Sabtu, 5 Ogos 2017

Melayu Berdarah India Selatan?


Kitab Sejarah Malaya
Melayu Berdarah India Selatan?
Mutakhir ini kecoh berkenaan isu keberhutangan orang Melayu kepada peradaban India di satu laman mukabuku yang bukanlah kali pertama berlaku tetapi bertahun-tahun lamanya. Pendakwaan ini bukan sahaja melibatkan agama, budaya, bukti arkeologi, bahasa, sistem tulisan, raja-raja, malah mereka mendakwa merekalah punca ketamadunan orang Melayu. Sebelum alam Melayu ini bersentuh dengan kebudayaan India, penduduk asal ini hidup di dalam kegasaran. Inilah yang dicanang-canangkan terutamanya oleh puak 'Greater India' dan geng Chola. Namun perkara ini bukanlah baru sebenarnya, ianya telah disebarluas dan dipropagandakan oleh penjajah-penjajah Nusantara seperti British dan Belanda. Untuk kes Malaysia, ianya adalah usaha terancang pihak British dalam memperbesarkan pengaruh India ke atas orang Melayu.

TAKRIF INDIANISASI

Sebelum kita meneruskan perbincangan lebih lanjut, lebih baik kita selesaikan dahulu takrif Indianisasi. Mengikut Coedes, Indianisasi adalah perkembangan kebudayaan secara terancang yang diasaskan di atas konsep diraja India, dicirikan melalui kultus Hindu atau Buddha, mitologi Puranas, dan penumpuan ke atas Dharmasastra, dan menzahirkan dirinya di dalam bahasa Sanskrit. Manakala Indianisasi di kawasan India Jauh (merujuk kepada kepulauan Melayu) sukar untuk dipastikan samaada ianya menyamai Indianisasi di Lembah Ganges seperti Bangladesh, bangsa Dravidian dan Sri Lanka. Terdapat berbagai istilah yang boleh menggantikan Indianisasi ini seperti Brahminisasi atau Sanskritisasi. Ini kerana terdapat teori lain bahawa penyebaran budaya India ini melibatkan golongan Brahmin sahaja atau melalui pengaruh bahasa Sanskrit sepertimana zaman ini yang melalui pengInggerisan yang hebat. Kedudukan Kepulauan Melayu yang dipisahkan laut yang luas berbanding Bangladesh dan Dravidian menyukarkan untuk penyerapan budaya secara perlahan-lahan.

Ciri tamadun India yang diserap oleh alam Melayu :-
1) kepercayaan - Buddha dan Hinduisme (Brahminisme)
2) Bahasa - Sanskrit
3) Huruf India - tulisan Pallawa yang diubahsuai daripada tulisan India Selatan. Tulisan kawi di Jawa diubahsuai daripada tulisan Pallawa
4) Kesenian - corak pada candi dan patung-patung
5) Pentadbiran - gelaran raja dan pembesar
6) Kesusasteraan - epik Ramayana, Mahabrata dan Jataka diterjemahkan atau disadur

Tiga hipotesis utama proses Indianisasi ini
1) Hipotesis Vaisya
2) Hipotesis Kastria
3) Hipotesis Brahmin

Hipotesis Visya ini telah dikemukakan oleh Krom dan diperkembangkan oleh Coedes; di mana mereka mengatakan bahawa proses Indianisasi ini dilakukan oleh golongan Visya. Golongan Visya yang mana adalah golongan pedagang ini telah datang ke alam Melayu untuk berdagang dan dalam tempoh perdagangan itu telah berkahwin dengan penduduk tempatan. Perdagangan antara benua India dengan alam Melayu ini telah berlaku lama dahulu namun semenjak abad ke 2 SM, India telah kehilangan bekalan emasnya dan ini menuntut mereka untuk mendapatkan bekalan tersebut di alam Melayu lalu mempesatkan kedatangan golongan ini ke alam Melayu dan menyebarkan kebudayaan India di sini. Namun didapati hipotesis ini ada kelemahan ketaranya kerana bagaimana golongan Visya ini mampu untuk menyebarkan kebudayaan India terutamanya di dalam bab keagamaan dan bahasa Sanskrit? Agama Hindu dan bahasa Sanskrit hanya difahami oleh golongan Brahmin sahaja. Namun Krom menjawab bahawa kemungkinan golongan Brahmin ini dijemput golongan Visya untuk mengajar anak-anak mereka. Namun pandangan ini disanggah kerana dua sebab iaitu; golongan Brahmin tidak boleh bergaul dengan golongan bawahan, dan , golongan Brahmin tidak boleh bergaul dengan kasta rendah apatah lagi mengajar anak kasta rendah dengan luar kasta. Ini kemudian dicadang oleh Coedes bahawa golongan yang dibawa oleh golongan Visya ini bukanlah golongan Brahmin tetapi golongan pendita Buddha kerana tiada halangan yang dihadapi oleh pendita Buddha sepertimana yang dihadapi oleh golongan Brahmin.

Hipotesis Kastria pula dicadangkan oleh C. C. Berg, Greater India Society dan Moens (pengkaji Belanda) di mana Indianisasi ini telah disebarkan oleh golongan Kastria iaitu samaada golongan pahlawan atau anak-anak Raja India terutama dari India Selatan. Anak-anak Raja ini telah keluar dari India untuk mencari tanah baru ataupun adalah pelarian politik setelah perebutan takhta kerajaan. Apabila mereka sampai di alam Melayu, mereka telah mengalahkan pembesar tempatan dan menguasai negeri mereka. Namun ia ditentang hebat oleh FDK Bosh bahawa jika benar ianya berlaku sebegitu pastinya; adanya prasasti yang mencatatkan perluasan kuasa itu; tiada tanda-tanda kacukan bangsa Melayu Dravidia (India Selatan) di Jawa atau Bali; istilah atau perkataan India yang ada di dalam bahasa Melayu adalah perkataan Sanskrit tulen bukannya bahasa orang Dravidia; wujudnya susun lapis masyarakat di dalam alam Melayu iaitu kasta namun tidak diamalkan kerana raja adalah paling tinggi di dalam monarki iaitu konsep dewaraja.

Manakala, hipotesis Brahmin pula menyatakan golongan Brahmin itu sendiri yang menyebarkannya namun seperti sanggahan di atas, ianya tidak mungkin berlaku dan tambahan pula golongan Brahmin bukanlah seperti golongan mubaligh yang mempunyai misi menyebarkan agamanya. Penganut dianggap Hindu jika dilahirkan dalam keluarga Hindu.

Indianisasi yang berlaku di alam Melayu ini tidaklah lebih berat kepada Hindu mahupun Buddha, namun merupakan keseimbangan di antara keduanya dan juga asimilasi dengan unsur animisme tempatan.

Penulisan tajuk ni sebenarnya panjang sebab salah seorang admin kami bersungguh-sungguh nak sekolahkan korang dan dorang agar faham apakah persamaan mereka dan kita. Jadi setelah editor berfikir panjang jadinya artikel ini akan dipecahkan kepada 3 bahagian. Kalau panjang-panjang nanti tak terbaca pulak, sebab bila baca panjang-panjang otak korang krem.. haha.. Apa pun selamat membaca dan BACALAH BUKU WOI!

~Admin SBYB~

Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan