Abjad Melayu Tiru India, Yeke? |
Kepada yang terlepas artikel awal boleh follow link ni.
http://kitabsejarahmalaya.blogspot.my/2017/08/melayu-berdarah-india-selatan.html
Setelah kita memahami erti Indianisasi ini kita haruslah mengetahui bahawa ianya dipelopori oleh pengkaji-pengkaji British dan Belanda yang hadir di alam Melayu. Namun harus diinsafi bahawa ianya telah bermula seawal British menjajah benua India. Penjajahan ini beserta pentafsiran semula sejarah telah menjadikan asbab kepada pemisahan Pakistan dan India dan juga pergolakan antara orang Islam dengan orang Hindu. Malah kesan kepada pentafsiran ini juga tiba di alam Melayu ini yang akhirnya juga membawa kepada pemisahan fizikal dan spiritual alam Melayu ini kepada negara-bangsa baru. Di sini akan saya hidangkan beberapa contoh daripada pegawai British berkenaan Indianisasi di alam Melayu ini.
Pegawai/Residen British yang berada di Tanah Melayu (TM) sebelum kemerdekaan tersangatlah memuja dan mengagumi kebudayaan Jawa yang dianggap sempurna lalu dengan secara semberono merendah-rendahkan kebudayaan Melayu. Ini jelas terbukti dinyatakan oleh Frank Swettenham sendiri :
"Bahasa Jawa tentunya abjad yang paling sempurna di kepulauan, dan satu catatan ringkas mengenainya akan memberi kefahaman umum berkenaan yang lain di mana, walaupun mereka berbeza dari segi bentuk, tanggungannya, prinsipnya, satu kemiripan yang asas. Ia mempunyai perwatakan yang tersendiri dan tidak berubah-ubah untuk setiap bunyi di dalam bahasa, dan sejak itu, justeru, ianya satu sistem yang sempurna .."
Ini diakibatkan ketakjuban yang sama mereka alami apabila melihat kebudayaan benua India dan umum diketahui kebudayaan Jawa adalah yang paling mirip dengan kebudayaan benua India. Di sinilah bermulanya teori Indianisasi yang turut dikenakan oleh orientalis seperti mereka kepada kebudayaan Melayu.
Malah Frank Swettenham menyebut di dalam bukunya, British Malaya, seperti perenggan di bawah :
“Sesetengah, tentunya, menyukai bahawa abjad Malayan mungkin telah dipinjam daripada Hindu, namun sesungguhnya tiada bukti kukuh untuk hipotesis sedemikian. . . .”
Pendapat mereka ini adalah mengikut pandangan alam mereka dan pengalaman mereka semenjak Zaman Pertengahan lagi. Konsep beragama mereka yang menganggap bahawa agama akan melalui evolusi mengikut peredaran masa dan agama biasanya apabila bertemu dengan entiti baru akan melentur dirinya membolehkan kepercayaan tradisi entiti baru ini meresap mesra dan membentuk agama bersifat lokaliti. Ini yang dimaksudkan oleh mereka sebagai 'lokal genius'.
Malah pengalaman mereka bertemu dengan benua India telah membentuk satu laras pemikiran yang kemudiannya digunakan sebagai penanda aras dalam menilai alam Melayu. Ketika mereka tiba di benua India mereka telah terkesima dan kagum dengan keindahan binaan yang ada di benua India yang bercirikan Hindu dan Buddha malah binaan Islam juga dilihatkan bersatunya unsur Islam dan Hindu-Buddha di sana. Benua India adalah yang paling lewat menerima Islam dan merupakan daerah pepinggiran kekuasaan pengaruh Islam. Dan apabila mereka tiba di alam Melayu mereka mendapati alam ini telah memeluk Islam namun didapati masih terdapat unsur 'Hindu' yang membudaya di alam Melayu ini terutamanya di Pulau Jawa. Sehubungan itu, dengan mengambil kira pemerhatian mereka di benua India, mereka telah menggunakan hipotesis yang sama terhadap alam Melayu.
Ini diperkukuhkan oleh teori mereka bahawa sebelum kehadiran Islam, alam Melayu ini memeluk agama Hindu yang disintesiskan dengan Buddha, dan sehingga kini alam Melayu dianggap menganut agama Hindu-Buddha. Oleh itu, apabila mereka melihat alam Melayu ini memeluk Islam namun mengekalkan kebudayaan Hindu-Buddha telah menelurkan kesimpulan pra-matang mereka sewenang-wenangnya mengatakan bahawa Islam yang dianut alam Melayu bukan bersifat asli tetapi merupakan satu sintesis antara Hindu-Buddha dengan Islam kerana sifat masyarakat Melayu sendiri yang dikatakan bijak di dalam mensintesiskan perkara sebegini. Mereka mengatakan sedemikian sepertimana mereka melihat Islam yang lain di benua India dan disebabkan alam Melayu ini berada di pepinggiran, makanya nasib yang sama berlaku di sini.
Keberhutangan Indianisasi alam Melayu ini kepada benua India telah diteruskan oleh pengkaji British dan Belanda ke atas agama Islam dengan sewenang-wenangnya menempelkan bahawa Islam tiba di alam Melayu melalui pedagang dari benua India sama seperti yang berlaku pada era Hindu-Buddha.
Sikap takjub mereka ini telah meletakkan kebudayaan Jawa jauh ke hadapan dan menjadi pusat ketamadunan alam Melayu mengenepikan peranan orang Melayu dan peranan Islam di alam ini. Pembahagian zaman alam Melayu ini telah diletakkan sebagai zaman Hindu-Buddha, zaman Islam, dan zaman penjajahan.
Tanggapan mereka adalah kehebatan sesuatu tamadun itu diukur dengam kehebatan binaan mereka dan ini terlihat dengan lebih jelas pada zaman Hindu-Buddha dengan kehadiran begitu banyak candi-candi, stupa-stupa, dan yang paling penting seperti candi Borobudur yang menyorot kepada kemegahan zaman Hindu-Buddha. Manakala, kemegahan binaan ini tidak terlihat pada zaman Islam menerangi alam Melayu ini. Malah mereka senada mengatakan bahawa kemasukan Islam menyekat kehebatan yang dikecapi alam Melayu ini dengan runtuhnya Kerajaan Sriwijaya dan Kerajaan Majapahit yang tidak akan datang kembali.
PEMUSATAN PAKSI INDIA
Sikap yang tegar dalam memusatkan paksi India untuk pensejarahan alam Melayu walaupun betul namun ia tidaklah begitu benar untuk dilebih-lebihkan. Pemusatan ini adalah kesan yang disebut oleh Syed Hussein Al-Attas (SHA) sebagai imperialisme intelektual/minda tertawan. Perkara ini bukan sahaja berlaku di alam Melayu malah seperti yang disebutkan di atas ianya telah diterapkan juga di benua India. Pensejarahan semula British terhadap sejarah benua India telah menatijahkan pemisahan benua India kepada beberapa buah negara bangsa dan masih lagi berseteru antara satu sama lain. Pensejarahan di benua India telah meletakan pembahagian zaman India kepada zaman Hindu, zaman Islam dan zaman moden sedangkan Islam tiba di benua India bukannya sekaligus tetapi berperingkat. Namun begitu tindakan sedemikian telah melahirkan radikal di kalangan pihak masing-masing yang seakan-akan kecewa dengan kelemahan diri tatkala di bawah pemerintahan yang lain. Sebagai contohnya kedatangan zaman Islam telah dilihat sebagai zaman penindasan ke atas masyarakat Hindu sedangkan ianya akibat telah diolah oleh pengkaji British. Di sini SHA telah mencadangkan agar pensejarahan dilakukan secara kreatif mengikut pensejarahan tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan