Kontrak sosial secara asasnya dibentuk pada zaman
pra-kemerdekaan sebagai suatu kaedah timbal balas terhadap pengorbanan kaum
Melayu yang sanggup berkongsi tanah air ini bersama kaum imigran Cina dan
India. Namun begitu, setelah zaman beganti zaman kontrak sosial ini
kelihatannya menjadi api dalam sekam yang tersimpan kukuh dalam sanubari tiga
kaum utama di negara ini.
Sejarah kontrak sosial bermula apabila termenterainya
satu persetujuan antara UMNO yang mewakili kaum Melayu sebagai pribumi asal
dengan Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (CLC) yang dianggotai oleh
wakil-wakil kaum imigran dari etnik Cina, India, dan Ceylon pada tahun 1948
berkenaan penerimaan kelonggaran syarat kerakyatan kaum imigran yang ingin
menjadi rakyat Tanah Melayu melalui prinsip jus
soli. Sebagai balasannya, hak keistimewaan kaum Melayu akan diakui dan
diiktiraf oleh kaum imigran serta dipahat kukuh dalam Perlembagaan yang bakal
dibentuk.
Ia merupakan penggantian
beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan
dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu,
dan Perkara 153 (Perlembagaan
Persekutuan) yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum
Bumiputera.
Antara
keistimewaan yang diberikan kepada kaum Melayu (termasuk Orang Asli pelbagai
suku yang dikolektifkan sebagai bumiputra) ialah perlindungan tanah-tanah rizab
sebagai Tanah Simpanan Melayu yang tidak boleh ditukar milik secara bebas, dan
pemberian kuota khusus buat Bumiputera dalam aspek penjawatan perkhidmatan
awam, biasiswa dan pendidikan awam, lesen perniagaan, dan dasar memonopoli
industri tertentu daripada disaingi oleh kaum imigran dengan keizinan pihak
kerajaan.
Walaupun
di atas kertas, kontrak sosial ini kelihatannya seolah-olah adil dan dapat
diterima oleh semua kaum, tetapi konsep kontrak sosial ini telah dipandang
melalui sisi sebaliknya oleh kaum-kaum imigran. Mereka khususnya generasi
selepas merdeka melihat hubungan antara kaum melalui konsep kontrak sosial
seumpama hubungan antara kaum kelas pertama (Melayu) dengan kaum kelas kedua
(imigran). Mereka memandang kaum Melayu cuba menegakkan prinsip Ketuanan Melayu
dengan mempergunakan konsep kontrak sosial, sedangkan pada anggapan mereka
sebagai rakyat negara ini yang sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan,
mereka juga berhak menikmati hak yang setaraf dan sama-rata.
Keadaan
sosipolitik dan sejarah perhubungan antara kaum Melayu dan imigran di negara
ini juga turut membawa kepada persepsi negatif ke atas konsep kontrak sosial
yang telah dipersetujui secara besama sebelum ini. Peristiwa penyertaan dan
penyingkiran Singapura di dalam Persekutuan Malaysia, peristiwa Hartal Pulau
Pinang 1967, dan Tragedi 13 Mei 1969 merupakan antara tindakbalas secara
langsung kaum imigran terhadap kedudukan istimewa kaum Melayu sebagai pribumi.
Setelah
negara memasuki alaf ke-21, konsep kontrak sosial yang masih kekal tanpa
sebarang pindaan dilihat masih lagi menjadi punca ketidakpuasan hati kaum
imigran khususnya kaum Cina terhadap pegangan politik kaum Melayu terhadap
negara ini. Konsep Malaysian Malaysia dan
We are Malaysian terus bermain dan
meniti di bibir-bibir pemain politik masyarakat Cina. Setelah kegagalan Dasar
Ekonomi Baru (DEB) untuk memberi 30%
pegangan ekuiti Bumiputera terhadap ekonomi negara dan keberhasilan kaum
Cina untuk kekal menguasai bidang ekonomi, kini mereka telah berpadu tenaga
untuk mengikis sedikit demi sedikit kuasa politik yang masih berada di bawah
kawalan kaum Melayu melalui tuntutan hak sama rata tanpa mengira bangsa dan
etnik. Kaum Cina dilihat begitu bijak dalam menyusun gerakan politiknya setelah
berjaya menggagalkan DEB. Model Ekonomi Baru (MEB) ciptaan bekas Perdana
Menteri Malaysia Keempat, Datuk Seri Najib Razak juga dilihat agak sendu dan
gagal untuk mencapai matlamatnya demi kepentingan ekonomi kaum-kaum Bumiputera
secara holistik.
Kini
kaum Cina yang merangkumi populasi 28% daripada jumlah rakyat negara ini
dilihat berjaya menempatkan diri mereka sebagai penentu hala tuju politik
tempatan. Setelah kuasa politik Melayu berpecah kepada empat parti politik
perdana iaitu UMNO, PAS, PKR, dan PPBM (Bersatu), majoriti kaum Cina dilihat
kekal memilih DAP sebagai pembawa suara kiasu
mereka bagi menggantikan MCA yang dilihat tidak lagi relevan untuk membantu
mereka memanipulasi konsep kontrak sosial agar berpihak kepada kaum Cina.
Walau
bagaimanapun, dalam kebanyakan isu yang melibatkan kepentingan politik dan
ekonomi kaum Cina, tiga parti utama yang didominasi masyarakat Cina iaitu MCA,
GERAKAN, dan DAP memiliki pendapat yang sama dan mampu menyuarakannya dengan
begitu jitu sehinggakan sedikit sebanyak hak istimewa kaum Melayu yang
termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan berjaya dikikis dan dimanfaatkan
sedikit demi sedikit oleh mereka. Sebaliknya, empat parti utama kaum Melayu
yang telah disebutkan masih lagi saling bercakaran tanpa sebarang persefahaman
walaupun timbulnya berberapa isu yang melibatkan kepentingan kaum sehingga
memudahkan kaum imigran khususnya kaum Cina mengambil kesempatan. Tiga parti
politik utama kaum Cina tersebut juga bijak memainkan peranan masing-masing
iaitu MCA dan GERAKAN bersifat lebih lunak dan halus dalam menyuarakan tuntutan
kaum Cina agar mendapat simpati golongan tua dan moderat, manakala DAP pula
lebih bersifat lantang dan agak agresif supaya golongan muda dan ultra-kiasu kekal memilih parti tersebut
sebagai wadah politiknya.
Kini kaum imigran khususnya kaum Cina telah mula
mengorak langkah yang lebih berani melalui tuntutan demi tuntutan dalam bidang
pendidikan yang diterajui oleh Persatuan Sekolah Cina atau dikenali sebagai Dong
Zhong. Persatuan tersebut kini giat melakukan desakan demi desakan terhadap
pihak kerajaan agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan oleh
sekolah-sekolah swasta aliran Cina diberi pengiktirafan setaraf dengan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM). Dong Zhong yang mewakili suara kaum Cina dalam bidang
pendidikan juga mahu Akta Pendidikan 1996 dikaji dan dipinda semula agar Bahasa Melayu
yang menjadi subjek wajib lulus bagi diterima masuk ke universiti awam tempatan
dimansuhkan. Hak istimewa kaum Melayu dalam aspek pendidikan juga dicabar
apabila Dong Zhong mencadangkan agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka
untuk pelajar dari semua kaum sesuai dengan konsep Malaysian Malaysia.
Ternyata ketika kaum Melayu sedang sibuk bertelagah sesama
sendiri bagi membuktikan siapa yang lebih nasionalis, siapa yang lebih Islamik,
dan siapa yang lebih berhak mewakili suara kaum Melayu, kaum imigran khususnya
kaum Cina telah menguasai hampir segala aspek politik, ekonomi, dan sosial
negara. Benarlah ungkapan peribahasa nenek moyang kita dahulu, Melayu ini
umpama Pak Kaduk, sekadar menang sorak, namun akhirnya kampung sendiri akhirnya
yang tergadai. Di mata kaum imigran, kontrak sosial dan hak istimewa kaum
Melayu yang dipersetujui nenek moyang mereka pada tahun 1948 dahulu adalah
penghalang utama mereka untuk membentuk negara ini sesuai dengan cita rasa dan
kepentingan mereka seperti mana mereka telah membentuk aspek politik, ekonomi,
dan sosial Singapura. Kini mereka semakin berjaya untuk membebaskan diri mereka
daripada belenggu kontrak sosial di hadapan mata kita sendiri.
-MOHAMAD HAFEZ MOHAMAD RIPIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan