Fenomena kemunculan pelbagai kumpulan, organisasi, dan
individu yang berjuang untuk memartabatkan bidang pensejarahan bangsa dan
negara belakangan ini merupakan suatu perkembangan yang sangat positif kepada
masa hadapan bidang pensejarahan negara. Walau bagaimanapun, akhir telah muncul
secebis sisi negatif rentetan kemunculan pelbagai kumplan, organisasi, dan
individu yang bergerak atas nama sejarah tanpa matlamat, visi, dan misi yang
jelas. Siapa mereka ini? Adakah mereka ini seperti Srikandi dan kumpulannya?. Masing-masing mula mendakwa diri mereka sebagai “ahli sejarah”, “pakar
sejarah”, ataupun “pengkaji sejarah” dan mula mendendangkan penemuan serta
fakta sejarah mengikut versi kefahaman masing-masing sehingga munculnya
pelbagai polemik dan teori yang diragu keabsahannya. Di sini, penulis akan cuba
mengelaskan individu-individu yang muncul di dalam dunia pensejarahan mengikut
peranan dan fungsinya secara ringkas dan padat.
PELAJAR SEJARAH
Mereka yang dikelaskan sebagai para pelajar Sejarah
ini terdiri daripada individu-individu yang memperoleh pendidikan dalam bidang
dan disiplin Sejarah dan Pensejarahan
secara formal. Kebiasaannya pengajian dalam bidang dan disiplin Sejarah dan
Pensejarahan secara mendalam bermula pada peringkat pengajian Sarjana Muda.
Antara bidang pengajian yang secara umumnya boleh diletakan di bawah bidang
pengajian Sejarah termasuklah Sejarah, Arkeologi, Permuziuman, dan Pengajian
Warisan.
Para pelajar sejarah ini telah dilatih dan dibentuk
gaya pemikirannya sesuai dengan Pensejarahan Moden versi Ranke. Ranke ataupun Leopold Von Ranke merupakan seorang sejarawan Jerman era abad ke-19.
Prinsip pensejarahannya yang bersifat moden dan fleksibel mengikut zaman telah
dijadikan sebagai garis panduan buat para sejarawan moden sebelum menulis atau
mengemukakan suatu teori baru yang bakal dijadikan sebagai fakta sejarah.
Antara prinsip utama Pensejarahan Moden Ranke adalah
sejarah perlu bersifat benar seperti yang sebenarnya telah berlaku. Kedua, sejarah
perlu bersifat objektif iaitu tidak bias
atau dipengaruhi pengadilan, penerimaan, dan pengakuan sosial atau politik
kecuali oleh apa yang dibekalkan proses sejarah itu sendiri. Ketiga, ketika
melakukan kajian sejarah, penggunaan kaedah saintifik juga diperlukan dengan
membandingkan sumber-sumber yang ditemui melalui kaedah mencari, menilai dan
mengkritik sumber-sumber utama.
Keempat adalah penggunaan prinsip Quellenkritik dan
seminar. Seminar perlu diadakan agar sejarawan dapat mencari, menilai dan mengkritik
sumber-sumber utama sejarah. Idea yang baharu juga dapat ditemui melalui
kritikan sejarah dan secara tidak langsung sesuatu akan meningkatkan kesahihan
fakta dan penulisan sejarah. Quellenkritik ialah usaha-usaha dalam menilai dan
mengkritik sumber-sumber. Antara sumber-sumber yang penting bagi ranke ialah
buku kenangan, catatan harian, surat menyurat, laporan diplomatik serta
gambaran saksi. Pemilihan terhadap dokumen sangat penting bagi menentukan
keaslianya.
Kelima, sejarah perlu berdiri dengan sendiri tanpa
terikat dengan ilmu-ilmu lain seperti filologi, undang-undang dan teologi
tetapi penggunaan disiplin lain seperti Sains Forensik boleh digunakan bagi
mengesahkan keabsahan dan keaslian bukti yang ditemui dalam sejarah. Terakhir
adalah sejarah bersifat sejagat iaitu sejarah merupakan warisan manusia. Ia
bukanlah milik hak ekslusif untuk sesuatu bangsa sahaja. Sejarah bukanlah hanya
sebagai salah satu bidang akademik sahaja tetapi ia merupakan ilmu pengetahuan
yang perlu dimiliki oleh semua lapisan dan golongan masyarakat. Antara IPTA
negara yang menawarkan bidang pengajian dalam disiplin Sejarah ialah Universiti
Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, dan
Universiti Perguruan Sultan Idris (dalam bidang pendidikan Sejarah).
Keenam-enam Prinsip Pensejarahan Moden Ranke inilah
yang menjadi tunjang utama dan amalan para pelajar sejarah dalam melakukan
kajian dan penulisan ilmiah. Seseorang pelajar sejarah dianggap sebagai gagal
sekiranya ia tidak mengaplikasikan keenam-enam prinsip ini dalam kajiannya dan
hasil penulisannya boleh dianggap sekadar polemik sahaja.
AHLI SEJARAH/SEJARAWAN
Ahli sejarah ataupun sejarawan merupakan suatu
pengiktirafan yang diberikan oleh dunia akademik, kerajaan, ataupun badan-badan
yang berkelayakan ke atas seseorang individu yang diakui dan ketahui umum
berkenaan jasanya dalam dunia pensejarahan dan tahap latar belakang pendidikan
dalam bidang Sejarah yang dimilikinya. Mereka ini kebiasaannya merupakan para
pelajar sejarah yang terus fokus dalam melakukan pelbagai kajian ilmiah dan
menyumbangkan pelbagai karya penulisan Sejarah dalam bentuk artikel, jurnal,
buku, dan seminar. Kajian-kajian yang disumbangkan pula adalah tulen tanpa
diplagiat daripada hasil kajian sedia ada. Perlu diingatkan, tidak semua
pelajar sejarah layak menjadi sejarawan tetapi semua sejarawan asalnya bermula
sebagai pelajar sejarah.
Para sejarawan ini majoritinya memiliki tahap
pendidikan Sarjana dan memiliki kerjaya yang sesuai dengan bidang Sejarah agar
memudahkan mereka menyebarkan kepakaran dan ilmu yang dimiliki di samping kekal
dengan rutin mereka dalam melakukan pelbagai penyelidikan dan kajian sejarah.
Mereka memiliki kepakaran dalam sub-bidang disiplin Sejarah yang tertentu
seperti Sejarah Politik, Sejarah Asia Tenggara, Histografi Melayu, dan
sebagainya serta sering menjadi tempat rujukan para pelajar dan peminat
sejarah. Antara nama-nama sejarawan terkenal negara ialah Khoo Kay Kim,
Abdullah Zakaria Ghazali, Ramlah Adam, Ahmat Adam, Sivachandralinggam Sundara
Raja, Ho Hui Ling, Sufian Sabtu, Yusoff Hashim, dan ramai lagi.
PEMINAT SEJARAH
Golongan ini merupakan golongan terbesar dalam dunia
pensejarahan negara. Kemunculan golongan ini kian bercambah saban tahun di atas
sikap kesedaran dan minat membaca dan mengkaji yang mulai tumbuh dalam kalangan
rakyat negara ini setelah berlakunya ledakan teknologi media sosial seperti Facebook yang memudahkan golongan ini
berkumpul secara maya sambil menulis dan membincangkan berkenaan topik-topik
sejarah yang menarik minat mereka. Keadaan ini sedikit sebanyak telah memberi
nafas baru kepada bidang pensejarahan negara yang dilihat agak layu dan suram
sebelum ini.
Walau bagaimanapun, muncul pula beberapa sisi
negatif hasil kemunculan golongan ini yang terlampau ramai. Antaranya ialah
munculnya “pakar sejarah segera/sejarawan tangkap muat”. Pakar sejarah segera
atau sejarawan tangkap muat ini seringkali mengemukakan polemik demi polemik
tanpa sebarang fakta, bukti, atau sumber rujukan yang kukuh dalam membincangkan
sesuatu topik sejarah terutamanya sejarah yang berkaitan era Kesultanan Melayu
dan zaman feudal. Mereka ini memiliki keberanian dalam mempersoalkan dan
membantah hasil-hasil kajian yang diutarakan oleh sejarawan negara tanpa
memberi sebarang bukti atau penemuan baru yang memiliki keabsahan dan ketulenan
sejarah.
Malangnya, para ahli sejarah segera ini tetap
memiliki puluhan malah ratusan pengikut hasil penyebaran dapatan sejarah palsu
versi “kajian” mereka di media-media sosial. Tanpa memiliki pengetahuan dalam
bidang pensejarahan yang sebenar, mereka berani menulis buku-buku dan artikel
di media sosial sehingga menyelewengkan fakta sejarah yang sebenar sesuai
mengikut cita rasa mereka sahaja.
Walaupun memiliki latar belakang pengajian dalam
disiplin bukan Sejarah dan tidak pernah belajar mengenai Prinsip Pensejarahan
Moden Ranke yang menjadi panduan para pelajar dan sejarawan sebenar, golongan
ahli sejarah segera ini tetap tanpa rasa malu medabik dada kononnya mereka
adalah pencetus kepada pelbagai penemuan sejarah di negara ini. Tidak dapat
dipastikan apakah motif dan tujuan sebenar kemnculan golongan ahli sejarah
segera ini? Adakah bermotifkan kepentingan peribadi untuk mengangkat taraf
keturunan masing-masing? Ataupun bermotifkan politik dan wang ringgit?
Wallahualam.
-MOHAMAD HAFEZ MOHAMAD RIPIN
hai saya, nak minta nasihat utk pilih kursus yang patut saya pilih untuk masuk universiti nanti, saya minat dgn sejarah dan saya suka untuk mengkaji sejarah. terutamanya sejarah islam, boleh tolong berikan cadangan kpd saya utk memilih kursus yg sesuai dgn minat saya. saya berminat utk kaji sejarah
BalasPadam