar
dan terlibat menggerakkan ekonomi British dengan aktiviti pembalakan di
kawasan-kawasan terpencil di Sabah termasuklah di Kalabakan, Serudung, Sipitang
dan lain-lain.
Mungkin pembaca tertanya-tanya mengapakah daerah
Tawau menjadi tumpuan utama permulaan orang Bugis di Sabah. Rasionalnya,
kedudukan daerah Tawau merupakan kawasan sebelah Timur Sabah yang paling hampir
dengan Indonesia menjadi antara faktor sebagai kawasan yang mudah diakses oleh
orang Bugis memandangkan ketiadaan sempadan antara negara ketika itu. Hanya
sempadan pemerintahan yang wujud kemudiannya selepas penyerahan Tawau kepada
British dilaksanakan secara rasmi dengan tertubuhnya Suruhanjaya Sempadan pada
tahun 1912 yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari United Kingdom dan
Netherland. Kewujudan negara bangsa sebagai pemangkin perkembangan kewujudan
orang Bugis di Sabah semakin meluas ketika Persekutuan Malaysia dibentuk pada
tahun 1963 atas persetujuan gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Ada dalam
kalangan mereka yang telah meleburkan identiti menjadi sebahagian daripada
masyarakat peribumi. Ketika ini etnik Bugis dikenali sebagai masayarakat
Peribumi kategori lain-lain di Sabah.
Oleh yang demikian, kehadiran orang Bugis di Sabah telah
melalui proses pengembaraan dan pengembangan yang sebenarnya berlaku sebelum
zaman kolonial lagi. Ini termasuklah kehadiran masyarakat ini di Tanah Melayu
sebelum merdeka. Faktor perdagangan dilihat sangat dominan terhadap etnik ini
memandangkan mereka mahir dalam ilmu pelayaran, sering mengembara dan akhirnya
menetap di kebanyakan kawasan di nusantara. Keberadaan mereka di Sabah wajar
diberi pengiktirafan atas sumbangan mereka terhadap pembukaan dan pembanguna
daerah Tawau dan sekitarnya. Tambahan pula, mereka merupakan penggerak utama
ekonomi daerah Tawau awalnya sehinggalah menjadi tunjang ekonomi negeri Sabah
hari ini. Hal ini demikian kerana, masyarakat Bugis di Sabah merupakan pemdominasi
kedua ekonomi negeri tersebut hari ini selepas etnik Cina. Sungguhpun ramai
daripada komuniti ini yang kembali semula ke Indonesia, namun legasi dan
pertapakan orang Bugis di Sabah wajar diberi perhatian dalam sejarah Malaysia.
Ini bermakna komuniti Bugis yang berada di Sabah mempunyai persamaan sejarah
seperti komuniti Bugis di Semenanjung Malaysia yang pada hari ini dikenali
sebagai salah satu kumpulan dalam rumpun etnik Melayu.
RUJUKAN
Acciaioli,
G., ‘Legacy of Conflict, Bugis IDPs have Travelled as Warriors, Farmers,
Fishers and Traders’, Journal of University of Western Australia and the Asia
Research Institute, National University of Singapore, 2005.
Asmiaty Amat (Ed.), Bugis Sabah, Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia,
2012.
Andaya, B. W., A History of Malaysia, Hampshire: Palgrave, 2001.
Goodlet K., Tawau: The Making of a Tropical Community, United Kingdom: Opus
Publications, 1977.
Suraya Sintang, Sejarah dan Budaya Bugis di Tawau, Kota Kinabalu: Penerbit
Univerisiti Malaysia Sabah, 2007.
terima kasih tuan telah menceritakan sejarah Keturunan sebenar paling.Terawal Bugis Wajo- dan menceritakan juga sejarah almarhum nenda moyang poyang saya iaitu Daeng Mapata dan Puado seorang bangsawan -Wajo terkemuka,terkenal ,berkarismatik..
BalasPadamsaya waris nya Generasi 5,6...
BalasPadam