Sejarah
seharusnya bukan sahaja perlu dilihat dari gabungan fakta-fakta yang mungkin
bersifat runcitan sahaja. Sejarah sepatutnya dihidangkan sekali dengan pandangan
alam atau ‘Worldview’ atau dalam bahasa Jermannya ‘Weltanschauung’. Manakala,
generasi muda yang bersahsiah tinggi bermaksud generasi muda yang berperibadi
dan berakhlak tinggi. Dalam erti kata lain, generasi yang teguh bukan sahaja
jasmani malah rohani. Disertai pula kekuatan akliahnya dalam mencanai dan
menyaring unsur luar serta menyerap unsur itu tanpa menghakis peribadi sendiri
malah mengukuhkannya. Ini hanya mampu diperkuatkan jika mempunyai pandangan
alam yang jelas dan benar.
Disebabkan insan
yang mendiami rantau ini ialah berbangsa Melayu, maka pandangan alam yang harus
diterapkan mestilah bersifat alami iaitu bersifat keMelayuan. Namun apakah yang
membentuk bangsa Melayu berpandangan alam yang keMelayuan? Apakah yang
membentuk rohani dan jasmani keMelayuan? Kekeliruan dalam menentukan hal ini
bukan sahaja tidak menghasilkan generasi muda bersahsiah tinggi malah generasi
muda yang celaru identiti. Maka yang pertama harus dikaji ialah sama ada
keMelayuan itu diacu mengikut acuan Hindu-Buddha ataupun Islam.
Maka apa yang
perlu difikirkan secara kritis ialah di antara Hindu-Buddha dan Islam, manakah
yang memberi impak malah mengubah sistem pandangan alam bangsa Melayu rantau
ini secara menyeluruh? Setakat yang dihidangkan di buku-buku teks ialah
pandangan alam orang Melayu dipengaruhi oleh Hindu-Buddha secara hebatnya
berbanding Islam. Ini kerana dengan gahnya binaan seperti Borobudur dan Angkor
Wat yang mengikut pandangan sejarawan Orientalis merupakan mercu kehebatan
Hindu-Buddha mempengaruhi alam Melayu.
Namun mengikut
Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, pengaruh Hindu-Buddha terhadap bangsa
rantau ini hanyalah bersifat luaran sahaja, tidak langsung menusuk ke dasar dan
mempengaruhi akalnya. Bangsa rantau ini juga tidak menunjukkan nilai saintifik
dan metafizik yang tinggi jika diteliti karya-karya yang dihasilkan. Karya yang
dihasilkan oleh alam Melayu pada waktu itu terutamanya Empayar Sriwijaya dan
Majapahit lebih menitik-beratkan nilai kesenian dan juga sebagai alat
pengukuhan kuasa oleh golongan pemerintah. Pengamalannya tidak mendasar dan
menjadi sistem pandangan alam secara menyeluruh di rantau ini.
Ini amat
berbeza dengan kedatangan Islam di rantau ini. Kedatangannya merubah bukan
hanya dari segi sistem kepercayaan sahaja malah merubah kerohanian, keakliahan,
metafiziknya, nilai saintifik serta pandangan alam secara menyeluruh.
Islamisasi mengikut Syed Naquib Al-Attas dalam bukunya, Islam dan Sekularisme,
adalah pembebasan manusia pertama dari sihir, mitos, animistik, tradisi
kebudayaan kebangsaan yang bertentangan dengan Islam, dan kemudian daripada
kawalan sekular ke atas akal rasionalnya dan bahasanya. Ini terpancar bukan
melalui binaan-binaan gah tetapi melalui bahasa Melayu Baru yang terlahir
daripada bahasa Melayu Kuno. Bahasa baru ini jugalah yang telah menyatu-padukan
bangsa-bangsa rantau ini menjadi satu bangsa baru yang terjalin atas dasar
akidah dan satu sistem pandangan alam yang sama. Sejak itu, nilai sahsiah yang
sama dianuti dan dibentuk malah dimudahkan lagi pembentukannya melalui
perhubungan yang satu menggunakan bahasa Melayu Baru menerusi aksara yang sama
iaitu Jawi. Bahasa Melayu Baru yang mendapat suntikan baru daripada bahasa Arab
seperti aksaranya, kosa kata, nilai bahasa yang tepat dan jelas, nilai
saintifik, nilai metafizik dan juga sistem pandangan alam Islam (ad-din) telah
secara tidak langsung menyuntik perkara yang sama ke dalam sahsiah bangsa
Melayu.
Dalam
pandangan alam Islam, Konsep Ikhtiar akan membawa kepada sahsiah yang tinggi.
Ini dijelaskan dalam buku S.M.N Al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan
Pandangan Alam, iaitu Konsep ikhtiar yang berasal daripada perkataan khair
bermaksud baik menunjukkan bahawa insan perlu memilih yang baik malah yang
lebih baik daripada pilihan-pilihan yang tersedia ada bukannya memilih yang
yang buruk atau lebih buruk daripada pilihan-pilihan yang ada. Jika yang buruk
itu dipilih, maka yang itu bermaksud kezaliman pada diri sendiri. Namun begitu
semua ini harus dipandu oleh Al-Quran dan As-Sunnah.
Walaubagaimanapun
dengan berlakunya pertembungan yang hebat di antara kebudayaan Barat
bertunjangkan falsafah Aristotles dengan kebudayaan Melayu bertunjangkan Ad-din
sejak 200 tahun dahulu telah menggugah dan menggelirukan pandangan alam Melayu
yang dimana penyerapan istilah-istilah baru yang mengakibatkan pensekularan
terhadap bahasa Melayu Baru itu dengan terhasilnya bahasa Melayu pasca
penjajahan yang berdiri di atas aksara Rumi. Pensekularan telah membawa kepada
pandangan alam seperti pengosongan alam tabii dari unsur-unsur ruhani. Justeru
itu, dengan penafian sedemikian, kebudayaan barat telah menafikan hubungannya
dengan Tuhan dan demikian jua sifat ruhaninya sehinggakan insan itu dianggap
hanya haiwan berakal jasmani sahaja yang mampu bertindak sewenang-wenang
terhadap alam ini kerana alam itu sendiri tiada beruhani jua. Pandangan alam
Barat ini telah meresap masuk dengan pesat ke dalam Alam Melayu dalam keupayaan
untuk melawannya begitu lemah sekali akibat daripada perumian Bahasa Melayu
yang secara langsung telah memutuskan hubungan bangsa Melayu dengan sejarah
lampaunya dan pandangan alam Islamnya yang telah banyak berjasa kepadanya.
Makanya untuk
melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi, pandangan alam yang
menghilangkan sifat ruhaninya akan menyebabkan tiada kayu pengukur dalam
menentukan apa itu sebenarnya sahsiah tinggi. Ini berbeza dengan Islam, alam
tabii itu dibuang sebahagian keruhaniannya yang bersifat tahyul namun
mengekalkan sifat ruhani yang merujuk kepada Sang Pencipta malah insan itu
diamanahkan untuk menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya.
Dalam erti kata lain alam ini merupakan tanda-tanda kepada Penciptanya. Pada
akhirnya, sahsiah tinggi akan terbentuk kuat dalam diri insan jika insan itu
sedar akan sifat ruhaninya sendiri dan sifat ruhani alam tabii ini. Ini
disebabkan dalam cubaan untuk menjaga alam ini, insan itu perlu memilih yang
terbaik dan menjauhi yang buruk (iaitu sifat adil) dalam erti kata lain ialah
konsep Ikhtiar itu sendiri.
Berdasarkan
perkara-perkara di atas, keperluan kepada penghayatan sejarah yang jelas
taakulannya dan benar akan membentuk sahsiah yang tinggi. Sayugia itu, pepatah
“Bahasa Jiwa Bangsa” perlu dihayati dan difahami masa kini iaitu dengan
memartabatkan kembali bahasa Melayu Baru yang berdiri di atas aksara Jawi untuk
mengembalikan semangat atau roh yang telah membentuk sahsiah yang tinggi
berdasarkan Al-Quranul Karim dan As-Sunnah Nabinya Muhammad bin Abdullah.
Berdasarkan kebolehan bahasa Melayu dalam memberikan suntikan ke arah sahsiah
yang tinggi, maka sejarah kepada peranan Islam dalam pembentukan sistem
pandangan alam Melayu amnya dan bahasa Melayu khasnya perlu diketengahkan dan
difahami sejelas-jelasnya. Kesilapan dalam mengiktiraf peranan sebenar dalam
pembentukan sahsiah Melayu secara amnya akan menyebabkan kerancuan dalam
pemikiran generasi muda sekarang khasnya yang akhirnya membawa kepada
ketidaksempurnaaan dalam mencapai sahsiah tinggi mengikut pandangan alam yang
benar dan bukannya pandangan alam yang bercampur-aduk malah bakal mengelirukan
identiti mereka. Akhirnya jika falsafah dalam sejarah itu bersifat sejagat,
alami dan benar, ianya akan melahirkan generasi muda bersahsiah tinggi.
SUMBER:
(1972) Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia) – S.M.N Al-Attas
(1978) Islam and Secularism (Kuala Lumpur: Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM); reprint, Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), 1993) - S.M.N Al-Attas
(2001) Risalah untuk Kaum Muslimin (Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) - S.M.N Al-Attas
(2007) Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam (Penang, Malaysia: Universiti Sains Malaysia) - S.M.N Al-Attas
(2011) Historical Fact and Fiction (Kuala Lumpur, Malaysia: UTM Press) - S.M.N Al-Attas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan