|
Presiden Sukarno Memeriksa Barisan Askar Indonesia |
Umum mengetahui rantau Asia Tenggara di era 50an dan 60an sedang hangat dibadak arus kemerdekaan dan pembebasan diri daripada kolonialisasi Barat. Indonesia yang lebih gemar menggelarkan dirinya sebagai Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) lebih awal menggapai kemerdekaannya daripada penjajahan Belanda pada tanggal 17 Ogos 1945 sebaik sahaja Jepun bertekak lutut kepada Sekutu setelah tewas dalam Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, Indonesia terpaksa membayar harga yg agak mahal bagi mengekalkan kemerdekaannya apabila terpaksa menghadapi kepulangan semula Belanda yang dibantu British sehingga terjadinya dua kali "Aggresi Militer Belanda" terhadap Indonesia.
Dua belas tahun kemudian, saudara serumpunnya iaitu Malaya akhirnya berjaya memperoleh kemerdekaan daripada penjajahan British pada tanggal 31 Ogos 1957 melalui jalan rundingan dan diplomasi tanpa menumpahkan walau setitis darah rakyat Malaya. Jalan memperoleh kemerdekaan yang jauh berbeza antara dua saudara serumpun ini kelak bakal menjadi kudis yang akhirnya mendorong kepada berlakunya krisis bersenjata tanpa perang terbuka yang kelak dikenali sebagai Konfrontasi 1962-1966.
Artikel ini akan terus membincangkan secara ringkas berkenaan situasi yang berlaku antara kedua-dua buah negara tersebut semasa berlakunya Konfrontasi tanpa membincangkan faktor-faktor penubuhan Persekutuan Malaysia kerana isu tersebut akan dibincangkan dalam artikel yang berasingan. Artikel ini juga akan menyentuh secara ringkas berkenaan penglibatan British dan Komanwel khususnya ANZAC dalam membantu Malaysia menghadapi Indonesia.
Pengumuman Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj iaitu Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama berkenaan hasrat beliau untuk membentuk sebuah Persekutuan bersama Singapura, Sarawak, Sabah, dan Brunei di dalam sebuah gagasan yang disebut sebagai Malaysia di hadapan para wartawan asing semasa sidang media di Hotel Adelphi, Singapura pada tanggal 27 Mei 1961 telah membawa satu kejutan di seluruh Asia Tenggara amnya dan Alam Melayu khususnya. Terdapat pelbagai reaksi dalam kalangan wilayah yang terlibat dan juga negara-negara jiran yang telah merdeka.
Setelah melalui pelbagai rintangan dan cabaran seperti Pemberontakan Parti Rakyat Brunei yang diketuau A.M Azahari, penarikan diri Sultan Brunei daripada gagasan Persekutuan Malaysia di saat akhir perundingan, pemutusan diplomatik oleh Filipina dan tuntutannya terhadap Sabah atas nama Kesultanan Sulu, serta reaksi keras daripada Indonesia, akhirnya Persekutuan Malaysia berjaya dibentuk pada tanggal 16 September 1963 walaupun mengikut rancangan asalnya adalah pada tanggal 31 Ogos 1963.
Berbalik kepada penentangan keras daripada Indonesia terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia walaupun pada peringkat awal Presiden Ir. Soekarno dan Menteri Luar Dr. Subandrio menyambut baik hasrat Tunku tersebut. Segalanya berubah apabila terjadinya "conflict of interest" di sini antara kehendak dan keinginan Soekarno dan juga keperluan Tunku dalam menjamin "survival" Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak, dan Sabah daripada jatuh ke tangan komunis.
Di mata Soekarno, pembentukan Persekutuan Malaysia oleh Tunku dilihat menggagalkan cita-citanya untuk menyatukan seluruh Nusantara di bawah NKRI dan mengotakan Sumpah Palapa yang pernah diucapkan oleh Patih Aria Gajah Mada di hadapan Ratu Majapahit Hayam Wuruk suatu ketika dahulu. Selain itu, dengan bersatunya wilayah-wilayah bekas jajahan British di dalam satu gagasan, Soekarno melihatnya sebagai satu usaha British untuk mengepung dan menyekat pengaruh Indonesia di rantau Asia Tenggara.
Dalam masa yang sama, Dusa Nusantara Aidit iaitu pemimpim Partai Komunis Indonesia (PKI) melihat pembentukan Persekutuan Malaysia akan menggagalkan usaha pihak Comintern untuk meletakkan Asia Tenggara di bawah pengaruh komunis. Beliau yang diangkat sebagai penasihat kepercayaan Soekarno dalam gagasan NASAKOM telah berjaya mempengaruhi Soekarno dengan mendakwa pembentukan Malaysia sebagai satu neokolonialisasi. Aidit juga berjaya meyakinkan Soekarno agar menerima tawaran Moskow untuk mempersenjatai 200 ribu orang kader PKI bagi membentuk barisan sayap kelima yang bebas daripada kawalan Tentera Nasional Indonesia.
Penemuan titik persamaan antara kedua tokoh ini iaitu Soekarno dan Aidit berkenaan pembentukan Persekutuan Malaysia oleh Tunku akhirnya telah memberi satu kekuatan baru kepada Soekarno bagi menghancurkan Persekutuan Malaysia menggunakan kekuatan bersenjata. Walaupun Kepala Staf Angkatan Bersenjata, Jeneral Ahmad Yani cuba menasihati Soekarno agar tidak terburu-buru dalam memulakan konflik terbaru terutamanya dengan British, tetapi nasihat tersebut tidak diendahkan oleh beliau kerana Soekarno masih lagi dibuai rasa gembira dan bangga atas kejayaannya dalam merampas Irian daripada tangan Belanda.
Tambahan pula, ketika era 60an Indonesia memiliki kekuatan ketenteraan yang termoden dan terkuat di rantau Asia Tenggara hasil bantuan yang diberikan oleh Soviet Union. TNI-AD memiliki lebih 200 ribu anggota tentera regular dan lebih 200 ribu militia yang sebahagian besarnya merupakan kader PKI dan sayap kelimanya. TNI-AL pula memiliki armada termoden di rantau ini melalui pemilikan Kruiser KRI Irian serta 12 buah kapal selam kelas Whiskey yang merupakan kapal selam termoden Soviet Union.
TNI-AL juga turut memiliki 7 buah Friget Riga, 8 buah Destroyer Skorgy, dan 12 buah Bot Penyerang Laju Komat yang membawa misil Styx. Sementara itu, TNI-AU merupakan angkatan udara yang terkuat di Asia Tenggara kerana memiliki lebih daripada 100 buah pesawat yang terdiri daripada 22 buah MiG 21F, 13buah MiG 21U, deretan 28 buah pesawat pengebom Ilyushin, 30 buah pesawat pengebom Ilyushin yang membawa torpedo, dan 25 buah pesawat pengebom jarak jauh Badger yang membawa misil AS-1.
Di atas kertas, tentera Persekutuan Tanah Melayu yang kelak menjadi Angkatan Tentera Malaysia dilihat tidak mampu menentang TNI. ATM hanya memiliki 15 ribu anggota yang terdiri daripada 8 batalion Askar Melayu, 2 batalion Renjer, 2 batalion Rejimen Infantri Singapura, 1 Rejimen Altileri, dan 1 Skuadron Peninjau, manakala tentera laut pula hanya memiliki 4 buah kapal iaitu KD Sri Selangor, KD Hang Tuah, KD Sri Perlis, dan KD Sri Pahang.
Di sinilah peranan British dan Komanwel khususnya Australia dan New Zealand (ANZAC) bermula. Tunku yang menyedari bahawa ATM tidak mampu menghadapi peperangan secara serentak dari dalam iaitu menentang gerila PKM dan dari luar iaitu serangan Indonesia telah memohon bantuan kepada British dan Komanwel yang akhirnya membawa kepada tertubuhnya Anglo-Malayan Aggrement (AMDA) yang kelak menjadi Five Power Defense Aggrement (FPDA). Walaupun Persekutuan Tanah Melayu seterusnya Malaysia telah bebas dan merdeka daripada kolonialisasi British tetapi British masih menerima permohonan Tunku.
Tentera Darat British, Rejiment Gurkha, SAS, RAF, dan Royal Navy mula diatur gerak ke Semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Kapal-kapal perang serta pengangkut pesawat RN mula berkumpul di Selat Melaka dan Selat Sunda dengan keupayaan menembak peluru berpandu nuklear ke Jakarta. Australia juga turut menempatkan skuadron pesawat penjuangnya di Pangakalan Udara Butterworth. Walaupun pada dasarnya Indonesia belum lagi mengisytiharkan perang terbuka berskala konvensional terhadap Malaysia, tetapi pelbagai misi sulit ke dalam wilayah Indonesia di Kalimantan telah dilakukan dengan kaedah penyusupan oleh SAS dalam pelbagai operasi rahsia seperti Operasi Scarlet yang membawa kepada pertempuran besar dengan KOPASSUS di Kalimantan. Lebih 200 orang anggota SAS dan 2000 orang anggota KOPASSUS telah terkorban di Kalimantan.
Ketika kemuncak Konfrontasi berlangsung, British ingin menembak Jakarta dengan peluru berpandu berpeledak nuklear tetapi ditegah oleh Tunku kerana Tunku ingin menamatkan Konfrontasi melalui perundingan tanpa menumpahkan lebih banyak darah. Dalam pada masa yang sama, perisik-perisik Malaysia turut membekalkan senjata kepada para pejuang Acheh di Sumatera bagi menekan pemerintah pusat di Jakarta.
Ketika perang sekala penuh antara Malaysia-Indonesia dilihat tidak dapat dielakkan lagi, akhirnya takdir tuhan melebihi segala perancangan manusia. Peristiwa Gestapu30S iaitu pembantaian para Jeneral TNI-AD oleh PKI dalam tragedi Lubang Buaya telah mengubah arus perjalanan Konfrontasi. Mejar Jeneral Soeharto iaitu pemerintah KOSTRAD telah mengambil alih tampuk pemerintahan Indonesia daripada tangan Soekarno melalui Surat Perintah 11 Mei telah membantai seluruh oknum PKI dan para persimpatinya dengan bantuan TNI-AD terutamanya KOSTRAD, golongan agama khususnya Nadhatul Ulama, dan rakyat. Lebih satu hingga dua juta orang telah disembelih dalam pembersihan Indonesia daripada komunis.
Soeharto juga telah mula berusaha untuk mengurangkan ketegangan antara Indonesia-Malaysia. Adam Malik, Menlu Indonesia diarahkan oleh Soeharto agar berusaha mencari jalan damai dengan Malaysia, British, dan Komanwel walau dengan apa cara sekalipun. Akhirnya, jalan ke arah perdamaian antara dua negara serumpun ini terbuka luas apabila Mac 1966, Indonesia secara rasmi mengumumkan tamatnya Konfrontasi serta merta dan semua pasukan Indonesia yang berada dalam wilayah Malaysia wajib mengundurkan diri ke sempadan Indonesia serta merta.
Kesimpulannya, Konfrontasi antara kedua buah negara serumpun ini terjadi hanya disebabkan oleh pertindihan kepentingan antara dua pemimpin. Tunku terpaksa menyatukan Semenanjung, Singapura, Brunei, Sarawak, dan Sabah di dalam satu gagasan demi membendung pengaruh komunis yang kian mekar di Asia Tenggara, akan tetapi tanpa Tunku sedar niatnya telah bercanggah dengan impian pemimpin sebuah negara yang lebih senior iaitu Soekarno bagi mengotakan Sumpah Palapa Nusantara. Kehadiran British pada kali ini juga bukannya sebagai penjajah semula sebaliknya sebagai "ayah" yang membantu "anaknya" daripada diasak dan dibuli oleh saudara yang lebih kuat dan berpengaruh.
Sumber
Nick Van Der Bijl, Confrontation The War With Indonesian 1962-1966, Pen and Sword Military, South Yorkshire, 2014.
Nik Anuar Nik Mahmud, Konfrontasi Malaysia Indonesia (Konflik Sempadan), Bangi: Penerbitan UKM, 2000.
Indonesia–Malaysia Confrontation, National Library Singapore
Combat operations in 1965 during the Indonesia–Malaysia Confrontation