“Negara boleh lahir dan mati”
Begitu jugalah dengan mana-mana parti politik. Hari ini kita sudah mencapai kemerdekaan kali ke 60 dan selama itulah seramai 6 Perdana Menteri telah kita pilih bagi menjadi wakil suara rakyat negara ini dalam mendepani pelbagai isu terutama sekali berkaitan hal antarabangsa. Bila bercakap soal politik maka akan timbul pelbagai persepsi samada baik atau buruk.
Jika dilihat dari sudut pemikiran dan kebijaksaan politik orang Melayu berbanding kaum Cina, maka orang Melayu ketinggalan selama 30 tahun dan pernah juga muncul pendapat dari para pengkaji sejarah politik dan nasionalisme Melayu, semasa seluruh dunia menghadapi pergolakan politik Tanah Melayu seolah-olah tidak mengetahui apa-apa lansung.
Kemunculan nasionalisme Melayu muncul setelah berlakunya keruntuhan empayar Uthmaniyah dan pada waktu ini menyaksikan bagaimana Kaum Muda yang datang dari pelbagai latar belakang bangun menentang sistem yang wujud pada ketika itu. Di China pada ketika ini telah muncul Parti Kuomintang dan pelbagai revolusi yang akhirnya meruntuhkan Dinasti Qing pada tahun 1930.
Kelemahan pentadbiran sistem beraja China dan ketidakupayaan memimpin negara menyebabkan sistem beraja itu terhapus sama sekali. Di Indonesia pula gerakan-gerakan keras sudah mula muncul dimana pemberontakan petani terhadap priyayi, bangsawan dan kapitalis Belanda telah menyebabkan rakyat Indonesia sedar bahawa pentingnya membangkitkan semangat penyatuan seluruh bangsa Indonesia.
Pada ketika inilah juga Tanah Melayu masih lagi dalam pentadbiran British yang tenang dan aman sehinggakan tidak merasa lansung apa-apa. Kesemua kaum dibawah pentadbiran British seolah-olah saling hidup bergandingan.
Kejayaan British menyediakan segala pembagunan dan mewujudkan sebuah sistem yang sistematik menyebabkan rakyat tidak begitu peduli dengan keadaan yang berlaku. Sementelahan pula mereka sudah terbiasa dengan sistem residen British yang diperkenalkan pada tahun 1897. Namun tidak dapat dipastikan sejauh mana kefahaman orang Melayu tentang sistem ini selepas 50 tahun Tanah Melayu ditadbir.
Di bandar-bandar besar pada masa ini majoriti penduduk terdiri dari bukan Melayu malah apabila melihat jauh kebelakang kepada sistem pecah perintah, ternyatalah kaum Melayu yang paling rugi kerana tidak berjaya kedepan dan mendepani isu-isu sosial negara. Konsep sembah daulat juga menyebabkan kaum Melayu tidak berani kehadapan dan kepimpinan Melayu masih lagi terletak kepada bangsawan-bangsawan Melayu.
Hal ini turut berlaku di Indonesia seperti contoh diatas.
Namun kaum Melayu disini seakan-akan menerima bulat-bulat dengan segala apa yang berlaku. Kaum Melayu merasa cukup dengan apa yang ada dan merasa dunia ini adalah sementara. Namun setelah didesak barulah kaum Melayu bangun melawan sehingga para pentadbir British mengatakan bahawa kaum Melayu adalah pemalas dan susah hendak digunakan tenaganya.
Pengekalan Sultan-sultan Melayu oleh British harus dilihat kepada konteks yang lebih jauh iaitu sekitar 1800-1840 dimana pada waktu ini, orang Melayu yang dianggap bodoh,hodoh dan tidak tahu tentang dunia semasa bangun menentang penjajahan yang dibuat oleh Thai malah mereka kesemua bersatu menentang penjajahan itu walaupun jumlah tentera dan persenjataan yang lemah berbanding pihak Thai.
Di negeri utara dan timur pada waktu ini, politik istana ditentukan oleh Thai maka tidak hairanlah jika dikawasan barat dan selatan politik istana ditentukan oleh British.
Pemberontakan dan pelarian orang-orang Kedah adalah bukti yang cukup jelas “negeri Kedah ditinggalkan kosong dan ia sungguh menakutkan seolah-olah negeri itu diserang geroda”. “Kaum Melayu akan lari bersama Sultan mereka dan akan mati demi Sultan mereka”. Tidak lama kemudian British ditentang oleh para pembesar Melayu seperti Dato Bahaman, Dato Sagor dan lain-lain.
Namun sepertinya dalam penentangan ini tidak ada campurtangan Sultan. Maka atas sebab itu penentangan ini dapat dihapuskan dengan mudah. Maka belajar dari pengalaman ini British merasakan adalah lebih baik jangan dibunuh atau disusahkan para Sultan Melayu dan bangsawan. Ikuti saja kehendak mereka dan dalam masa yang sama belajar dari mereka.
Jadi tidak hairanlah para pentadbir British bersungguh-sungguh belajar tentang adab dan kebudayaan Melayu yang akhirnya membawa kepada hanya kuasa adat resam dan agama Islam saja diberikan kepada Sultan Melayu dan Sultan sendiri akur dengan keputusan ini malah ia dengan jelas memperlihatkan ketidakupayaan mereka mentadbir sebuah negeri.
Kita bukan hendak melihat kepada sudut negatif para pentadbir Melayu tetapi ketidakinginan mereka belajar dari Barat menyebabkan kebanyakkan negeri Melayu menjadi mundur atau kuasa Sultan sering ditidakkan. Pada era penghujung abad ke 19 kita melihat bagaimana Thailand sebagai sebuah kuasa militer yang kuat di rantau Asia Tenggara turut merubah negaranya kepada corak yang lebih sistematik malah Rajanya sendiri menghantar sejumlah pelajar Thai ke Eropah bagi mendalami pelbagai ilmu moden. Rajanya juga sendiri membuat pelbagai lawatan dan membawa pulang pengalaman itu kepada negaranya.
Di Tanah Melayu setakat ini, hanya Sultan Perak dan Johor saja yang sering dilihat mendepani sesuatu isu malah mereka antara yang berani menyuarakan tentangan serta berjaya memajukan sistem pentadbiran negeri masing-masing. Tapi dimana kefahaman politik kaum Melayu pada awal ke 20 dan apakah hala tuju mereka kemudiannya sebelum Jepun mendarat pada tahun 1941?
Sumber
Mitos Pribumi Malas, Syed Hussein Al Attas
History of Malaysia, Barbara Andaya
Politik Al Imam, Abd Aziz Mat Ton
Sejarah Asia Tenggara, Gilbert Khoo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan