Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang
memiliki sembilan orang raja yang memerintah secara serentak di negeri
masing-masing pada waktu yang sama dan memiliki sistem penggiliran yang
sempurna di mana salah seorang daripada sembilan orang raja tersebut akan
menjadi Ketua Negara bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA)
selama 5 tahun sebelum kedudukan baginda akan digantikan oleh raja yang lain
secara bergilir-gilir.
Sembilan orang raja yang disebutkan di atas adalah
Sultan Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan,
Johor, dan Perlis. Para raja inilah yang menganggotai Majlis Raja-Raja Melayu
(MRRM) iaitu sebuah badan yang berada di luar Badan Legislatif, Eksekutif, dan
Judisari. Kedudukan MRRM telah termaktub secara jelas dalam Perkara 38 (1) Perlembagaan
Persekutuan.
Rentetan sejarah ringkas MRRM bermula pada tahun 1897
melalui penubuhan Durbar iaitu Persidangan Raja-Raja Melayu dari empat buah
Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang.
Pada 1948, akhirnya Durbar berganti nama kepada MRRM setelah Raja-Raja Melayu
dari lima buah Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu,
Johor, dan Perlis telah menyertainya secara rasmi.
Di dalam Perkara 38 (2) diperincikan peranan dan
tugas-tugas Majlis Raja-Raja iaitu :
a. Memilih yang di- Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga.
b. Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau acara ugama meliputi seluruh Persekutuan.
c. Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
d. Melantik anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182.
e. Memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42, dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkan patut.
a. Memilih yang di- Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga.
b. Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau acara ugama meliputi seluruh Persekutuan.
c. Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
d. Melantik anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182.
e. Memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42, dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkan patut.
Fasal 39 Perlembagaan memberi kuasa eksekutif kepada
Yang di-Pertuan Agong. Walaupun terdapat beberapa pengecualian dalam
Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim
baginda menerima nasihat dari Kabinet atau lebih khusus, Perdana Menteri.
Walaupun bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri
atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang atau sesuatu pertubuhan
(selain Kabinet), Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara
dalam tiga fungsi Perlembagaan iaitu:
1. Melantik seorang Perdana Menteri.
2. Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan
membubarkan Parlimen.
3. Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan
semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan
mengambil tindakan dalam mesyuarat itu
Setelah memahami sejarah dan bidang kuasa MRRM serta
YDPA, penulis ingin mengajak anda merenung kembali dua peristiwa mutakhir yang
melibatkan pertembungan antara kewibawaan MRRM dan YDPA dengan para pemain
politik pasca Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) setelah tumbangnya kerajaan
Barisan Nasional (BN) yang didominasi parti nasionalis Melayu terbesar iaitu
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Peristiwa pertama adalah ketika malam pasca
tumbangnya BN kepada barisan pembangkang dari blok Pakatan Harapan (PH). Isu
ini timbul apabila Pengerusi PH yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia
Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalami sedikit kesulitan untuk
mengisytiharkan penubuhan kerajaan baharu PH kerana YDPA, Sultan Muhammad IV
enggan menerima permohonan beliau untuk menghadap dan mengangkat sumpah sebagai
Perdana Menteri Ketujuh pada peringkat awal. Namun begitu, segala kekusutan ini
berakhir setelah beliau berkenan menerima pemohonan Tun Dr. Mahathir Mohamad
untuk menghadap dan melangsungkan upacara mengangkat sumpah jawatan Perdana
Menteri Malaysia pada pukul 9.55 malam di Istana Negara iaitu setelah hampir 24
jam PH mengisytiharkan kemenangan mereka. Peristiwa ini memperlihatkan
keupayaan YDPA selaku Ketua Negara untuk mempetimbangkan kewajaran seseorang
tokoh untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sesuai dengan hak dan kuasa
baginda yang temaktub pada Fasal 39 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Peristiwa kedua pula, melibatkan pertembungan antara
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim
dengan baginda Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullai
berkenaan isu perlantikan Menteri Besar Perlis. Krisis bermula apabila baginda
Raja Perlis selaku Ketua Negeri enggan menerima dan memperkenankan calon
Menteri Besar yang diusulkan oleh UMNO Perlis, Datuk Ismail Kassim sebagai
Menteri Besar Perlis yang juga adik kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Negeri Perlis kerana bimbang akan timbulnya konflik berkepentingan antara dua
bersaudara. Dalam masa yang sama, baginda telah menerima dan memperkenankan
pengangkatan mantan Menteri Besar Perlis penggal lalu iaitu Datuk Seri Azlan
Man mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di hadapan baginda. Di sini
kita dapat melihat baginda Raja Perlis berupaya menggunakan hak budi bicara
baginda seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis dan
Perlembagaan Persekutuan untuk mengenepikan calon Menteri Besar yang diusulkan
oleh parti yang menguasai majoriti Dewan Undangan Negeri Perlis iaitu UMNO.
Natijahnya, walaupun YDPA, Sultan/Raja, dan MRRM
tidak memiliki kuasa untuk mencampuri urusan pentadbiran Badan Eksekutif secara
langsung kerana kuasa mereka selaku Ketua Negeri dan Ketua Negara telah
dihadkan oleh Perlembagaan, tetapi mereka masih lagi berupaya menentukan hala
tuju pentadbiran dan pengangkatan seseorang tokoh untuk mengetuai kerajaan. Di
sinilah peranan mereka sebagai payung rakyat, khususnya bangsa Melayu dan agama
Islam. Kedua-dua peristiwa yang dibincangkan di atas memperlihatkan mereka
berhak menolak atau mengenepikan calon-calon ketua kerajaan seandainya didapati
calon-calon tersebut tidak memiliki keupayaan untuk menjalankan tugas seperti
yang diharapkan oleh baginda. Jadi benarlah kata pepatah moden hari ini,
Raja-Raja Melayu merupakan banteng terakhir orang Melayu walaupun parti yang
mentadbir kerajaan bertukar ganti.
-MOHAMAD HAFEZ MOHAMAD RIPIN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan